Isnin, 7 Mac 2022

Tak sangka lukisan yang dibeli hanya RM125 di sebuah kedai buku rupanya bernilai RM41 Juta


Seorang lelaki tidak menyangka lukisan yang dibelinya dengan harga $30 (RM125) di sebuah kedai buku yang turut menjual barangan terpakai, sebenarnya bernilai jutaan ringgit, lapor CNN pada 3 Februari 2022.


Lukisan dari abad ke-16 karya pelukis ternama zaman Renaissance Jerman ini dibeli oleh seorang pengumpul seni karya dan konsultan galeri seni, Clifford Schorer.


Menurut Agnews Gallery, lukisan berkenaan kemudiannya dikenal pasti sebagai 'The Virgin and Child', sebuah legasi dari seorang tokoh ternama Jerman, Albrecht Dürer yang meninggal dunia pada tahun 1528.


Memetik CNN, Schorer berkata dia secara kebetulan menemukan lukisan berkenaan pada tahun 2019, semasa dalam perjalanan ke sebuah pesta di Massachusetts.


Teringat bahawa dia belum membeli hadiah untuk pesta tersebut, Schorer singgah di sebuah kedai buku yang turut menjual barangan terpakai. Pemilik kedai kemudian memberitahu Schorer dan rakannya bahawa dia memiliki lukisan Dürer dan bertanya sama ada Schorer mahu melihat lukisan tersebut.



Walaupun bersetuju untuk melihat lukisan berkenaan, Schorer mengaku tidak meletakkan harapan tinggi, memandangkan karya tidak diketahui pelukis legenda itu terakhir kali ditemui lebih 100 tahun lalu.


Menurut pemilik kedai tersebut, lukisan ini dibeli dari jualan garaj di rumah seorang arkitek yang katanya menerima lukisan berkenaan dari sang ayah yang merupakan peniaga karya seni.


Bercakap tentang karya seni yang tak disangka-sangka itu, Schorer menyifatkan penemuan ini sebagai sesuatu yang mengujakan.


"Apabila anda berada dalam dunia saya, anda akan habiskan seumur hidup anda mencari sesuatu yang tak pasti di mana ia mengarah kepada penyelidikan yang menarik.


"Saya melihat diri saya berada pada permulaan sesuatu yang mengujakan," kata Schorer, menceritakan perjalanannya selama tiga tahun untuk mengesahkan keaslian lukisan tersebut.


Sepanjang tiga tahun itu, Schorer dikatakan telah terbang sebanyak 17 kali untuk mendapat konsultasi dari pakar-pakar di seluruh dunia.


Schorer dikatakan turut menemui pakar dari Muzium British di London untuk menyelidik lukisan 'The Virgin and Child' bersama karya-karya Dürer yang lain.


Setelah melalui analisis usia teknikal dan mengambil kira ciri khas karya Dürer, Schorer percaya lukisan berkenaan bernilai lapan angka dan melebihi $10 juta (RM41.78 juta). - Sumber CNN.


EmoticonEmoticon