Sabtu, 17 September 2022

62 kanak-kanak saksi penampakan UFO berbentuk cakera mendarat di belakang taman permainan sekolah

62 kanak-kanak saksi penampakan UFO berbentuk cakera mendarat di belakang taman permainan sekolah

Gambar hiasan.

Beberapa gambar yang disiarkan menunjukkan jejak didakwa ditinggalkan oleh objek terbang tidak dikenali (UFO) di sebuah padang sekolah dalam penampakan paling terkenal pada 1994 di Zimbabwe.


Puluhan kanak-kanak dari sebuah kelas di Sekolah Ariel, bandar Ruwa menarik perhatian media hampir 30 tahun lalu selepas mengatakan, mereka melihat kapal angkasa berbentuk cakera mendarat di sebuah padang di belakang taman permainan sekolah pada September 1994.


Ada yang mengatakan melihat makhluk asing seakan manusia keluar daripada kapal itu dan berkomunikasi dengan mereka.


Seorang pakar psikiatri dari Universiti Harvard kemudian menemu bual 62 kanak-kanak itu dan membuat kesimpulan bahawa mereka bercakap benar. Mereka yang kini dewasa masih berpegang kepada cerita tersebut setelah beberapa dekad menyaksikannya.


Gambar-gambar itu dikongsikan dalam dokumentari bertajuk Ariel Phenomenon mengenai kejadian yang mengejutkan itu.


Insiden tersebut adalah antara yang paling berharga dalam kalangan penyelidik. Mereka mengatakan bahawa disebabkan jumlah saksi, lukisan menarik yang dikatakan kapal angkasa dan makhluk yang dilukis pada hari yang sama menjadikan cerita itu sangat menarik.


Satu elemen yang kurang dalam kes luar biasa itu adalah bukti fizikal bahawa sesuatu telah mendarat di halaman sekolah tersebut pada pagi itu.


Seorang jurugambar, Gunter Hofer ialah antara yang pertama yang mendokumentasikan apa yang berlaku di tempat kejadian.


"Beberapa kanak-kanak berkata melihat kapal angkasa di lokasi berasingan di padang itu di mana saya menemukan kesan di atas rumput.


"Saya dapati dua kesan berbentuk bujur dengan berlainan saiz. Saya juga melihat kesan di atas tanah, sesuatu telah menekannya," katanya. - Sumber Daily Mail.


Jurugambar Gunter Hofer, yang merupakan salah seorang yang pertama di tempat kejadian yang mendokumentasikan kejadian itu, berkongsi gambarnya yang menunjukkan kesan berbentuk baji yang didakwa ditinggalkan oleh UFO di padang rumput. Kelihatan dia bergambar dekat rumput yang 'diratakan'. - Foto Gunter Hofer.

Pelajar Farrayi dan Guy Gibbon di Sekolah Ariel menunjukkan tempat kapal angkasa berbentuk cakera mendarat. - Foto Ariel Phenomenon.

Tapak pendaratan kedua yang didakwa pada hari Jumaat, 16 September 1994. - Foto Gunter Hofer.

Apabila murid sekolah diminta melukis pemerhatian mereka ketika itu, ada yang menghasilkan lukisan yang mengandungi dua objek, satu yang berbentuk cerut berlabel 'Khamis' dan satu lagi berbentuk cakera atau bujur, berlabel 'Jumaat'. - Foto Ariel Phenomenon.

Hofer berkata bahawa kebanyakan penerangan pelajar adalah 'sangat konsisten sebagai makhluk yang kelihatan pendek' dan 'banyak daripada mereka menggambarkan mata yang sangat besar'. - Foto Ariel Phenomenon.
Nelayan Taiwan tangkap jerung spesies prasejarah yang berada di Bumi sebelum kewujudan dinosaur

Nelayan Taiwan tangkap jerung spesies prasejarah yang berada di Bumi sebelum kewujudan dinosaur


Jerung enam insang hidung tumpul (bluntnose sixgill shark) yang jarang ditemui, spesies yang dipercayai telah berada di Bumi sebelum kewujudan dinosaur, ditangkap nelayan Taiwan dari daerah Taitung, pada 18 Julai 2022 lalu.


