Ahad, 23 Januari 2022

Manusia Diramal Bakal Menghuni Ruang Angkasa, Bumi Hanya 'Planet Percutian'


Percaya atau tidak, banyak ramalan saintis Barat yang mengatakan bahawa pada suatu hari nanti manusia tidak lagi menetap di Bumi. Planet ketiga dalam sistem suria ini dikatakan tidak selamat untuk didiami. Justeru, ruang angkasa dipilih sebagai tempat tinggal baharu.


Memang kita berpendapat bahawa ramalan itu tidak masuk akal, tetapi tahukah anda, ramai pelabur sanggup membelanjakan dana yang besar untuk membina silinder gergasi di angkasa sebagai penempatan baharu.


Bukan hanya lengkap dengan bekalan oksigen dan memiliki alam semula jadi persis bumi, dengan 'sungai, hutan dan hidupan liar', teknologi tersebut dikatakan mampu mencipta semula graviti.


Memetik lapor Daily Mail pada 12 November 2021, pendedahan tersebut dibuat oleh pengasas firma Amazon dan Blue Origin, Jeff Bezos yang turut meramalkan manusia akan tinggal di angkasa lepas dan menjadikan Bumi sebagai 'planet percutian'.



Bezos berkata, ciptaan silinder terapung itu dilengkapi sungai, hutan dan hidupan liar, malah tiada lagi ancaman gempa bumi atau cuaca buruk.


"Dalam tempoh beberapa ratus tahun dari sekarang, tidak mustahil angkasa akan menjadi rumah manusia dan hidup dalam koloni tertentu.


"Jika mahu mengubah Marikh sebagai penempatan baharu, ia cukup sukar. Ditambah planet itu hanya mampu menampung hingga 20 bilion penduduk sahaja," katanya.


Teori ekstrem atau ramalan masa depan yang kononnya Bumi satu hari nanti tidak akan menjadi planet yang selamat, mungkin banyak dipengaruhi dengan lambakan filem antarabangsa yang menjadikan kehidupan di angkasa lepas adalah perkara biasa.


Pun begitu, ramai yang menganggap andaian tersebut mungkin benar kerana kemajuan teknologi masa kini memungkinkan segala-galanya. Sedangkan sistem kecerdasan buatan (AI) mampu mengatasi kemampuan manusia, inikan pula rencana besar penciptaan 'planet' baharu.


Apatah lagi, penemuan planet persis Bumi oleh National Aeronautics and Space Administration (NASA) baru-baru ini juga membuatkan ramai tertanya sejauhmana kebenaran tersebut.


Penemuan planet baharu pada jarak 4.2 tahun cahaya dari Bumi itu dikatakan memiliki sumber air mencukupi, jumlah pencahayaan dan keadaan geografi sempurna.


Para penyelidik Barat juga mengesahkan planet tersebut memiliki iklim yang sesuai untuk dihuni manusia, namun timbul pula persoalan kebarangkalian wujudnya makhluk asing di sana.


Persoalan demi persoalan timbul membuatkan ramai berfikir panjang. Adakah manusia mampu menolak takdir? Dan meninggalkan Bumi yang semakin tenat dengan pencemaran yang tidak terkawal dan penerokaan hutan berluasa.


Konsep gambar ilustrasi tentang koloni angkasa lepas O'Neill Bezos, dengan pertanian dan pengangkutan berkelajuan tinggi. - Foto Blue Origin.


EmoticonEmoticon