Memaparkan catatan dengan label Astronomi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Astronomi. Papar semua catatan

Khamis, 29 September 2022

Kapal angkasa NASA bergerak pada kelajuan hipersonik dilaporkan berjaya rempuh asteroid Dimorphos

Kapal angkasa NASA bergerak pada kelajuan hipersonik dilaporkan berjaya rempuh asteroid Dimorphos


Kapal angkasa milik Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) berjaya merempuh asteroid yang menghala ke Bumi pada waktu pagi 27 September 2022 lepas, sekali gus mengubah laluannya.


Kapal angkasa Bullseye menerusi program Ujian Pengalihan Asteroid Berganda (DART) meluncur melalui sistem suria pada kelajuan hipersonik untuk merempuh asteroid tersebut.


Strim secara langsung menerusi laman web NASA menunjukkan kapal angkasa itu meluncur ke arah asteroid Dimorphos yang dianggarkan sebesar stadium bola sepak, terletak kira-kira 11 juta kilometer dari Bumi.


Misi itu direka untuk menentukan sama kapal angkasa mampu mengubah trajektori asteroid melalui daya kinetik, menolaknya dari laluan yang boleh mencetuskan ancaman kepada Bumi.


Dalam pada itu, pemerhatian teleskop lebih lanjut akan dilakukan terhadap asteroid itu pada bulan depan. Hasil ujian itu turut dipantau dalam tempoh yang hampir sama dari pusat operasi di Makmal Fizik Gunaan Universiti Johns Hopkins (APL) di Laurel, Maryland.



Sama ada ia berjaya mencapai sasaran diharapkan masih belum diketahui sehingga pemerhatian teleskop lebih lanjut ke atas asteroid dilaksanakan bulan depan.


Bagaimanapun, pegawai NASA memuji hasil eksperimen yang dibuat dan jelas mereka kapal angkasa itu kelihatan berfungsi sebagaimana rekaannya.


DART yang dilancarkan oleh roket SpaceX pada November 2021 melakukan sebahagian besar pelayarannya di bawah bimbingan pengarah penerbangan NASA dengan kawalan diserahkan kepada sistem navigasi autonomi pada jam terakhir perjalanan.


Sorakan oleh jurutera di dalam bilik kawalan didengari apabila imej asteroid yang disasarkan semakin besar dan akhirnya memenuhi skrin TV sejurus sebelum isyarat kapal angkasa itu hilang, mengesahkan ia telah berjaya merempuh Dimorphos.


"Kami memulakan era baharu. Era di mana kami berpotensi mempunyai keupayaan untuk melindungi diri kami daripada sesuatu seperti kesan asteroid yang berbahaya," kata Lori Glaze iaitu Pengarah Bahagian Sains Planet NASA.


Asteroid Dimorphos adalah sepanjang 160 meter dan mengorbit sebuah asteroid besar bernama Didymos. Permukaan Dimorphos yang berbatu-batu akhirnya dapat dilihat dengan jelas dalam beberapa minit terakhir ketika DART bergerak dan menghentam ke arahnya pada kelajuan kira-kira 23,500 kilometer sejam.


Apa yang pasti ialah kedua-dua asteroid itu tidak menimbulkan ancaman kepada Bumi kerana ia melepasi planet tersebut dan berada pada jarak kira-kira lebih 10 juta kilometer.


NASA berharap melalui hentaman itu, asteroid berkenaan akan bergerak ke orbit yang lebih kecil dan mengurangkan 10 minit masa yang diperlukan untuk mengelilingi Didymos.


Beberapa minit selepas hentaman, sebuah satelit bersaiz pembakar roti dikenali sebagai LICIACube yang telah dipisahkan daripada DART beberapa minggu lalu, dijangka bergerak dekat tempat kapal angkasa tanpa juruterbang yang terhempas berkenaan bagi merakamkan imej perlanggaran itu.


Gambar yang dirakamkan LICIACube itu dijangka dihantar semula ke Bumi pada minggu depan. Untuk rekod, misi DART dilancarkan November lalu dari Pangkalan Angkatan Angkasa Vandenberg di California.


