Memaparkan catatan dengan label Artifak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Artifak. Papar semua catatan

Isnin, 17 Januari 2022

Penemuan Mengejutkan Kota Legenda Thonis Yang Hilang Di Dasar Laut Mediterranean

Penemuan Mengejutkan Kota Legenda Thonis Yang Hilang Di Dasar Laut Mediterranean

 

Sebelum ini ramai menyangka bahawa kota legenda purba Thonis-Heracleion hanyalah satu mitos, namun penemuan ke atas kota tersebut pada tahun 2000 lalu sekaligus menyangkal dakwaan pelbagai pihak, kota yang selama ini dikatakan mitos sebenarnya pernah wujud.

Kota purba ini dikatakan lenyap di kawasan Mediterranean sekitar 1200 tahun dahulu. Kota yang diselubungi misteri ini ditelan oleh Laut Mediterranean, tertanam di dalam pasir dan lumpur beribu tahun lamanya. Hasil dari penemuan ini, ahli arkeologi akhirnya berjaya membongkar misteri Heracleion.

Mereka turut mendedahkan artifak-artifak menakjubkan yang masih terpelihara dengan baik dalam penemuan itu. Kota ini dikenali sebagai Heracleion oleh orang-orang Yunani purba, dan orang-orang Mesir purba pula menyebut dengan nama Thonis.

Ahli arkeologi, iaitu Dr Franck Goddio dan pasukan dari European Institute for Underwater Acheology (IEASM) menemui kota ini pada tahun 2000. Mereka kemudian melakukan satu kajian geofizik selama empat tahun. Penemuan tersebut bermula di bahagian utara pantai Mesir.


Kumpulan mereka turut menemui 64 bangkai kapal pedagang yang dipercayai menjalankan urus niaga dengan penduduk kota tersebut, syiling emas dan patung-patung gergasi. Runtuhan kota yang hilang itu ditemui 30 kaki di bawah permukaan Laut Mediterranean di Aboukir Bay, berhampiran Alexandria, Mesir.

Mereka berjaya mengeluarkan pelbagai artifak keagamaan di bandar tenggelam itu, termasuk ukiran batu 16 kaki dan batu kapur (Sarcophagi) yang dipercayai mengandungi haiwan mumia. Selain itu, pihaknya melaporkan turut menemui kepingan batu berukir tulis purba Yunani dan Mesir Purba di tapak penemuan kota tersebut.

Tetapi disebalik semua keseronokan atas penggalian itu, satu misteri tentang Thonis-Heracleion kekal sebahagian besarnya tidak dapat diselesaikan dengan tepat, Mengapa ia tenggelam? Berdasarkan teori awal penyelidik, kota tersebut dikatakan tergelincir ke dasar laut selepas ia dibina pada abad ke-8 sebelum Masihi.

Sebelum kota Thonis-Heracleion hilang, dikatakan kota ini dibina sekitar muara Sungai Nil. Andaian itu dibuat berdasarkan patung gergasi granit merah Dewa Hapi iaitu dewa Sungai Nil yang dijumpai bersama dengan penemuan kota tersebut. Antara teori lain yang turut dikemukakan termasuklah kenaikan paras air laut dan tragedi bencana alam yang menimpa, menyebabkan kota tersebut terkubur ribuan tahun lamanya.

Pasukan penyelidik Goddio juga berpendapat bahawa berat bangunan besar yang didirikan di atas permukaan tanah liat menyebabkan air masuk dirantau itu, dan mungkin tanah pasir telah menyebabkan sebahagian besar kota itu tenggelam ekoran gempa bumi. - Sumber Greece High Definition.


Colossus Ratu Ptolemaic dibuat daripada granit merah berukuran 490 cm dan seberat 4 tan. - Foto Franck Goddio/Hilti Foundation.

Franck Goddio memeriksa batu yang dipenuhi serpihan emas. Sebuah bekas emas Phiale turut dijumpai di kota Thonis-Heracleion. - Foto Franck Goddio/Hilti Foundation.

Patung Gangsa firaun dari dinasti ke-26 turut ditemui di kuil sekitar Amon di Heracleion. - Foto Franck Goddio/Hilti Foundation.

