Selasa, 4 Januari 2022

Mumia 'pelik' berusia lebih 800 tahun ditemui, tangan dan kakinya diikat dengan tali

Mumia 'pelik' berusia lebih 800 tahun ditemui, tangan dan kakinya diikat dengan tali


Mumia yang ditemui di Peru dianggarkan berusia antara 800 hingga 1,200 tahun kini dipamerkan di sebuah universiti di Lima minggu ini, lapor akhbar Metro UK pada 8 Disember 2021.


Mumia tersebut ditemui oleh sekumpulan ahli arkeologi di sebuah makam purba bawah tanah pada November lepas, berada dalam kedudukan mengerekot, di mana tangan dan kakinya diikat menggunakan tali serta kedua-dua tangannya turut menutupi wajahnya.

 

Ia ditemui di dalam struktur bawah tanah bersama-sama dengan persembahan termasuk seramik, sisa sayuran dan peralatan batu. Dalam masa sama, pasukan penyelidik kini sedang menganalisis kesemua penemuan itu.



Pihak Universiti Utama Kebangsaan San Marcos kini menempatkan mumia tersebut bersama-sama dengan sekurang-kurangnya dua mayat bayi serta objek-objek yang ditemui di dalam makam purba itu.


"Hari ini (8 Disember), di Universiti Utama Kebangsaan San Marcos, kami mempamerkan penemuan objek arkeologi dari kajian yang dijalankan di Cajamarquilla.


"Objek arkeologi paling utama adalah mumia yang diikat tersebut, yang mana berita mengenainya telah tersebar ke seluruh dunia dan ia masih dianalisis," kata ketua ahli arkeologi bagi projek tersebut, Pieter Van Dalen Luna.


Peru yang menempatkan lokasi bersejarah Machu Picchu, mempunyai beratus-ratus tapak arkeologi yang wujud sebelum dan selepas Empayar Inca. Tamadun tersebut mendominasi bahagian selatan Amerika Selatan kira-kira 500 tahun lalu.


Mumia ini ditemui oleh sekumpulan ahli arkeologi di sebuah makam purba bawah tanah pada November lepas. - Foto AP.
Nampak pelik, Rupanya Begini Cara Anak Burung Hantu Tidur

Nampak pelik, Rupanya Begini Cara Anak Burung Hantu Tidur


Kebanyakan orang jarang melihat burung hantu depan mata, kerana burung hantu adalah sejenis haiwan nocturnal yang tidur pada waktu siang dan berjaga pada waktu malam.


Jadi tidak hairanlah ramai yang tidak mengetahui tentang sikap atau tabiat sebenar burung hantu, melainkan mereka yang melakukan kajian di internet berkaitan dengan burung ini.


Pernah tak korang terfikir bagaimana anak burung hantu tidur? Sebenarnya anak burung hantu ini mempunyai cara tidur yang unik, dan mungkin ada diantara kita yang belum tahu.


Menurut India Times pada 23 Jun 2020, melaporkan bahawa anak burung hantu akan tidur menghadap ke bawah tanah. Lebih unik lagi apabila anak burung hantu ini tidur di atas dahan pokok, mereka tidak akan terjatuh.


Sebenarnya ada sebab mengapa anak burung hantu itu tidur dalam posisi sebegitu. Hal ini dikatakan demikian kerana, anak burung hantu mempunyai kepala yang berat.


Perkara tersebut akan menyukarkan anak burung hantu itu untuk tidur pada posisi kebiasaan burung-burung yang lain.


Oleh itu, anak burung hantu ini akan tidur secara meniarap atau pun kepala menghadap ke tanah supaya badan mereka dapat ditampung walaupun mempunyai kepala yang berat.


Tetapi, hal ini berbeza pula dengan burung hantu yang telah dewasa. Walaupun mereka turut mempunyai kepala yang berat tetapi burung hantu dewasa ini mempunyai kekuatan yang lebih kuat berbanding anak burung hantu.


Rupanya anak burung hantu akan tidur menghadap ke bawah tanah. - Foto India Times.
Sotong 'Gergasi' Lebih Besar Dari Manusia Ditemui Di Laut Merah

Sotong 'Gergasi' Lebih Besar Dari Manusia Ditemui Di Laut Merah


Sotong ialah haiwan laut yang menjadi makanan kegemaran sesetengah daripada kita. Namun, tahukah korang, wujud spesies sotong yang saiznya melebihi saiz manusia atau sotong gergasi.


Memetik Mail Online pada 8 Oktober 2021, melaporkan pada 2020, kumpulan pakar biologi marin yang dikenali sebagai OceanX, media dan pembuat filem memulakan ekspedisi menjelajah kedalaman Laut Merah.


Eskpedisi tersebut dijalankan menggunakan sebuah kapal yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan termasuk alat sonar.


Hasil ekspedisi menyaksikan kumpulan tersebut menemukan bangkai kapal Pella yang karam pada 2011 dan spesies sotong gergasi yang didakwa lebih besar dari manusia.