Imej menerusi strim secara langsung yang dirakamkan DART menunjukkan asteroid Dimorphos di ruang angkasa lepas. - Foto AP.

Selasa, 27 September 2022

Planet Marikh dicemari 7,118 kilogram sampah buatan manusia termasuk kapal angkasa yang tidak aktif

Planet Marikh dicemari 7,118 kilogram sampah buatan manusia termasuk kapal angkasa yang tidak aktif


Manusia meninggalkan kira-kira 7,118 kilogram sampah di planet Marikh sejak 50 tahun yang lalu sedangkan tiada mana-mana individu pernah menjejakkan kaki di planet merah itu, lapor laman berita Wion News pada 26 September 2022.


Felo penyelidik pasca kedoktoran bidang robotik di Universiti West Virginia, Cagri Kilic menganalisis jisim semua kenderaan robotik dan pengorbit yang dihantar ke Marikh, tanpa mengambil kira berat daripada kenderaan sedang beroperasi ketika ini.


Hasil analisis mendapati sebanyak 7,118 kg serpihan bersepah di planet Marikh. Serpihan itu antara lain terdiri daripada perkakasan dibuang, kapal angkasa tidak aktif dan yang terhempas di permukaan planet termasuk pengorbit Marikh 2 Kesatuan Soviet yang terhempas ketika melakukan pendaratan pada 1971.


Para saintis bimbang serpihan itu boleh mencemari sampel dikumpulkan oleh kenderaan robotik, Perseverance yang dalam misi mencari bukti kehidupan lampau di planet Marikh.


Kebanyakan serpihan itu tidak dapat dielakkan memandangkan banyak bahagian perlu dibuang untuk melindungi kenderaan angkasa ketika ia meluncur melalui atmosfera planet merah.


Ia termasuk kenderaan Perseverance dilancarkan Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang terpaksa mengharungi tujuh minit kesukaran ketika mendarat pada Februari 2021.


Kenderaan robotik itu didapati merakam beberapa imej serpihan ketika dalam misinya. Jun lalu, pasukan NASA mengesan cahaya dalam sekeping imej dihantar oleh kenderaan Perseverance yang kemudian diarahkan untuk meneliti semula.


Beberapa minggu kemudian, kenderaan Perseverance memasuki kawasan Hogwallow Flats dan memperoleh panorama Mastcam-Z 360 darjah yang beresolusi tinggi.


Imej yang menunjukkan cahaya terang itu merupakan pantulan daripada lapisan thermal blanket. Lapisan material itu terselit di sudut beberapa batu dan kelihatan memantulkan cahaya.


Selain itu, terdapat sembilan kapal angkasa yang tidak aktif, termasuk pendarat Mars 3 dan Mars 6, pendarat Viking 1 dan Viking 2, rover Sojourner, pendarat Schiaparelli Agensi Angkasa Eropah, pendarat Phoenix, rover Spirit dan rover Opportunity, kini terkandas di Marikh.


Kilic mendakwa bahawa kebanyakan robot masih dalam keadaan berfungsi dan agensi angkasa menganggapnya sebagai artifak sejarah dan bukannya besi buruk. - Sumber Wion News.


Gambar menunjukkan lapisan thermal blanket yang ditemukan di planet Marikh. - Foto NASA.

Selasa, 20 September 2022

Saintis temukan tiga eksoplanet baharu berhampiran Bumi yang terletak dalam zon boleh dihuni

Saintis temukan tiga eksoplanet baharu berhampiran Bumi yang terletak dalam zon boleh dihuni


Kumpulan astronomi dari Pemantau Angkasa Lepas Eropah (ESO) mendakwa menemukan tiga eksoplanet baharu yang kedudukannya berhampiran dengan Bumi.


Menurut lapor akhbar Independent UK, ketiga-tiga eksoplanet itu dikatakan mempunyai sumber air menyerupai planet Zuhrah, Utarid dan Marikh.


Eksoplanet berkenaan dikesan dengan menggunakan Very Large Telescope (VLT) milik ESO, selain diketahui mempunyai jarak 35 tahun cahaya dari Bumi.


Ketiga-tiga eksoplanet itu mengorbit bintang berdekatan yang hampir sama dengan bintang atau Matahari dalam sistem suria kita.



