Sabtu, 8 Oktober 2022

Keranda batu berusia 3,300 tahun milik bangsawan Mesir Purba ditemui dalam keadaan bersih


Sebuah keranda batu seorang individu dipercayai bangsawan berpangkat tinggi ditemui di tapak ruang pengebumian Mesir purba berhampiran Kaherah, lapor Mail Online pada 4 Oktober 2022.


Wakil penyelidik Profesor Ola El Aguizy yang menemukan keranda batu itu berkata, dia berharap akan mendapat petunjuk mengenai pemerintahan Mesir purba selepas era Maharaja Tutankhamun.


Difahamkan, keranda itu dipercayai berusia sehingga 3,300 tahun dan merupakan milik Ptah-em-wia yang dikatakan pernah berkhidmat sebagai ketua perbendaharaan di bawah Ramses The Great.


Ahli arkeologi Universiti Kaherah berkata hieroglyphs yang berada pada keranda batu berkenaan memperakui ianya adalah Ptah-em-wia ekoran gelaran tersebut turut terdapat pada dinding makam itu sendiri.



"Ia menunjukkan bahawa dia merupakan seorang bangsawan dan agak rapat dengan raja kerana gelarannya berkaitan dengan kuil berjuta tahun di Thebes.


"Gelaran itu membuktikan dia mempunyai peranan yang sangat penting dalam pentadbiran dan boleh disamakan dengan menteri kewangan pada masa kini," katanya.


Sebelum ini, penemuan keranda batu Mesir purba pernah didedahkan dalam siri keempat Lost Treasures of Egypt yang ditayangkan di National Geographic pada hari Ahad.


Penemuan keranda batu dalam keadaan yang 'baik' merupakan perkara yang jarang berlaku di kawasan perkuburan Saqqara.


Menurut Kementerian Pelancongan dan Antik Mesir, walaupun keranda batu itu ditemui dalam keadaan baik namun sebahagian penutupnya telah terputus dan ditinggalkan di sudut bilik.



Ini menunjukkan perompak kubur dipercayai pernah memecah dan merompak keranda batu tersebut ekoran kumpulan itu amat aktif pada zaman itu.


Walau bagaimanapun, keranda batu yang menempatkan Ptah-em-wia tidak dirompak dan ia merupakan kubur asal di mana ia ditemui.


Sementara itu jurucakap kumpulan arkeologi Mesir El Aquizy berkata keranda batu yang ditemui itu merupakan contoh yang baik ditunjukkan oleh kerajaan baru untuk golongan elit.


"Ciri-ciri muka dan janggut mendedahkan juga kemahiran seni yang bagus dari kerajaan baru dan menunjukkan kedudukan tinggi si mati," tambahnya.


Penemuan itu akan dikaji dan didedahkan keseluruhan kisah kehidupan Ptah-em-wia untuk tontonan National Geographic. - Sumber Mail Online.


Makam paras permukaan itu ditemui oleh Profesor El Aguizy musim lalu, tetapi dia tidak dapat turun ke ruang bawah tanah sehingga tahun ini. - Foto National Geographic.

Profesor Ola El Aguizy (gambar), yang menemui sarkofagus di Saqqara, berharap akan mendapat petunjuk mengenai pemerintahan Mesir purba selepas era Maharaja Tutankhamun. - Foto National Geographic.

Menurut penerbit rancangan itu, ini adalah 'pencarian musim ini' dan sangat penting dalam dunia arkeologi. - Foto National Geographic.


EmoticonEmoticon