Jerung itu adalah spesies yang jarang ditemui kerana ia hidup pada kedalaman 200 hingga 1,000 meter di bawah paras laut, pembantu penyelidik di Pusat Biologi Marin Pantai Timur Institut Penyelidikan Perikanan, Wu Jui-hsien memberitahu Agensi Berita Central (CNA).


Meskipun kebanyakan spesies jerung moden telah berevolusi dan memiliki lima insang, jerung bluntnose masih mempunyai enam insang seperti nenek moyang mereka, jelas Wu.



Menurut Jui-hsien, ikan seberat 420 kilogram itu ditangkap di Lautan Pasifik oleh bot nelayan yang berpangkalan di Taitung dan dibawa ke pelabuhan di daerah timur Taiwan, Xingang.


Hasil tangkapan berukuran kira-kira 395 sentimeter panjang itu dilelong pada pada Ahad, 18 Julai lalu.


Menurut Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), jerung bluntnose disenaraikan sebagai 'hampir terancam' kerana jangka hayatnya yang panjang yang menjadikannya buruan serta terdedah kepada eksploitasi.


Berdasarkan maklumat yang disiarkan di laman web Muzium Florida, jerung bluntnose hampir menyerupai fosil berusia kira-kira 200 juta tahun dahulu. Sumber Focus Taiwan.


Ikan seberat 420 kilogram itu ditangkap di Lautan Pasifik oleh bot nelayan yang berpangkalan di Taitung. - Foto CNA.

Ahad, 13 Mac 2022

Sebuah syarikat ingin menggerudi lubang paling dalam hingga kerak Bumi untuk menghasilkan tenaga tanpa had

Sebuah syarikat ingin menggerudi lubang paling dalam hingga kerak Bumi untuk menghasilkan tenaga tanpa had


Sebuah syarikat tenaga yang dikenali sebagai Quaise berhasrat memulakan usaha yang belum pernah dilakukan mana-mana pihak sebelum ini, iaitu menggerudi lubang paling dalam hingga kerak bumi, lapor laman berita MashableSE Asia pada 9 Mac 2022.


Projek penggerudian ini dirancang untuk mendapatkan sumber tenaga tanpa batas dari bebatuan geoterma yang tertimbus jauh di dalam kerak bumi.


Setakat ini, rekod lubang paling dalam yang pernah digerudi adalah kira-kira 12.3 kilometer di Rusia, namun ia masih tidak mampu mencapai tahap di mana haba dari dalam lapisan bumi boleh dimanfaatkan secara meluas.


Namun begitu, syarikat Quaise percaya bahawa lapisan bumi boleh digali lebih dalam dengan menggabungkan kaedah penggerudian terkini dengan kebolehan alat penjana kuasa megawatt yang dikenali sebagai gyrotron.


Gyrotron merupakan sebuah alat yang diinspirasikan dari pelakuran nuklear dan mampu menjana gelombang elektromagnet dalam spektrum gelombang milimeter.


Dalam bahasa mudah, gyrotron secara teorinya mampu membakar bebatuan yang sering menghalang proses penggerudian sebelumnya kerana sangat sukar dipecahkan.


Quaise menjangka, gyrotron mampu menggerudi sedalam 20 kilometer dalam masa beberapa bulan sahaja untuk sampai ke posisi bebatuan geoterma yang mencatatkan suhu setinggi 500 darjah Celcius.


Dengan jumlah haba setinggi ini, tenaga yang dihasilkan mampu mengubah cecair yang dipam ke dalam bentuk seakan-akan wap superkritikal. Wap superkritikal mempunyai kelikatan gas yang rendah dan ketumpatan cecair yang tinggi.


Bentuk wap seperti ini dikatakan sesuai untuk menjana tenaga elektrik apabila disalurkan ke bahagian turbin dan penjana.


Sementara itu, Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menganggarkan penggunaan kuasa geoterma akan berkembang pada kadar 13 peratus setahun untuk mencapai peratusan sifar menjelang tahun 2050.


Quaise dikatakan telah berjaya mengumpul dana sebanyak US$63 juta (RM 264 juta) untuk memulakan projek tersebut dan dijangka memulakan projek menggali lubang paling dalam hingga kerak bumi dalam tempoh dua tahun lagi.