Maria Osorio dari Pusat Atrobiologi di sini berkata, planet yang terletak dalam zon boleh dihuni mungkin memiliki atmosfera yang dapat melindungi dan menyokong kehidupan.


"Berdasarkan pemerhatian, ketiga-tiga eksoplanet baharu tersebut mempunyai air di dasar dan atmosferanya.


"Planet paling dekat dengan mataharinya dikenali sebagai L- 98-59a yang mempunyai separuh daripada jisim Zuhrah, manakala dua lagi planet yang ditemukan adalah L 98-59a dan L 98-59c," katanya.


Planet ketiga iaitu L 98-59c didakwa mengandungi 30 peratus air.


Ahli astronomi pertama kali melihat tiga planet tersebut pada 2019, menggunakan Transiting Exoplanet Survey Satellite (TESS) Nasa dengan mengesan apabila cahaya dari bintang berdekatan mereka tenggelam apabila planet-planet melintas di hadapannya.


"Kami telah mengejar planet terestrial sejak kelahiran astronomi dan kini kami akhirnya semakin hampir dengan pengesanan planet terestrial di zon boleh dihuni bintangnya, yang mana kami boleh mengkaji atmosfera.


"Kami mempunyai petunjuk tentang kehadiran planet terestrial dalam zon boleh didiami sistem ini,” kata Olivier Demangeon, dari Universiti Porto di Portugal. - Sumber Independent UK.


Ilustrasi artis menunjukkan planet L 98-59b. - Foto ESO.

Sabtu, 17 September 2022

Mengapa makhluk asing tidak pernah datang ke Bumi? Ini penjelasan saintis

Mengapa makhluk asing tidak pernah datang ke Bumi? Ini penjelasan saintis


Menurut para saintis, mereka mempunyai teori atau hipotesis mengenai sesebuah tamadun maju yang berkemungkinan akan musnah, sebelum kita berpeluang untuk bertemu dengan makhluk dari luar angkasa itu.


Teori baru iaitu 'Fermi Paradox' menunjukkan bahawa, apabila sesebuah tamadun itu berkembang dalam pembangunan teknologi, mereka akan mencapai krisis di mana tiada lagi inovasi sesuai dengan kajian terhadap luar angkasa.


Akhirnya perkara ini akan hanya membawa kepada keruntuhan kepada sesebuah tamadun itu, seperti yang dijelaskan dalam artikel terbitan MSN News pada 12 Mei 2022 lepas.


Menurut Jurnal Royal Society Open Science, langkah penyelesaian diambil dengan menggunakan kaedah Fermi Paradox. Teori ini telah menarik perhatian kepada percanggahan antara usia dan jarak antara alam semesta yang tiada batas.


Pada dasarnya, seharusnya alam semesta dipenuhi dengan kehidupan makhluk asing yang maju. Namun, masih terdapat kekurangan bukti di mana makhluk itu wujud di luar angkasa setakat ini.


Walau bagaimanapun, para penyelidik kajian-kajian baru mengatakan bahawa mereka mungkin mempunyai jawapannya.


"Tamadun sama ada runtuh akibat 'keletihan' atau mengutamakan homeostasis, di mana pengembangan kosmos tidak lagi menjadi matlamat utama.


"Ia menjadikannya sukar untuk dikesan dari jauh," kata ahli astrobiologi dari Institusi Sains Carnegie, Michael Wong dan Stuart Bartlet, dari Institut Teknologi California.


Bagaimanapun, para saintis menegaskan bahawa pendapat mereka hanyalah hipotesis semata-mata yang diambil daripada pemerhatian semasa.


Tambahan pula, mereka juga tidak pernah membuat sebarang hubungan komunikasi secara langsung dengan makhluk luar angkasa itu.


Hal ini termasuklah dengan satu teori yang pernah dikemukakan bahawa makhluk asing pernah sampai ke Bumi secara rahsia ataupun telah lama tiba di Bumi serta manusia terlalu awal dalam kehidupan alam semesta.


