Selasa, 20 September 2022

Jantung tertua pada fosil ikan purba berusia 380 juta tahun ditemui


Sekumpulan saintis di Australia menemui jantung tertua di dunia berada di dalam fosil seekor ikan purba berusia 380 juta tahun, lapor akhbar Daily Mail pada 15 September 2022.


Fosil ikan itu ditemui oleh penyelidik dari Gogo Formation di wilayah Kimberley, barat Australia. Saintis-saintis berkata, kajian yang diketuai oleh Universiti Curtin di Perth itu mendedahkan bagaimana tubuh manusia telah berkembang.


Spesimen itu ditemui di dalam konkrit batu kapur, manakala pasukan penyelidik diketuai oleh Profesor Kate Trinajstic mengimbasnya menggunakan X-ray dan sinar neutron, demikian menurut kenyataan Universiti Curtin.


Tisu lembut di dalamnya kemudian dirakam dalam bentuk tiga dimensi (3D), yang turut ditemui perut, usus dan hati yang terpisah menjadi fosil, dengan kedudukan organ serupa dengan anatomi yu moden.


Saintis-saintis buat pertama kalinya menghasilkan model jantung 3D berbentuk seperti huruf s yang rumit daripada spesies ikan mempunyai rahang yang telah pupus dipanggil arthrodire.


Kajian itu diterbitkan dalam jurnal Science. Menurut Profesor Trinajstic, penemuan itu adalah menakjubkan.


"Sebagai ahli paleontologi yang telah mengkaji fosil selama lebih 20 tahun, saya benar-benar kagum apabila menemui jantung 3D dan terpelihara dengan baik daripada haiwan berusia 380 juta tahun," katanya.


Profesor John Long, dari Universiti Flinders, yang merupakan pengarang bersama kajian itu, berkata penemuan itu mempunyai impak penting untuk kajian mengenai evolusi.


"Penemuan baru organ lembut dalam ikan purba ini benar-benar menjadi impian ahli paleontologi, kerana tanpa ragu fosil ini adalah yang terbaik dipelihara dalam dunia untuk zaman ini.


"Ia menunjukkan nilai fosil Gogo untuk memahami langkah besar dalam evolusi jauh kita. Gogo kini merupakan salah satu tapak fosil paling penting di dunia.


"Sudah tiba masanya tapak itu dipertimbangkan secara serius untuk status warisan dunia," katanya. - Sumber Daily Mail.


Pasukan itu kagum apabila mendapati organ fosil itu masih utuh. - Foto Adelinah Razali, Curtin University.

Jantung tertua di dunia telah ditemui dalam fosil ikan purba yang terpelihara dengan baik berusia 380 juta tahun. - Foto Yasmine Phillips, Curtin University.

Para penyelidik menemui fosil dalam Formasi Gogo, di wilayah Kimberley di Australia Barat. - Foto Yasmine Phillips, Curtin University.


EmoticonEmoticon