Ketua Program Sains OceanX, Mattie Rodrigue berkata, kemunculan sotong gergasi itu dikesan ketika kenderaan bawah air kendalian jarak jauh (ROV) melakukan tinjauan di sekitar kawasan bangkai kapal Pella


"Secara tiba-tiba, kami ternampak kelibat sotong gergasi melintasi bangkai kapal tersebut. Sotong gergasi itu mungkin dari spesies sotong terbang ungu atau 'purpleback flying squid' yang boleh membesar sehingga dua kaki atau 0.6 meter," katanya.


Laut Merah adalah lokasi terkenal bagi populasi sotong spesies itu. Saiz siripnya menunjukkan ia bukanlah dari spesies sotong gergasi. Pada 2018, seekor sotong gergasi sepanjang 14 kaki pernah ditemui terdampar di pantai New Zealand.


Menurut National Geographic, sotong gergasi paling besar ditemui ialah seberat 500 kilogram manakala saiznya ialah sepanjang 59 kaki. Mata sotong gergasi adalah mata haiwan terbesar di dunia iaitu diamater 10 inci.


Sementara itu, Rodrigue menyatakan, kapal Pella karam ketika dalam pelayaran ke pelabuhan Nuweiba di Mesir. Kapal yang membawa 1,229 penumpang itu karam selepas terbakar di perairan Aqaba, Jordan, menyaksikan seorang maut.


Bangkai kapal Pella yang karam pada 2011.
Rangka spesies dinosaur paling 'rare' hidup sekitar 70 juta tahun lalu ditemui di Brazil

Rangka spesies dinosaur paling 'rare' hidup sekitar 70 juta tahun lalu ditemui di Brazil


Rangka spesies dinosaur berkaki dua tidak bertaring yang hidup sekitar 70 juta tahun lalu ditemui di Brazil, kata penyelidik pada 18 November lalu dan menyebutnya sebagai penemuan 'sangat jarang' berlaku, lapor Newsweek pada 19 November 2021.


Dinosaur kecil itu, yang panjangnya kira-kira satu meter dan tingginya 80 sentimeter, adalah seekor theropod, iaitu kumpulan dinosaur yang hampir kesemuanya dipercayai adalah karnivor.


Namun, yang membinggungkan para penyelidik adalah penemuan spesies baru itu yang diberi nama Berthasaura leopoldinae mempunyai muncung seperti paruh tanpa gigi.


"Itu amat mengejutkan," kata pakar paleontologi yang membuat penemuan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Muzium Negara Brazil.


Mereka menerbitkan penemuan mereka dalam jurnal Nature, menyifatkan penemuan itu 'salah satu dinosaur paling lengkap ditemui dari zaman Cretaceous di Brazil'.


"Bahagian tanpa gigi menimbulkan keraguan mengenai jenis diet haiwan ini," kata penyelidik Geovane Alves Souza, salah seorang pengarang kajian.


"Namun ini tidak semestinya bermakna ia tidak makan daging. Banyak burung, seperti burung helang dan buzzard, makan daging dengan paruh. Kemungkinan besar, ia adalah omnivor yang hidup dalam sekitaran yang tidak begitu selamat di mana ia perlu makan apa sahaja yang boleh," tambahnya.


Rangka fosil itu ditemui di jalan raya luar bandar di negeri selatan Parana antara 2011 dengan 2014. Analisis mendedahkan ia adalah spesies baru yang hidup antara 70 juta dengan 80 juta tahun dahulu.


Spesies itu dinamakan sempena Bertha Lutz, seorang saintis dan penyokong gerakan kewanitaan Brazil yang dihormati yang meninggal dunia pada 1976, dan sempena Maria Leopoldina, permaisuri Brazil abad ke-19, yang adalah penaung sains.


Gambar dikeluarkan oleh Muzium Negara Rio de Janeiro pada 25 Januari 2021, menunjukkan ahli arkeologi memulihkan fosil spesies dinosaur yang sebelum ini tidak diketahui ditemui di selatan Brazil. - Foto AFP.

Sisa fosil spesies dinosaur baharu ditemui di Cruzeiro do Oeste, Brazil. - Foto CFP.
[Video] Gadis Berumur 16 Tahun Wajah Tiba-Tiba Berubah Macam Berusia 50 Tahun, Ini Sebabnya..

[Video] Gadis Berumur 16 Tahun Wajah Tiba-Tiba Berubah Macam Berusia 50 Tahun, Ini Sebabnya..


Seorang gadis berusia 16 tahun di Filipina tiba-tiba kelihatan seperti wanita berusia 50 tahun dalam jangka masa hanya dua tahun, kerana gangguan genetik yang jarang berlaku menyebabkannya kelihatan tua.


Memetik lapor laman berita Oddity Central pada 6 Oktober 2021, dalam episod Kapuso Mo, Raizel Calago mengatakan dia mula menyertai pertandingan kecantikan ketika dia berusia 14 tahun kerana penampilannya yang matang.


