Memaparkan catatan dengan label Fosil. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fosil. Papar semua catatan

Sabtu, 1 Oktober 2022

Rangka gajah berusia 12,000 tahun ditemui di Chile

Rangka gajah berusia 12,000 tahun ditemui di Chile


Saintis Chile menemui rangka spesies gajah berusia 12,000 tahun di Tasik Tagua Tagua, selatan negara itu, baru-baru ini, lapor Reuters pada 28 September 2022.


Ahli arkeologi, Carlos Tornero yang bertugas di lokasi penemuan itu berkata, berdasarkan sejarah, spesies Gomphotheres menjelajah selatan Chile, ribuan tahun lalu dan telah pupus sejak 11,700 tahun lalu.


Katanya, saiz haiwan itu yang memiliki berat sehingga empat tan dan boleh mencapai tiga meter menyebabkan mereka percaya gajah itu adalah sasaran pemburuan kumpulan penduduk di rantau ini.



"Hipotesis yang kami jalankan ini mengenai memburu dan aktiviti berburu.


"Kami fikir ini kerana Gomphothere adalah haiwan yang sangat besar dan berbahaya dan ia mungkin memerlukan beberapa orang (untuk memburunya)," katanya.


Para saintis berkata penemuan itu juga akan membolehkan mereka mengkaji kesan peninggalan manusia yang lebih luas di rantau ini, dan bagaimana perubahan iklim menjejaskan haiwan di kawasan itu pada masa itu.


"Kami boleh mendapatkan banyak maklumat dari sini, contohnya berkaitan dengan perubahan iklim, bagaimana ia menjejaskan haiwan.


"Ini juga termasuk pengaruh manusia terhadap alam sekitar yang sangat sesuai dengan apa yang berlaku sekarang dari segi alam sekitar," kata Elisa Calas, ahli arkeologi yang juga bekerja di tapak itu. - Sumber Reuters.


Ilustrasi artis tentang gambaran Anancus arvernensis, sejenis gomphothere, yang hidup di Eropah semasa zaman Pleistosen sekitar 2,580,000 hingga 11,700 tahun yang lalu. - Foto Nobumichi Tamura/STKRF/AP.

Rangka spesies gajah pupus berusia 12,000 tahun. - Foto Reuters.

Selasa, 27 September 2022

Fosil tengkorak manusia berusia 1.4 juta tahun ditemukan di utara Sepanyol

Fosil tengkorak manusia berusia 1.4 juta tahun ditemukan di utara Sepanyol


Tengkorak berusia 1.4 juta tahun, fosil manusia tertua pernah ditemukan di benua Eropah dan dipercayai mampu mengubah pengetahuan mengenai prasejarah manusia, menurut saintis yang terbabit dalam penemuan itu.


"Kami masih belum mengetahui spesies manusia pertama berdasarkan penemuan itu," kata ahli arkeologi Aurora Martin, yang juga penyelaras am Muzium Evolusi Manusia di Burgos, utara Sepanyol, memberitahu Agensi Anadolu.


Tulang-tulang itu, ditemukan di dalam gua di tapak penggalian Sierra de Atapuerca berhampiran Burgos pada akhir Jun, dianggap satu kejayaan yang akan membantu menulis kembali sejarah evolusi manusia.


"Sehingga 1994, diketahui bahawa tiada spesies manusia purba di Eropah sehingga 500,000 tahun dahulu.


"Sekarang terdapat bukti kewujudan manusia pada 1.4 juta tahun dahulu. Dalam erti kata lain, kita menolak evolusi manusia di Eropah pada satu juta tahun lalu.


"Penemuan baharu itu yang mana ia tengkorak satu spesies, digali pada musim panas 2022, dan dipercayai berusia 1.4 juta tahun.


"Hal ini membuka lembaran baharu untuk pelbagai persoalan. Kami akan cuba mencari jawapan kepada persoalan ini, tetapi semuanya akan dilakukan selepas penyelidikan. Kami tidak boleh memberikan jawapan sekarang," katanya.


Tapak arkeologi Atapuerca dijumpai ketika pembinaan landasan kereta api pada akhir abad ke-19, dan cari gali pertama bermula pada 1976.