Syarikat tenaga berkenaan memperkirakan sistem geoterma tanpa batas tersebut befungsi sepenuhnya pada tahun 2026. Quaise juga berharap sistem baharu ini bakal mengambil alih dan mengubah stesen jana kuasa bahan api arang batu kepada unit berkuasa wap dalam tempoh enam tahun lagi.


Tenaga geoterma diperoleh daripada menukar air menjadi wap menggunakan haba dari dalam di bawah tanah. - Foto Greenesa.
Berang ditegur alihkan kereta dari mesin pam angin, pemandu mercedes bertindak 'cucuk' perodua viva yang menegurnya

Berang ditegur alihkan kereta dari mesin pam angin, pemandu mercedes bertindak 'cucuk' perodua viva yang menegurnya


Semua orang mengetahui setiap stesen minyak menyediakan sejumlah kecil tempat pam angin tayar, jadi orang ramai perlu bertolak-ansur semasa menunggu giliran untuk menggunakan mesin tersebut.


Baru-baru ini seorang pengguna pam angin tayar di sebuah stesen minyak yang bertengkar dengan seorang pemandu Mercedes-Benz telah merakam kejadian itu. Video insiden tersebut kemudian telah dikongsi di media sosial oleh perakam asal.


Kejadian berlaku apabila pemandu Mercedes-Benz itu mengambil masa yang agak lama semasa berada di mesin pam angin tayar, apabila pengguna lain menghampiri kereta tersebut didapati pemandu itu sedang menangkap gambar rim keretanya walaupun pengguna lain sudah beratur panjang menunggu giliran.


Apabila pekerja stesen minyak meminta pemandu Mercedes-Benz itu beredar, pemandu itu didakwa telah memarahi pekerja tersebut. Selepas itu dia didakwa telah meletakkan kereta di belakang kenderaan perakam video kejadian yang sedang menggunakan mesin tersebut supaya tidak dapat keluar dari situ.


Pertengkaran itu tidak habis di situ sahaja apabila pemandu Mercedes-Benz dirakam membunyikan hon panjang dan mengejar rapat belakang kereta perakam video kejadian untuk beberapa tempoh semasa berada di jalan besar luar kawasan stesen minyak.


Hantaran video itu telah meraih pelbagai reaksi orang ramai yang menonton insiden terbabit. Ramai mempertikaikan tindakan pemandu Mercedes-Benz itu yang boleh mendatangkan insiden kemalangan jalan raya.


Tangkap layar video menunjukkan sebuah kereta jenis Mercedes mengejar dan 'cucuk' kenderaan mangsa kerana tidak berpuas hati apabila ditegur untuk mengalihkan kereta selepas dia mengambil masa lama menangkap gambar rim tayarnya di mesin pam angin terbabit.

Isnin, 7 Mac 2022

Tak sangka lukisan yang dibeli hanya RM125 di sebuah kedai buku rupanya bernilai RM41 Juta

Tak sangka lukisan yang dibeli hanya RM125 di sebuah kedai buku rupanya bernilai RM41 Juta


Seorang lelaki tidak menyangka lukisan yang dibelinya dengan harga $30 (RM125) di sebuah kedai buku yang turut menjual barangan terpakai, sebenarnya bernilai jutaan ringgit, lapor CNN pada 3 Februari 2022.


Lukisan dari abad ke-16 karya pelukis ternama zaman Renaissance Jerman ini dibeli oleh seorang pengumpul seni karya dan konsultan galeri seni, Clifford Schorer.


Menurut Agnews Gallery, lukisan berkenaan kemudiannya dikenal pasti sebagai 'The Virgin and Child', sebuah legasi dari seorang tokoh ternama Jerman, Albrecht Dürer yang meninggal dunia pada tahun 1528.


Memetik CNN, Schorer berkata dia secara kebetulan menemukan lukisan berkenaan pada tahun 2019, semasa dalam perjalanan ke sebuah pesta di Massachusetts.


Teringat bahawa dia belum membeli hadiah untuk pesta tersebut, Schorer singgah di sebuah kedai buku yang turut menjual barangan terpakai. Pemilik kedai kemudian memberitahu Schorer dan rakannya bahawa dia memiliki lukisan Dürer dan bertanya sama ada Schorer mahu melihat lukisan tersebut.