Sementara itu, satu hipotesis lain yang diterbitkan oleh The Astrophysics Journal mengatakan, satu isyarat yang dihantar dari tamadun maju ke satu peradaban lain mungkin mengambil masa selama 400,000 tahun untuk diterima.


Walau bagaimanapun, tempoh masa itu juga jelas melebihi tempoh kajian yang dilakukan oleh manusia dalam mengkaji angkasa lepas. Jadi, jika difikirkan secara logik, tidak hairan mengapa makhluk asing tidak pernah menemui manusia di bumi. - Sumber MSN.

Ahad, 23 Januari 2022

Manusia Diramal Bakal Menghuni Ruang Angkasa, Bumi Hanya 'Planet Percutian'

Manusia Diramal Bakal Menghuni Ruang Angkasa, Bumi Hanya 'Planet Percutian'


Percaya atau tidak, banyak ramalan saintis Barat yang mengatakan bahawa pada suatu hari nanti manusia tidak lagi menetap di Bumi. Planet ketiga dalam sistem suria ini dikatakan tidak selamat untuk didiami. Justeru, ruang angkasa dipilih sebagai tempat tinggal baharu.


Memang kita berpendapat bahawa ramalan itu tidak masuk akal, tetapi tahukah anda, ramai pelabur sanggup membelanjakan dana yang besar untuk membina silinder gergasi di angkasa sebagai penempatan baharu.


Bukan hanya lengkap dengan bekalan oksigen dan memiliki alam semula jadi persis bumi, dengan 'sungai, hutan dan hidupan liar', teknologi tersebut dikatakan mampu mencipta semula graviti.


Memetik lapor Daily Mail pada 12 November 2021, pendedahan tersebut dibuat oleh pengasas firma Amazon dan Blue Origin, Jeff Bezos yang turut meramalkan manusia akan tinggal di angkasa lepas dan menjadikan Bumi sebagai 'planet percutian'.



Bezos berkata, ciptaan silinder terapung itu dilengkapi sungai, hutan dan hidupan liar, malah tiada lagi ancaman gempa bumi atau cuaca buruk.


"Dalam tempoh beberapa ratus tahun dari sekarang, tidak mustahil angkasa akan menjadi rumah manusia dan hidup dalam koloni tertentu.


"Jika mahu mengubah Marikh sebagai penempatan baharu, ia cukup sukar. Ditambah planet itu hanya mampu menampung hingga 20 bilion penduduk sahaja," katanya.


Teori ekstrem atau ramalan masa depan yang kononnya Bumi satu hari nanti tidak akan menjadi planet yang selamat, mungkin banyak dipengaruhi dengan lambakan filem antarabangsa yang menjadikan kehidupan di angkasa lepas adalah perkara biasa.


Pun begitu, ramai yang menganggap andaian tersebut mungkin benar kerana kemajuan teknologi masa kini memungkinkan segala-galanya. Sedangkan sistem kecerdasan buatan (AI) mampu mengatasi kemampuan manusia, inikan pula rencana besar penciptaan 'planet' baharu.


Apatah lagi, penemuan planet persis Bumi oleh National Aeronautics and Space Administration (NASA) baru-baru ini juga membuatkan ramai tertanya sejauhmana kebenaran tersebut.


Penemuan planet baharu pada jarak 4.2 tahun cahaya dari Bumi itu dikatakan memiliki sumber air mencukupi, jumlah pencahayaan dan keadaan geografi sempurna.


Para penyelidik Barat juga mengesahkan planet tersebut memiliki iklim yang sesuai untuk dihuni manusia, namun timbul pula persoalan kebarangkalian wujudnya makhluk asing di sana.


Persoalan demi persoalan timbul membuatkan ramai berfikir panjang. Adakah manusia mampu menolak takdir? Dan meninggalkan Bumi yang semakin tenat dengan pencemaran yang tidak terkawal dan penerokaan hutan berluasa.