Sayangnya, wajah, leher, lengan, dan perutnya mulai mengalami berkedut hanya beberapa hari selepas dia menyedari mengalami ruam di tubuhnya.


"Ini seperti kulit tembikai pahit, kerana ia benar-benar berkedut. Saya mengalami tompok yang bermula dengan merah-merah dan gatal-gatal. Sakit apabila disentuh," kata Raizel.


Menurut Raizel, dia pernah menjalani pemeriksaan dan diberitahu dia mendapat penyakit daripada serangga. Dia diberi ubat, tetapi tidak memberi kesan.


Selain perubahan fizikal, Raizel mengatakan dia juga menderita sakit belakang. Akibat perubahan ini, Raizel mengatakan orang sering memberi komen bahawa dia kelihatan seperti berusia 50 tahun.


Selalunya, ada juga yang menyangka ibunya, Joela, 36, lebih muda daripadanya. "Ini menyakitkan hati apabila mereka memberitahu saya anak perempuan saya kelihatan lebih tua daripada saya," kata Joela.


Sejak itu, Raizel mulai keluar dengan wajah dan tubuhnya ditutup dengan pelitup muka dengan memakai seluar panjang dan jaket.


"Mereka tanya mengapa penampilan saya semakin tua. Saya tidak jawab kerana saya tidak tahu apa terjadi. Saya tidak salahkan ibu bapa saya kerana mereka juga tidak tahu.


"Saya selalu berdoa supaya menjadi lebih baik, dan kulit dan penampilan kembali seperti dulu. Sekiranya demikian, saya dapat bergaul dengan rakan. Saya tidak dapat (berbuat demikian) sekarang kerana malu," kata Raizel, harapannya hanya mahu kembali normal.


Pasukan Kapuso Mo, Jessica Soho membawa Raizel kepada ahli endokrinologi klinikal Dr James Young yang menerusi diagnosis awal menyatakan keadaan itu adalah progeria. Menurut Dr James, progeria juga boleh menyebabkan penyakit lain dan ujian makmal masih diperlukan.


"Satu masalah yang kita jangka adalah serangan atau kegagalan jantung, juga peningkatan risiko strok," katanya sambil menambahkan ini biasa dialami pesakit pada usia 14 tahun.


Walaupun Raizel tiada masalah kardiovaskular setakat ini, Dr James mengatakan penting untuk memeriksa bahagian lain tubuh gadis itu.


"Kami ingin tahu apakah ada perubahan kepadatan tulangnya kerana osteoporosis sangat biasa dalam kalangan pesakit progeria. Penyakit sendi degeneratif sering terjadi akibat penuaan," katanya.


Perbezaan wajah Raizel Calago dua tahun lalu dan yang terkini.

Sabtu, 23 September 2017

Mahu jadi 'makhluk asing tanpa jantina' wanita berhabis lebih RM200,000 menjalani lebih 100 pembedahan

Mahu jadi 'makhluk asing tanpa jantina' wanita berhabis lebih RM200,000 menjalani lebih 100 pembedahan


Vinny Ohh, seorang jurusolek dari Los Angeles, Amerika Syarikat, sanggup berhabis AS$50,000 (RM223,000) demi merealisasikan cita-citanya untuk menjadi makhluk asing. Dia telah menjalani lebih 100 pembedahan untuk memastikan hasratnya itu tercapai.


Ohh kini merancang untuk menjalani pembedahan untuk membuang alat sulit dan pusat, selepas menjalani pelbagai prosedur pembedahan wajah.


Dia juga selesa mengenakan kanta lekap berwarna hitam, yang didakwa menonjolkan lagi identiti 'makhluk asing' seperti yang diingininya.


Portal Toronto Sun melaporkan, Ohh yang berusia 22 tahun mula menjalani pembedahan ketika berusia 17 tahun.


"Saya mahu menjadi makhluk asing tanpa jantina, saya mahu luaran saya mencerminkan perasaan saya di dalam," kata Ohh kepada portal berkenaan.


Ditanya apa yang membuatkan dia tekad berbuat demikian, Ohh memberitahu, ia bermula kerana kegagalannya untuk menyesuaikan diri dengan orang di sekeliling, selain enggan menjadi mangsa jangkaan luar biasa yang biasa ditetapkan dalam masyarakat.


"lmej keseluruhan yang saya mahu lakukan adalah makhluk asing. Saya mahu menjadi kacukan, bukan lelaki atau perempuan. Saya mahu menjadi tanpa jantina sejak saya berumur 17 tahun," katanya.


Ohh bakal menjadi sebahagian daripada rancangan The Plastics of Hollywood, yang akan mengetengahkan bakat-bakat mereka yang obses dengan pembedahan plastik. - Sumber Toronto Sun.


Vinny Ohh tekad mengubah penampilan kerana kegagalannya untuk menyesuaikan diri dengan orang di sekeliling. - Foto Vinny Ohh.