Walaupun bersetuju untuk melihat lukisan berkenaan, Schorer mengaku tidak meletakkan harapan tinggi, memandangkan karya tidak diketahui pelukis legenda itu terakhir kali ditemui lebih 100 tahun lalu.


Menurut pemilik kedai tersebut, lukisan ini dibeli dari jualan garaj di rumah seorang arkitek yang katanya menerima lukisan berkenaan dari sang ayah yang merupakan peniaga karya seni.


Bercakap tentang karya seni yang tak disangka-sangka itu, Schorer menyifatkan penemuan ini sebagai sesuatu yang mengujakan.


"Apabila anda berada dalam dunia saya, anda akan habiskan seumur hidup anda mencari sesuatu yang tak pasti di mana ia mengarah kepada penyelidikan yang menarik.


"Saya melihat diri saya berada pada permulaan sesuatu yang mengujakan," kata Schorer, menceritakan perjalanannya selama tiga tahun untuk mengesahkan keaslian lukisan tersebut.


Sepanjang tiga tahun itu, Schorer dikatakan telah terbang sebanyak 17 kali untuk mendapat konsultasi dari pakar-pakar di seluruh dunia.


Schorer dikatakan turut menemui pakar dari Muzium British di London untuk menyelidik lukisan 'The Virgin and Child' bersama karya-karya Dürer yang lain.


Setelah melalui analisis usia teknikal dan mengambil kira ciri khas karya Dürer, Schorer percaya lukisan berkenaan bernilai lapan angka dan melebihi $10 juta (RM41.78 juta). - Sumber CNN.

Ahad, 27 Februari 2022

Bukan kucing sebarangan, sering membantu pelancong sesat di kawasan pergunungan

Bukan kucing sebarangan, sering membantu pelancong sesat di kawasan pergunungan


Siapa sahaja yang tidak terpegun dengan keindahan pergunugan Alps di Switzerland. Tidak hanya memiliki Alps, negara indah itu juga memiliki terikan pelancongan lain yang tidak kurang hebatnya.


Antara lokasi yang menjadi tumpuan pengunjung di Switzerland ialah Gimmewald Village. Walaupun pengangkutan di situ tidak begitu efisien tetapi kawasan tersebut sering dikunjungi ramai kerana memiliki pemandangan yang sangat indah.


Suatu ketika dahulu, pernah ada pengunjung yang berkongsi pengalamannya semasa berada di situ dan apa yang dilaluinya adalah sesuatu yang sangat menarik.


Semuanya bermula apabila dia terperangkap di atas gunung. Pada mulanya dia ingin berjalan mendaki naik ke gunung tetapi laluan ketika itu telah ditutup. Jadi, dia memutuskan untuk melalui jalan lain sehingga sampai ke atas dan bercadang untuk menaiki kereta kabel untuk turun semula ke bawah.



Namun, apabila sampai di atas dia mendapati kereta kabel tidak berfungsi. Apa yang lebih membimbangkan dia telah terjatuh semasa berjalan dan akibatnya kakinya terseliuh. Dia kemudian terpaksa meneruskan perjalanan dengan menggunakan kayu yang dijadikan sebagai tongkat.


Dia mula panik apabila dia gagal mencari jalan keluar walaupun berjalan dengan melihat peta. Tiba-tiba muncul seekor kucing datang kepadanya dan memandang tepat ke arahnya. Kucing itu kemudian berbunyi dan mula berjalan pergi. Namun, dia kembali berpaling ke belakang ke arah pelancong tersebut seolah-olah mahu memberitahu sesuatu.


Dia kemudian berbunyi lagi, seperti mahu mengajak pelancong tersebut untuk mengikuti langkahnya. Pelancong tersebut kemudian mengikuti langkah kucing yang berwarna hitam putih itu yang mula meninggalkan kawasan berkenaan.


Apa yang lebih menarik kucing tersebut seolah-olah faham bawah kaki pelancong sedang sakit. Jadi, dia berjalan di hadapan dengan perlahan. Kucing itu juga sempat berhenti beberapa kali supaya pelancong yang mengikutinya dalam keadaan selesa.