Konsep gambar ilustrasi tentang koloni angkasa lepas O'Neill Bezos, dengan pertanian dan pengangkutan berkelajuan tinggi. - Foto Blue Origin.
Tiada Kesan Hidupan Marikh Ditemui Pada Meteorit Di Antartika

Tiada Kesan Hidupan Marikh Ditemui Pada Meteorit Di Antartika


Meteorit dianggarkan berusia 4 bilion tahun dari Marikh yang jatuh di Bumi beribu-ribu tahun lalu, yang ditemui di Antartika disahkan tidak mengandungi bukti kehidupan Marikh purba dan primitif di dalamnya, lapor PHYS pada 16 Januari 2022.


Menurut saintis, berjuta-juta tahun selepas hanyut melalui angkasa, meteorit itu 'mendarat' dikawasan berais di Antartika. Serpihan kecil kelabu-hijau itu diberi nama Allan Hills 84001 (ALH84001) sempena nama dari bukit tempat batu meteor itu ditemui.


Ia disahkan oleh saintis selepas lebih sedekad penyelidikan dijalankan ke atas sampel batu meteor tersebut sekaligus menafikan dakwaan NASA pada tahun 1996 dahulu kononnya terdapat hidupan pada meteorit tersebut.


Hasil penyelidikan terbaharu oleh pasukan yang diketuai oleh Andrew Steele dari Carnegie Institution for Science melaporkan bahawa meteorit itu hanya mengandungi air.


"Sampel kecil daripada meteorit menunjukkan sebatian kaya karbon sebenarnya adalah hasil daripada air. Kemungkinan besar air masin, atau air mengalir ke atas batu untuk tempoh yang berpanjangan," kata Steele.


Menurutnya, pada masa lalu Marikh mungkin mengandungi air - sekurang-kurangnya dua hentaman berlaku berhampiran batu yang turut memanaskan permukaan sekeliling planet, dan hentaman ketiga melantunnya dari planet merah itu ke angkasa lepas berjuta-juta tahun yang lalu.


Menurut para penyelidik, air bawah tanah yang bergerak melalui celah-celah batu, semasa ia masih di Marikh, membentuk gumpalan kecil karbon yang ada. Perkara yang sama boleh berlaku di Bumi dan boleh membantu menjelaskan kehadiran metana dalam atmosfera Marikh, kata mereka.


Meteorit yang dilabelkan sebagai ALH84001 pada tahun 1996 telah mencetuskan perdebatan ekoran dakwaan NASA yang mendakwa batu tersebut mengandungi hidupan primitif di dalamnya. Batu angkasa seberat 2 kilogram tersebut telah ditemui pada tahun 1984 di Antartika.


Penyelidik menyatakan, satu-satunya cara untuk membuktikan terdapat hidupan di Marikh adalah dengan membawa balik sampel batuan dari planet merah itu ke Bumi untuk dianalisis.


Para saintis berkata mereka telah mengesahkan meteorit berlabel ALH84001 dari Marikh tidak mengandungi bukti kehidupan purba Marikh. - Foto David J. Phillip.

Khamis, 13 Januari 2022

NASA memaklumkan asteroid berbahaya dekati Bumi 19 januari ini

NASA memaklumkan asteroid berbahaya dekati Bumi 19 januari ini


Sebuah asteroid gergasi bersaiz sepanjang satu kilometer diramalkan melintasi Bumi pada 19 Januari pukul 10.51 pagi (waktu tempatan), lapor akhbar Daily Star pada 5 Januari 2022.


Menurut laman web Inverse, Asteroid (7482) 1994 PC1 pertama kali dikesan oleh Robert McNaught dari Balai Cerap Spring Siding di Australia pada 9 Ogos 1994. Kini, batu angkasa lepas itu semakin hampir dengan Bumi sehingga diklasifikasikan sebagai berpotensi berbahaya oleh NASA.


Batu angkasa lepas bersaiz hampir tiga kali ganda Bangunan Empire State itu diramalkan menghampiri Bumi pada jarak yang terlalu dekat sehingga ahli-ahli astronomi mungkin melihatnya menembusi ruang angkasa dengan kelajuan 70, 415.237 kilometer sejam.


Menurut mereka, ia tidak akan mendekati Bumi melebihi jarak sehingga 1.9 juta kilometer iaitu lima kali ganda jarak antara Bumi dan Bulan.


