Memaparkan catatan dengan label Prasejarah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Prasejarah. Papar semua catatan

Sabtu, 1 Oktober 2022

Rangka gajah berusia 12,000 tahun ditemui di Chile

Rangka gajah berusia 12,000 tahun ditemui di Chile


Saintis Chile menemui rangka spesies gajah berusia 12,000 tahun di Tasik Tagua Tagua, selatan negara itu, baru-baru ini, lapor Reuters pada 28 September 2022.


Ahli arkeologi, Carlos Tornero yang bertugas di lokasi penemuan itu berkata, berdasarkan sejarah, spesies Gomphotheres menjelajah selatan Chile, ribuan tahun lalu dan telah pupus sejak 11,700 tahun lalu.


Katanya, saiz haiwan itu yang memiliki berat sehingga empat tan dan boleh mencapai tiga meter menyebabkan mereka percaya gajah itu adalah sasaran pemburuan kumpulan penduduk di rantau ini.



"Hipotesis yang kami jalankan ini mengenai memburu dan aktiviti berburu.


"Kami fikir ini kerana Gomphothere adalah haiwan yang sangat besar dan berbahaya dan ia mungkin memerlukan beberapa orang (untuk memburunya)," katanya.


Para saintis berkata penemuan itu juga akan membolehkan mereka mengkaji kesan peninggalan manusia yang lebih luas di rantau ini, dan bagaimana perubahan iklim menjejaskan haiwan di kawasan itu pada masa itu.


"Kami boleh mendapatkan banyak maklumat dari sini, contohnya berkaitan dengan perubahan iklim, bagaimana ia menjejaskan haiwan.


"Ini juga termasuk pengaruh manusia terhadap alam sekitar yang sangat sesuai dengan apa yang berlaku sekarang dari segi alam sekitar," kata Elisa Calas, ahli arkeologi yang juga bekerja di tapak itu. - Sumber Reuters.


Ilustrasi artis tentang gambaran Anancus arvernensis, sejenis gomphothere, yang hidup di Eropah semasa zaman Pleistosen sekitar 2,580,000 hingga 11,700 tahun yang lalu. - Foto Nobumichi Tamura/STKRF/AP.

Rangka spesies gajah pupus berusia 12,000 tahun. - Foto Reuters.

Selasa, 27 September 2022

Fosil tengkorak manusia berusia 1.4 juta tahun ditemukan di utara Sepanyol

Fosil tengkorak manusia berusia 1.4 juta tahun ditemukan di utara Sepanyol


Tengkorak berusia 1.4 juta tahun, fosil manusia tertua pernah ditemukan di benua Eropah dan dipercayai mampu mengubah pengetahuan mengenai prasejarah manusia, menurut saintis yang terbabit dalam penemuan itu.


"Kami masih belum mengetahui spesies manusia pertama berdasarkan penemuan itu," kata ahli arkeologi Aurora Martin, yang juga penyelaras am Muzium Evolusi Manusia di Burgos, utara Sepanyol, memberitahu Agensi Anadolu.


Tulang-tulang itu, ditemukan di dalam gua di tapak penggalian Sierra de Atapuerca berhampiran Burgos pada akhir Jun, dianggap satu kejayaan yang akan membantu menulis kembali sejarah evolusi manusia.


"Sehingga 1994, diketahui bahawa tiada spesies manusia purba di Eropah sehingga 500,000 tahun dahulu.


"Sekarang terdapat bukti kewujudan manusia pada 1.4 juta tahun dahulu. Dalam erti kata lain, kita menolak evolusi manusia di Eropah pada satu juta tahun lalu.


"Penemuan baharu itu yang mana ia tengkorak satu spesies, digali pada musim panas 2022, dan dipercayai berusia 1.4 juta tahun.


"Hal ini membuka lembaran baharu untuk pelbagai persoalan. Kami akan cuba mencari jawapan kepada persoalan ini, tetapi semuanya akan dilakukan selepas penyelidikan. Kami tidak boleh memberikan jawapan sekarang," katanya.


Tapak arkeologi Atapuerca dijumpai ketika pembinaan landasan kereta api pada akhir abad ke-19, dan cari gali pertama bermula pada 1976.


Fosil manusia tertua pernah ditemukan di benua Eropah sebelum ini ialah pada 2007, yang berusia 1.2 juta tahun.


Menurut laporan, fosil manusia dan haiwan zaman batu purba yang ditemukan di Atapuerca, Tapak Warisan Dunia itu kini dipamerkan di Muzium Evolusi Manusia di Burgos.


"Kami perlu meneruskan penyelidikan kami selama kira-kira sekurang-kurangnya setahun. Ini mengambil banyak masa," kata José María Bermúdez de Castro, salah seorang penyelaras pasukan, kepada wartawan.


