Ahad, 23 Januari 2022

Tiada Kesan Hidupan Marikh Ditemui Pada Meteorit Di Antartika


Meteorit dianggarkan berusia 4 bilion tahun dari Marikh yang jatuh di Bumi beribu-ribu tahun lalu, yang ditemui di Antartika disahkan tidak mengandungi bukti kehidupan Marikh purba dan primitif di dalamnya, lapor PHYS pada 16 Januari 2022.


Menurut saintis, berjuta-juta tahun selepas hanyut melalui angkasa, meteorit itu 'mendarat' dikawasan berais di Antartika. Serpihan kecil kelabu-hijau itu diberi nama Allan Hills 84001 (ALH84001) sempena nama dari bukit tempat batu meteor itu ditemui.


Ia disahkan oleh saintis selepas lebih sedekad penyelidikan dijalankan ke atas sampel batu meteor tersebut sekaligus menafikan dakwaan NASA pada tahun 1996 dahulu kononnya terdapat hidupan pada meteorit tersebut.


Hasil penyelidikan terbaharu oleh pasukan yang diketuai oleh Andrew Steele dari Carnegie Institution for Science melaporkan bahawa meteorit itu hanya mengandungi air.


"Sampel kecil daripada meteorit menunjukkan sebatian kaya karbon sebenarnya adalah hasil daripada air. Kemungkinan besar air masin, atau air mengalir ke atas batu untuk tempoh yang berpanjangan," kata Steele.


Menurutnya, pada masa lalu Marikh mungkin mengandungi air - sekurang-kurangnya dua hentaman berlaku berhampiran batu yang turut memanaskan permukaan sekeliling planet, dan hentaman ketiga melantunnya dari planet merah itu ke angkasa lepas berjuta-juta tahun yang lalu.


Menurut para penyelidik, air bawah tanah yang bergerak melalui celah-celah batu, semasa ia masih di Marikh, membentuk gumpalan kecil karbon yang ada. Perkara yang sama boleh berlaku di Bumi dan boleh membantu menjelaskan kehadiran metana dalam atmosfera Marikh, kata mereka.


Meteorit yang dilabelkan sebagai ALH84001 pada tahun 1996 telah mencetuskan perdebatan ekoran dakwaan NASA yang mendakwa batu tersebut mengandungi hidupan primitif di dalamnya. Batu angkasa seberat 2 kilogram tersebut telah ditemui pada tahun 1984 di Antartika.


Penyelidik menyatakan, satu-satunya cara untuk membuktikan terdapat hidupan di Marikh adalah dengan membawa balik sampel batuan dari planet merah itu ke Bumi untuk dianalisis.


Para saintis berkata mereka telah mengesahkan meteorit berlabel ALH84001 dari Marikh tidak mengandungi bukti kehidupan purba Marikh. - Foto David J. Phillip.


EmoticonEmoticon