Dia juga berbunyi seolah-olah mahu memberitahu bahawa, 'jangan risau, saya akan menunggu kamu.' Selepas berjalan selama beberapa ketika, pelancong tersebut sampai di sebuah kampung di mana tempat dia memulakan perjalanan tadi. Dia juga dapat melihat hotelnya di situ.


Kini, barulah dia tahu bahawa kucing tersebut telah membantunya keluar dari kesesatan yang dilaluinya tadi. Dia berasa sangat tersentuh kerana kucing tersebut telah menolongnya ketika dalam keususahan.


Dia kemudian menulis pengalaman tersebut di internet bersama dengan video yang diambil sepanjang perjalanan. Tanpa disangka, ceritanya mula mendapat perhatian netizen. Rupa-rupanya ramai pelancong yang pernah berjumpa dengan kucing tersebut dan ramai juga yang berkongsi kisah mereka dengan kucing tersebut.


Sekali lihat mungkin kucing itu hanya seperti kucing biasa yang lain. Namun, siapa sangka dia telah membantu ramai penunjung yang sesat di kawasan pergunungan itu. Jelas sekali dia memiliki kebolehan yang luar biasa serta hati yang baik kerana sering membantu mereka yang memerlukan bantuannya. - Sumber erabaru.


Pemancing terkejut jumpa bangkai ikan 'matahari' gergasi terdampar di pantai

Pemancing terkejut jumpa bangkai ikan 'matahari' gergasi terdampar di pantai


Siapa sangka akan menjumpai bangkai ikan matahari gergasi. Namun itulah yang dikongsi oleh dua pemancing yang menjumpai ikan tersebut terdampar di pantai.


Steven Jones dan rakannya, Linette Grzelak menemui ikan itu di satu kawasan pantai Goolwa Pipico yang terletak kira-kira 25 kilometer dari River Murray, sebuah destinasi memancing serta pelancongan popular di Australia Selatan.


Memetik lapor Daily Mail pada 21 Mac 2019, mereka terkejut dan hampir tidak percaya apabila menemui bangkai ikan matahari gergasi yang dianggarkan sepanjang 2.5 meter, dengan berat mencecah beberapa ratus kilogram terdampar di pantai tersebut.


Grzelak yang memuat naik gambar ikan itu di Facebook berkata, dia pada mulanya menyangka ikan itu adalah kayu kerana ia terlalu besar.


"Pada mulanya saya menyangka ianya palsu. Jones menemuinya terdampar di pantai dan ia kelihatan seperti kayu yang besar," katanya.


Ikan matahari atau dikenali sebagai mola mola boleh membesar hingga mencecah tiga meter panjang dengan berat mencecah 2.5 tan. Ia juga sangat jarang ditemui kerana habitatnya di laut dalam dan terpencil. - Sumber Daily Mail.


Steven Jones (kanan) bersama rakannya, Hunter bergambar bersama bangkai ikan matahari yang ditemui mereka. - Foto Linette Grzelak.

Ikan mola mola atau ikan matahari - ikan ini merupakan salah satu ikan purba yang masih hidup. Foto Getty Imeges.

Ahad, 23 Januari 2022

Menara tergantung di langit dan sentiasa bergerak mengeliling Bumi bakal di bina

Menara tergantung di langit dan sentiasa bergerak mengeliling Bumi bakal di bina


Dalam dunia sains dan teknologi, kita sering dihidangkan dengan idea-idea luar kotak yang ada kalanya sukar untuk digambarkan. Sebagai contoh, idea membangunkan penempatan manusia di Marikh juga seakan-akan tidak masuk akal.


Ketika ini, Burj Khalifa setinggi 828 meter yang terletak di Dubai merupakan bangunan pencakar langit tertinggi di dunia dan menjadi simbolik kepada negara tersebut. Biasanya, menara atau bangunan tinggi akan dibina bermula dari tapaknya dan ke atas.


Menerusi lapor Daily Mail pada 28 Mac 2017, sebuah firma reka bentuk New York, telah mencadangkan sebuah menara yang akan tergantung dari asteroid pada ketinggian 31,068 batu dari Bumi. Firma yang mengeluarkan konsep rekaan ini sememangnya pakar dalam reka bentuk konsep yang pelik.


