Segitiga Bermuda sering dirujuk sebagai 'Segitiga Syaitan'. Namun, adakah kawasan ini benar-benar berbahaya untuk kapal terbang? Pelbagai cerita atau mitos yang pernah kita dengar sama ada ia benar-benar terjadi atau hanya sekadar fantasi sahaja.
Menerusi satu hantaran Zamir Mohyedin di laman Facebook, antara mitos terbesar yang kita pernah disuap masa kecil dulu ialah ruang lautan di Segitiga Bermuda tidak dapat dilalui, apabila mana-mana kapal laut dan kapal terbang yang melaluinya akan hilang secara misteri.
"Pada hari ini kita dapat lihat sebenarnya ia adalah sekadar mitos. Ia merupakan antara kawasan yang tersibuk di dunia. Banyak kapal keluar masuk setiap hari. Tiada sebarang kehilangan misteri dan pelik seperti yang digembar-gemburkan," tulisnya.
Rata-rata orang ramai memberi pelbagai reaksi di ruangan komen.
"Dahulu, saya pun terjebak juga, selepas itu, bila sudah duduk Amerika Syarikat (AS), saya pergi satu pejabat travel ejen sini, terkejut juga kenapa ada pakej melancong ke Bermuda Segitiga.
"Dalam hati pula kata tak takut ke hilang, sekali tengok 'gambar' pakej dia, cantiknya tempat itu, rupanya selama ini aku kena tipu ke," kata Cik Tie.
Sementara itu, Amirul Hakimi Azman turut meninggalkan komen; "Serius lah, baca cerita macam-macam katanya ada pusaran besar yamg menyedut kapal-kapal lalu situ. Ada kata nampak makhluk besar-besar siap azan bagai.. ker kena scam ini," ujarnya.
Kisah Segitiga Bermuda telah wujud sejak beberapa dekad lalu berpunca daripada siri kehilangan kapal dan pesawat yang tidak dapat dijelaskan. Pada tahun 1945, sebanyak 5 pesawat Tentera Laut AS dan 14 orang dilaporkan hilang di kawasan itu ketika menjalankan latihan rutin.
Pada masa itu, kapten pesawat, Leftenan Charles Taylor, kedengaran di radio berkata; "Kami masuk air putih, ada yang tidak kena. Kami tidak tahu di mana kami berada, airnya hijau, bukan putih."
Tentera Laut AS menjalankan siasatan dan akhirnya melaporkan insiden 'sebab yang tidak diketahui.' Sejak kejadian itu sehingga 1980-an, sebanyak 25 pesawat kecil hilang ketika melalui Segitiga Bermuda.
Pesawat-pesawat itu tidak pernah dilihat lagi dan tiada serpihan pernah ditemui. Akibatnya, cerita ini mendapat perhatian orang ramai. Sesetengah orang kemudian memberikan pelbagai penjelasan yang berlebihan bahawa terdapat kuasa paranormal atau ghaib.