Ahli-ahli Astronomi turut mendapati bahawa batu angkasa itu mengorbit Matahari sekali setiap 1.57 tahun dan akan mendekati Bumi sekali setiap 30 tahun atau lebih.


Jarak yang akan dicatatkan pada kali ini adalah paling dekat dengan Bumi dan tidak akan paling hampir sehingga 200 tahun akan datang.


NASA berkata, tahun lepas mereka memberi perhatian kepada asteroid bernama 16 Psyche, yang terdiri daripada logam. Menurut agensi angkasa lepas itu, asteroid itu dipercayai terdiri daripada besi logam, nikel dan teras emas.


Asteroid itu tidak akan mendekati Bumi melebihi jarak sehingga 1.9 juta kilometer. - Foto Getty/ iStockPhoto.

Ahad, 9 Januari 2022

'Pengembara masa' dakwa pergi ke Marikh pada tahun 3812 mengatakan planet itu dijajah oleh China

'Pengembara masa' dakwa pergi ke Marikh pada tahun 3812 mengatakan planet itu dijajah oleh China


Satu klip rakaman pelik memaparkan seorang wanita mengaku sebagai 'pengembara masa' dan mendakwa dia telah pergi ke planet Marikh, yang ketika itu berada pada tahun 3812, lapor akhbar The Sun pada 21 Disember 2021.


Wanita berusia 37 tahun yang hanya dikenali sebagai Mary itu mendakwa Marikh ketika itu dijajah oleh China dan dihuni oleh robot.


Katanya, walaupun terdapat bangunan pencakar langit dan kapal angkasa canggih yang sangat besar, namun sebahagian besar permukaan planet Marikh masih terbiar, dakwaannya.


"Saya muncul di Marikh dan ia kelihatan seperti padang pasir dengan banyak bangunan. Saya dengan segera merakam gambar. Marikh amat menarik namun dalam masa sama ia kelihatan amat menakutkan," katanya.


Temu bual bersama Mary menjadi tular selepas ia dikongsi oleh saluran YouTube Apex TV. Namun, itu bukan kali pertama peminat teori konspirasi sains fiksyen berkongsi tentang kisah seorang 'pengembara masa'.


Pada 2017, seorang kanak-kanak genius mengejutkan golongan profesor dengan kepintarannya dan mendakwa dia berasal dari Marikh dan dilahirkan semula di Bumi.


Boriska Kipriyanovich, dari Volgograd, Rusia, menegaskan dia tinggal di planet tersebut sebelum dia memulakan kehidupan barunya sebagai manusia di Bumi.


Walaupun kisah Boriska ini agak sukar dipercayai, namun kebijaksanaan luar biasanya ditambah dengan pengetahuannya yang luas tentang ruang angkasa membuatkan saintis bingung.


Sementara itu, seorang pengguna Tik Tok yang turut mendakwa 'pengembara masa' mengatakan pada tahun 2714 akan muncul spesies baharu iaitu 'manusia-ikan' dan kewujudan alam semesta alternatif akan ditemui.


Mary menunjukkan foto dari planet Marikh pada tahun 3812. - The Sun.

Selasa, 4 Januari 2022

UAE, AS dan China berlumba 'tawan' planet Marikh

UAE, AS dan China berlumba 'tawan' planet Marikh

 

KENDERAAN robotik Perseverance milik Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) selamat mendarat di Marikh pada 18 Februari 2021 lalu, menjadikan tiga buah negara memulakan kajian saintifik di planet tersebut secara serentak pada bulan Februari.


Sebelum ini, sebuah kapal angkasa Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang turut berfungsi sebagai satelit dengan misi mengkaji atmosfera dan cuaca telah tiba serta mengelilingi planet tersebut pada 9 Februari lalu.


Penghantaran kapal angkasa UAE itu yang diberi nama Hope seberat 1.3 tan itu dan dikatakan melibatkan kos sehingga AS$200 juta (RM807.8 juta) dijangka mengelilingi orbit planet berkenaan selama setahun di Marikh atau bersamaan 687 hari di bumi.


Menurut agensi angkasa lepas di Dubai baru-baru ini, ia menghantar gambar sebuah gunung berapi paling tinggi di planet tersebut dan dalam sistem suria yang setinggi 21,1945.6 meter iaitu Olympus Mons.