Difahamkan, rekaan bangunan tersebut yang dikenali sebagai menara Analemma ini akan tergantung pada asteroid, yang diikat dengan kabel yang sangat kuat serta bergerak di orbit 'geosinkron eksentrik' dalam laluan berbentuk nombor 8.


Ia akan sentiasa bergerak dan penduduk serta pelawat yang berada dalam bangunan ini akan melakukan perjalanan harian antara hemisfera utara dan selatan. Berkemungkinan titik permulaan bagi menara ini bermula di bandar New York atau Dubai.


Untuk pengetahuan anda, NASA sudah menjadualkan misi penangkapan asteroid, selepas Agensi Ruang Angkasa Eropah berjaya mendarat di permukaan komet bergerak pada tahun 2015, maka hal ini dirasakan tidak mustahil untuk dilakukan mereka.


Ostap Rudakevych, pereka bentuk konsep Menara Analemma, mendakwa bahawa menara itu boleh diperbuat daripada bahan tahan lama dan ringan seperti serat karbon dan aluminium. Kemajuan dalam kejuruteraan, kabel diperlukan untuk mencapai kekuatan kabel yang diperlukan untuk menyokong struktur menara ini.


Untuk penggunaan tenaga elektrik pula, tenaga elektrik akan datang dari panel solar yang mempunyai pendedahan kepada cahaya matahari secara berterusan. Sementara itu, air untuk kegunaan dalam menara akan ditangkap dari awan dan air hujan dan disimpan dalam sistem gelung separa tertutup.


Penggunaan drone penumpang yang besar membolehkan manusia bergerak bolak-balik antara menara dan permukaan Bumi, bersama dengan elevator elektro-magnetik canggih yang memudahkan pergerakan pergi dan balik dari menara ini.


Pada masa ini, terdapat cadangan agar menara ini dibina di Dubai yang mempunyai sejarah panjang membina bangunan pencakar langit yang tinggi dan bergaya, dengan kos yang lebih rendah berbanding kos pembinaan pencakar langit yang berpusat di AS.


Manusia Diramal Bakal Menghuni Ruang Angkasa, Bumi Hanya 'Planet Percutian'

Manusia Diramal Bakal Menghuni Ruang Angkasa, Bumi Hanya 'Planet Percutian'


Percaya atau tidak, banyak ramalan saintis Barat yang mengatakan bahawa pada suatu hari nanti manusia tidak lagi menetap di Bumi. Planet ketiga dalam sistem suria ini dikatakan tidak selamat untuk didiami. Justeru, ruang angkasa dipilih sebagai tempat tinggal baharu.


Memang kita berpendapat bahawa ramalan itu tidak masuk akal, tetapi tahukah anda, ramai pelabur sanggup membelanjakan dana yang besar untuk membina silinder gergasi di angkasa sebagai penempatan baharu.


Bukan hanya lengkap dengan bekalan oksigen dan memiliki alam semula jadi persis bumi, dengan 'sungai, hutan dan hidupan liar', teknologi tersebut dikatakan mampu mencipta semula graviti.


Memetik lapor Daily Mail pada 12 November 2021, pendedahan tersebut dibuat oleh pengasas firma Amazon dan Blue Origin, Jeff Bezos yang turut meramalkan manusia akan tinggal di angkasa lepas dan menjadikan Bumi sebagai 'planet percutian'.



Bezos berkata, ciptaan silinder terapung itu dilengkapi sungai, hutan dan hidupan liar, malah tiada lagi ancaman gempa bumi atau cuaca buruk.


"Dalam tempoh beberapa ratus tahun dari sekarang, tidak mustahil angkasa akan menjadi rumah manusia dan hidup dalam koloni tertentu.


"Jika mahu mengubah Marikh sebagai penempatan baharu, ia cukup sukar. Ditambah planet itu hanya mampu menampung hingga 20 bilion penduduk sahaja," katanya.


Teori ekstrem atau ramalan masa depan yang kononnya Bumi satu hari nanti tidak akan menjadi planet yang selamat, mungkin banyak dipengaruhi dengan lambakan filem antarabangsa yang menjadikan kehidupan di angkasa lepas adalah perkara biasa.


