Isnin, 3 Oktober 2022

Budak 7 tahun tangkap 'belut pisang' berwarna kuning dan hitam yang jarang dilihat


Seekor 'belut pisang' yang ditangkap seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun kini dipamerkan di sebuah akuarium di wilayah Mie, Pulau Honshu, Jepun, lapor akhbar The Mainichi pada 28 September 2022.


Yoshihito Ueyama, menangkap haiwan itu pada 26 Ogos lalu di sebuah terusan dekat rumahnya. Kanak-kanak tersebut pergi ke terusan itu hampir setiap hari ketika musim panas tahun ini untuk memancing.


Pada 25 Ogos, secara kebetulan, Ueyama menemui seekor belut kekuningan yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini. Ia mengambil masa dua hari dan banyak kegagalan sebelum dia berjaya menangkapnya.


Belut itu tersangkut pada mata kail Ueyama dan merentap tali pancing dengan kuat sehingga putus. Ueyama bagaimanapun berjaya menangkap belut itu menggunakan dua tangannya dan memasukkan haiwan tersebut ke dalam jaring.


"Saya amat gembira kerana berjaya menangkap belut itu sebelum bergegas pulang ke rumah," kata Ueyama yang pada awalnya, merancang untuk membela haiwan tersebut.


Belut pisang sepanjang kira-kira 45 sentimeter itu dikenali melalui tompokan berwarna kuning dan hitam. Ia ditempatkan di akuarium Ise Sea Paradise sejak 29 Ogos lalu dan menjadi tarikan pengunjung yang beratur panjang untuk melihatnya.


Sementara itu, seorang peminat haiwan tersebut, Mizuki Abe berkata, ia merupakan spesies belut Jepun dan corak luar biasa berwarna hitam dan kuning itu adalah kesan daripada mutasi genetik.


Tambahnya, keadaan warna itu berlaku hanya satu dalam puluhan ribu hingga 100,000 ekor belut.


"Ia adalah warna kuning yang lebih terang daripada yang saya jangkakan. Sungguh ajaib ia membesar secara semula jadi tanpa diserang oleh musuh," katanya. - Sumber The Mainichi.


Foto Mainichi/Ryoma Hara.


EmoticonEmoticon