"Apa yang boleh kami katakan ialah kami telah menemui fosil yang sangat penting dan menarik yang dimiliki oleh salah satu populasi pertama yang tiba di Eropah," jelasnya. - Sumber Reuters.


Tengkorak berusia 1.4 juta tahun yang ditemukan di tapak penggalian Sierra de Atapuerca berhampiran Burgos. - Foto Agensi.

Sabtu, 24 September 2022

Kajian baharu mendakwa asteroid bukan punca utama dinosaur pupus

Kajian baharu mendakwa asteroid bukan punca utama dinosaur pupus


Sekitar 66 juta tahun yang lalu, asteroid gergasi telah merempuh planet kita, melepaskan ribut api dahsyat yang membunuh dinosaur. Bagaimanapun Kajian baharu telah menimbulkan keraguan tentang teori itu.


Memetik laporan laman berita Wion News pada 21 September 2022, satu kajian baharu mendakwa bahawa spesies dinosaur sudah berada di ambang kepupusan ketika sebutir asteroid gergasi menghentam Bumi, dan menghapuskan semua haiwan zaman purba tersebut.


Apabila dinosaur pupus 66 juta tahun yang lalu, bilangan spesies haiwan itu telah merosot secara drastik, demikian menurut kajian tersebut yang dilakukan ke atas telur-telur dinosaur di China.


Kajian oleh Akademi Sains China itu juga telah diterbitkan dalam jurnal saintifik, PNAS.


Menggunakan telur dinosaur yang ditemui di Lembangan Shanyang, saintis-saintis mencipta kronologi masa dalam tempoh dua juta tahun menjelang akhir zaman Cretaceous, zaman terakhir di mana dinosaur masih hidup.


Lembangan di tengah China itu menyimpan kira-kira 1,000 fosil telur, tetapi setelah melakukan pemeriksaan lebih teliti, penyelidik mendapati bahawa hanya tiga spesies yang sebenarnya masih hidup pada masa itu.


Ini bermakna kepelbagaian spesies dinosaur sudah semakin berkurang semasa zaman Cretaceous.


"Keputusan kajian kami menunjukkan biodiversiti dinosaur adalah rendah dalam tempoh dua juta tahun terakhir Cretaceous. Data tersebut membuktikan penurunan dalam biodiversiti dinosaur berjuta-juta tahun sebelum sempadan zaman Cretaceous/Paleogene," kata penulis kajian.


Selain itu, saintis turut membuat spekulasi bahawa faktor termasuk perubahan iklim dan letusan gunung berapi mungkin telah menyebabkan populasi dinosaur berkurangan mendadak.


Kajian mendapati hanya ada tiga spesies dinosaur masih hidup semasa asteroid mendarat di Bumi. - Foto The New York Times.

Sabtu, 17 September 2022

Nelayan Taiwan tangkap jerung spesies prasejarah yang berada di Bumi sebelum kewujudan dinosaur

Nelayan Taiwan tangkap jerung spesies prasejarah yang berada di Bumi sebelum kewujudan dinosaur


Jerung enam insang hidung tumpul (bluntnose sixgill shark) yang jarang ditemui, spesies yang dipercayai telah berada di Bumi sebelum kewujudan dinosaur, ditangkap nelayan Taiwan dari daerah Taitung, pada 18 Julai 2022 lalu.


Jerung itu adalah spesies yang jarang ditemui kerana ia hidup pada kedalaman 200 hingga 1,000 meter di bawah paras laut, pembantu penyelidik di Pusat Biologi Marin Pantai Timur Institut Penyelidikan Perikanan, Wu Jui-hsien memberitahu Agensi Berita Central (CNA).


Meskipun kebanyakan spesies jerung moden telah berevolusi dan memiliki lima insang, jerung bluntnose masih mempunyai enam insang seperti nenek moyang mereka, jelas Wu.



Menurut Jui-hsien, ikan seberat 420 kilogram itu ditangkap di Lautan Pasifik oleh bot nelayan yang berpangkalan di Taitung dan dibawa ke pelabuhan di daerah timur Taiwan, Xingang.


Hasil tangkapan berukuran kira-kira 395 sentimeter panjang itu dilelong pada pada Ahad, 18 Julai lalu.


Menurut Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), jerung bluntnose disenaraikan sebagai 'hampir terancam' kerana jangka hayatnya yang panjang yang menjadikannya buruan serta terdedah kepada eksploitasi.


Berdasarkan maklumat yang disiarkan di laman web Muzium Florida, jerung bluntnose hampir menyerupai fosil berusia kira-kira 200 juta tahun dahulu. Sumber Focus Taiwan.


Ikan seberat 420 kilogram itu ditangkap di Lautan Pasifik oleh bot nelayan yang berpangkalan di Taitung. - Foto CNA.