Pun begitu, ramai yang menganggap andaian tersebut mungkin benar kerana kemajuan teknologi masa kini memungkinkan segala-galanya. Sedangkan sistem kecerdasan buatan (AI) mampu mengatasi kemampuan manusia, inikan pula rencana besar penciptaan 'planet' baharu.


Apatah lagi, penemuan planet persis Bumi oleh National Aeronautics and Space Administration (NASA) baru-baru ini juga membuatkan ramai tertanya sejauhmana kebenaran tersebut.


Penemuan planet baharu pada jarak 4.2 tahun cahaya dari Bumi itu dikatakan memiliki sumber air mencukupi, jumlah pencahayaan dan keadaan geografi sempurna.


Para penyelidik Barat juga mengesahkan planet tersebut memiliki iklim yang sesuai untuk dihuni manusia, namun timbul pula persoalan kebarangkalian wujudnya makhluk asing di sana.


Persoalan demi persoalan timbul membuatkan ramai berfikir panjang. Adakah manusia mampu menolak takdir? Dan meninggalkan Bumi yang semakin tenat dengan pencemaran yang tidak terkawal dan penerokaan hutan berluasa.


Konsep gambar ilustrasi tentang koloni angkasa lepas O'Neill Bezos, dengan pertanian dan pengangkutan berkelajuan tinggi. - Foto Blue Origin.
Tiada Kesan Hidupan Marikh Ditemui Pada Meteorit Di Antartika

Tiada Kesan Hidupan Marikh Ditemui Pada Meteorit Di Antartika


Meteorit dianggarkan berusia 4 bilion tahun dari Marikh yang jatuh di Bumi beribu-ribu tahun lalu, yang ditemui di Antartika disahkan tidak mengandungi bukti kehidupan Marikh purba dan primitif di dalamnya, lapor PHYS pada 16 Januari 2022.


Menurut saintis, berjuta-juta tahun selepas hanyut melalui angkasa, meteorit itu 'mendarat' dikawasan berais di Antartika. Serpihan kecil kelabu-hijau itu diberi nama Allan Hills 84001 (ALH84001) sempena nama dari bukit tempat batu meteor itu ditemui.


Ia disahkan oleh saintis selepas lebih sedekad penyelidikan dijalankan ke atas sampel batu meteor tersebut sekaligus menafikan dakwaan NASA pada tahun 1996 dahulu kononnya terdapat hidupan pada meteorit tersebut.


Hasil penyelidikan terbaharu oleh pasukan yang diketuai oleh Andrew Steele dari Carnegie Institution for Science melaporkan bahawa meteorit itu hanya mengandungi air.


"Sampel kecil daripada meteorit menunjukkan sebatian kaya karbon sebenarnya adalah hasil daripada air. Kemungkinan besar air masin, atau air mengalir ke atas batu untuk tempoh yang berpanjangan," kata Steele.


Menurutnya, pada masa lalu Marikh mungkin mengandungi air - sekurang-kurangnya dua hentaman berlaku berhampiran batu yang turut memanaskan permukaan sekeliling planet, dan hentaman ketiga melantunnya dari planet merah itu ke angkasa lepas berjuta-juta tahun yang lalu.


Menurut para penyelidik, air bawah tanah yang bergerak melalui celah-celah batu, semasa ia masih di Marikh, membentuk gumpalan kecil karbon yang ada. Perkara yang sama boleh berlaku di Bumi dan boleh membantu menjelaskan kehadiran metana dalam atmosfera Marikh, kata mereka.


Meteorit yang dilabelkan sebagai ALH84001 pada tahun 1996 telah mencetuskan perdebatan ekoran dakwaan NASA yang mendakwa batu tersebut mengandungi hidupan primitif di dalamnya. Batu angkasa seberat 2 kilogram tersebut telah ditemui pada tahun 1984 di Antartika.


Penyelidik menyatakan, satu-satunya cara untuk membuktikan terdapat hidupan di Marikh adalah dengan membawa balik sampel batuan dari planet merah itu ke Bumi untuk dianalisis.


Para saintis berkata mereka telah mengesahkan meteorit berlabel ALH84001 dari Marikh tidak mengandungi bukti kehidupan purba Marikh. - Foto David J. Phillip.