Selasa, 20 September 2022

200 UFO muncul di langit Sepanyol mungkin kapal angkasa makhluk asing


Sebuah klip video yang memaparkan sejumlah objek terbang tidak dikenali (UFO) di langit selatan Madrid, Sepanyol, menimbulkan perdebatan netizen dengan ada yang mempercayainya sebagai kapal angkasa makhluk asing, selain terdapat juga yang menganggapnya sebagai dron.


Menurut laporan akhbar Daily Star, seorang pengguna laman perkongsian Reddit memuat naik klip video tersebut dan mendakwa bahawa dia melihat kira-kira 200 UFO di langit sekitar 10.50 malam di Xanadu, Mostoles berhampiran ibu kota Sepanyol.


Berdasarkan video tersebut, objek-objek itu dilihat berbaris dalam formasi hampir sebaris sebelum ia mula bergerak ke atas dan bawah. Beberapa orang awam turut berada di luar kereta masing-masing untuk melihat fenomena tersebut.


"Ini adalah kejadian yang luar biasa. Objek-objek itu berada di situ memerhatikan kami.


"Ia agak mengelirukan namun tiada sebarang penjelasan lanjut mengenainya," kata pengguna tersebut.


Tambahnya, dia percaya bahawa objek tersebut berasal dari angkasa lepas, namun ramai netizen menganggap bahawa ia sekadar pertunjukan dron.


"Anda boleh mendengar kipas dron itu berbunyi dengan jelas," kata seorang pengguna.


"Anda pasti bergurau. Itu hanyalah dron, dan sila kekal fokus," tulis seorang lagi.


Pengguna berkenaan bagaimanapun membidas komen-komen tersebut dengan menyatakan bahawa bilangannya yang banyak menjadi faktor dia percaya bahawa objek tersebut berasal dari angkasa lepas.


"Tedapat kira-kira 200 buah objek tersebut dan agak sukar untuk mengawal 200 dron dalam satu-satu masa dengan jarak sekitar 1 kilometer dari tanah," katanya. - Sumber Daily Star.


Beberapa orang awam turut berada di luar kereta masing-masing untuk melihat fenomena kira-kira 200 UFO yang muncul di langit. - Foto Reddit/Nesra432.


EmoticonEmoticon