Franck Goddio dan pasukan penyelamnya memeriksa patung firaun. Patung gergasi itu berukuran lebih 5 meter tinggi dibuat dari granit merah. - Foto Franck Goddio/Hilti Foundation.

Franck Goddio dengan tugu bersurat Heracleion yang masih utuh setinggi 1.9 meter. - Foto Franck Goddio/Hilti Foundation.

Lampu minyak Gangsa Hellenistic dari abad ke-2 SM ditemui di kuil Amon. - Foto Franck Goddio/Hilti Foundation.

Rabu, 5 Januari 2022

Penemuan Mengejutkan Mesin Kod Rahsia Nazi Di Dasar Laut Baltik

Penemuan Mengejutkan Mesin Kod Rahsia Nazi Di Dasar Laut Baltik


Sekumpulan penyelam Jerman menemukan mesin pemecah kod rahsia Enigma milik Nazi di dasar Laut Baltik. Mesin itu digunakan tentera Nazi untuk menghantar mesej berkod ketika Perang Dunia Kedua. Penemuan unik itu diserahkan kepada muzium pada 4 Disember 2020 untuk dibaik pulih. 


Mesin kod legenda itu ditemukan bulan lalu ketika penyelam berkenaan mencari pukat terbiar di Teluk Gelting di timur laut Jerman. Penyelam itu asalnya dalam misi kumpulan alam sekitar, WWF.


Ketua penyelam, Florian Huber, berkata, salah seorang penyelam naik ke permukaan dan memberitahu ada pukat dengan mesin taip lama. Kumpulan itu bagaimanapun menyedari mereka sebenarnya menemukan artifak sejarah dan memaklumkan kepada pihak berkuasa.


Sementara itu, Ketua Jabatan Arkeologi Schleswig-Holstein, Ulf Ickerodt, berkata mesin itu akan dipulihara pakar daripada muzium arkeologi. Proses pemuliharaan itu termasuk penyahgaraman kerana ia sudah berada di dasar Laut Baltik selama tujuh dekad, sekali gus dijangka mengambil masa setahun. Selepas selesai, Enigma akan dipamerkan di muzium berkenaan.



Dalam perkembangan sama, sejarawan tentera laut daripada Persatuan Tentera Laut Jerman, Jann Witt memberitahu agensi berita DPA bahawa beliau percaya mesin yang memiliki tiga rotor atau dinamo itu, dibuang daripada kapal perang Jerman pada hari-hari terakhir perang.

Menurut sumber lain, beberapa saat sebelum Nazi Jerman menyerah pada Mei 1945, tentera mereka diperintahkan menenggelamkan sekitar 50 kapal selam U-Boot, termasuk juga mesin-mesin Enigma.

Pada Perang Dunia ke-2, Enigma dipakai Nazi untuk mengirim dan menerima pesan rahsia. Namun, para pakar pihak Berikat di Bletchley Park yang dipimpin oleh Alan Turing berhasil memecahkan kode mesin ini sehingga menjadi salah satu penentu kemenangan Sekutu atas Nazi.

Ketika itu, Kuasa Berikat bertungkus-lumus untuk memecahkan kod yang dihasilkan mesin Enigma Jerman itu yang berubah setiap 24 jam. Kejayaan ahli Matematik British, Alan Turing yang dianggap bapa komputer moden benar-benar dianggap pahlawan besar, kini wajahnya tercetak di pecahan 50 poundsterling.

Kejayaan itu membantu Kuasa Berikat untuk menterjemah mesej radio penting mengenai pergerakan tentera Jerman. Sejarawan percaya kejayaan itu memendekkan tempoh perang sebanyak dua tahun.

Kisah itu diadaptasi kepada filem pada 2014 dengan judul The Imitation Game yang menampilkan pelakon British yang juga calon Anugerah Oscar, Benedict Cumberbatch yang membawa watak Turing.

Gambar diedarkan World Wildlife Fund (WWF) menunjukkan mesin Enigma yang ditemukan di dasar Laut Baltik di timur laut Jerman.