Sabtu, 15 Januari 2022

Pentagon membuka pejabat khas menyiasat UFO


Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pentagon akan membuka sebuah pejabat baharu khas untuk menyiasat hal berkaitan Objek Terbang Tidak Dikenali (UFO), lapor akhbar The Sun pada 12 Januari 2022.


Sekumpulan pegawai pertahanan AS telah ditugaskan dalam sebuah pasukan pakar UFO yang dikenali sebagai Pejabat Pengawasan dan Penyelesaian Anomali (ARSO) pada hujung tahun lalu.


ARSO diwujudkan untuk mendedahkan dan mengenal pasti UFO yang dianggap berisiko mengancam keselamatan negara.


Namun begitu, kewujudan ARSO dikatakan tidak akan mengubah sebarang pendirian asal Pentagon yang lebih banyak merahsiakan hasil penemuannya.


Pengkritik-pengkritik memberi amaran bahawa kerajaan AS akan menyembunyikan sebarang penemuan utama, dan siasatan mengenai UFO sebenarnya sudah lama dijalankan secara rahsia.


Jurucakap Rangkaian UFO Bersama, Ron James berkata, orang ramai tidak mungkin akan diberitahu mengenai sebarang bukti gangguan makhluk asing.


"UFO adalah subjek dengan sejarah kerahsiaan yang boleh dibuktikan. Sekiranya mereka (Pentagon) tidak bersikap terbuka dalam penemuan mereka, penubuhan ARSO hanya akan menambah kawalan yang tidak sepatutnya mengenai hal berkaitan UFO," tegas James.


Senator Kirsten Gillibrand yang mengetuai pejabat baharu itu berkata, ia penting untuk keselamatan warga AS.


"Usaha keselamatan negara kami bergantung pada ketuanan udara dan fenomena ini memberikan cabaran kepada penguasaan kami.


"AS memerlukan usaha yang diselaraskan untuk mengawal dan memahami sama ada fenomena udara ini milik kerajaan asing atau sesuatu yang lain," katanya.


Tangkap layar kapal UFO yang pernah dirakam tentera udara AS. - The Sun.


EmoticonEmoticon