Imej itu dirakamkan pada ketinggian 24,700 kilometer dari permukaan planet tersebut pada 10 Februari lalu setelah kapal angkasa tersebut dilancarkan menerusi roket H-2A dari Pusat Angkasa Tanegashima di Jepun pada 19 Julai 2020.


Sementara itu, sebuah kapal angkasa China, Tianwen-1 mula mengelilingi Marikh pada 17 Februari lalu dan akan mengorbit planet tersebut selama tiga bulan sebelum melakukan pendaratan bersama sebuah kenderaan robotik pada bulan Mei dan Jun depan.


Seberat 5 tan, ia yang mengembara hampir separuh bilion kilometer dari bumi dilancarkan dari Pusat Angkasa Wenchang, Hainan di China pada 23 Julai 2020. Kos bagi menghantar misi ke Marikh itu tidak didedahkan oleh Beijing.


Misi Tianwei-1 yang bermaksud 'Persoalan ke Syurga' itu seperti dilaporkan portal berita Tech 2 adalah untuk mengkaji permukaan daratan dan atmosfera planet tersebut selama 90 hari. Misi itu juga akan merakamkan dan menghantar gambar, mengesan tanda-tanda kehidupan purba dan menghasilkan peta di planet tersebut.


Menurut portal berita Indian Express, ketika ini NASA mempunyai sebuah kapal angkasa penjelajahan yang kecil iaitu Mars Insight dan sebuah kenderaan penerokaan Curiosity di permukaan planet tersebut selain tiga kapal angkasa mengelilingi Marikh.


India juga dilaporkan memiliki sebuah kapal angkasa pengorbitan, Mangalyaan-1 manakala Kesatuan Eropah (EU) mempunyai dua kapal angkasa pengorbitan selain China dan UAE masing-masing mempunyai sebuah kapal angkasa kecil mengelilingi Marikh.


Menurut portal berita Global Times, NASA telah berjaya mendarat di planet tersebut sebanyak lapan kali dan kejayaan pendaratan kenderaan robotik Perseverance menjadikan agensi angkasa lepas AS itu berjaya mendarat sebanyak sembilan kali di Marikh.


Misi NASA ke planet merah itu melibatkan kos sebanyak AS$2.2 bilion (RM8.89 bilion) selepas mengharungi penggembaraan sejauh kira-kira 470.73 juta kilometer dari bumi setelah dilancarkan dari roket Atlas V kira-kira tujuh bulan lalu di Stesen Tentera Udara Cape Canaveral, Florida, AS pada 30 Julai 2020.


Kenderaan robotik sebesar sebuah kenderaan utiliti lasak (SUV) yang mempunyai enam roda dan seberat 1,025 kilogram itu turut berjaya menghantar gambar-gambar hitam putih serta berwarna planet tersebut kepada makmal NASA di bumi.


Ia yang dilengkapi dengan sebuah helikopter kecil untuk tujuan eksperimen turut menghantar gambar berwarna permukaan Marikh yang kering dan berbatu-batu dengan paparan bayang-bayang kenderaan robotik tersebut.


Sebelum ini, satu lagi imej berwarna yang dihantar oleh kenderaan robotik yang mempunyai nama julukan Perky dikongsi di Twitter yang menunjukkan batu-batu berwarna kuning.


Pada 14 Julai 1965, sebuah kapal angkasa NASA pernah menghantar kira-kira 21 gambar planet merah itu ke bumi.


Sebuah kapal angkasa Kesatuan Soviet yang kini dikenali negara Rusia terhempas ketika cuba mendarat dan sebuah lagi terputus hubungan 20 saat selepas mendarat di Marikh pada tahun 1971.


Kenderaan robotik Perseverance yang dilengkapi kamera dan mempunyai misi mencari tinggalan hidupan purba di Marikh akan mengambil sampel batuan dan tanah untuk dihantar ke bumi pada tahun 2030 bagi tujuan dianalisis oleh para saintis di makmal AS.


Gambar berwarna yang dihantar kenderaan Perseverance milik Amerika Syarikat dari Marikh pada Februari lalu.