Fosil manusia tertua pernah ditemukan di benua Eropah sebelum ini ialah pada 2007, yang berusia 1.2 juta tahun.


Menurut laporan, fosil manusia dan haiwan zaman batu purba yang ditemukan di Atapuerca, Tapak Warisan Dunia itu kini dipamerkan di Muzium Evolusi Manusia di Burgos.


"Kami perlu meneruskan penyelidikan kami selama kira-kira sekurang-kurangnya setahun. Ini mengambil banyak masa," kata José María Bermúdez de Castro, salah seorang penyelaras pasukan, kepada wartawan.


"Apa yang boleh kami katakan ialah kami telah menemui fosil yang sangat penting dan menarik yang dimiliki oleh salah satu populasi pertama yang tiba di Eropah," jelasnya. - Sumber Reuters.


Tengkorak berusia 1.4 juta tahun yang ditemukan di tapak penggalian Sierra de Atapuerca berhampiran Burgos. - Foto Agensi.

Ahad, 25 September 2022

Saintis temukan fosil dinosaur pertama yang terbunuh ketika asteroid besar melanda Bumi 66 juta tahun lalu

Saintis temukan fosil dinosaur pertama yang terbunuh ketika asteroid besar melanda Bumi 66 juta tahun lalu

Robert DePalma.

Ahli paleontologi berjaya menemukan sebahagian fosil dinosaur pertama yang dipercayai terbunuh ketika asteroid besar melanda bumi 66 juta tahun lalu, di Tanis, Dakota Utara, Amerika Syarikat, lapor laman berita BBC News.


Pakar menemukan kaki Thescelosaurus yang adalah dinosaur herbivor kecil bersama serpihan batu angkasa selebar 11,265 meter yang membunuhnya.


Kaki haiwan itu yang lengkap dengan kulit berkemungkinan 'tercabut' selepas dilanda asteroid Chicxulub sehingga menyebabkan banjir kilat.


Fosil kaki haiwan itu digali bersama beberapa siri penemuan luar biasa di tapak fosil terbabit.


"Ini adalah penemuan pertama dinosaur yang menjadi mangsa hujan asteroid sehingga menyebabkan kawah seluas 149, 669 meter di kawasan yang kini dikenali sebagai Teluk Mexico.


"Kami juga menemukan serpihan kecil dari batu angkasa yang menamatkan era dinosaur sehingga membawa kepada kebangkitan mamalia," kata pakar.



Penemuan itu dilakukan oleh Ahli Paleontologi Universiti Manchester, Robert DePalma di tapak penggalian terkenal yang ditemukan sejak 2008.


"Ini adalah perkara paling luar biasa dan adalah senario kes terbaik. Kawasan ini mempunyai haiwan yang tertimbus semasa dihentam asteroid, selain dikenali sebagai 'tanah perkuburan dinosaur'," katanya.


Pakar juga boleh memberikan bukti fizikal pertama mengenai dinosaur terbunuh akibat asteroid semasa penghujung Zaman Cretaceous.


Pakar menjelaskan bilangan fosil dinosaur yang ditemukan di dalam batu sangat sedikit walaupun beberapa ribu tahun sebelum hujan asteroid berlaku.


Oleh itu, usaha untuk menemukan fosil dari hari peristiwa itu berlaku sebenarnya adalah sangat luar biasa. - Sumber BBC News.


BACA: Kajian baharu mendakwa asteroid bukan punca utama dinosaur pupus.


Ahli paleontologi menemui fosil kaki Thescelosaurus (dinosaur herbivor kecil) bersama serpihan batu angkasa selebar 11,265 meter yang membunuhnya. - Foto Twitter.

Sir David meneliti fosil dinosaur triceratops. - Foto BBC/JOHN SAYER.

Selasa, 20 September 2022

Fosil batang pokok berusia 120,000 tahun terpanjang di dunia diiktiraf Rekod Dunia Guinness

Fosil batang pokok berusia 120,000 tahun terpanjang di dunia diiktiraf Rekod Dunia Guinness


Selepas diiktiraf sebagai fosil batang pokok paling panjang di dunia oleh Rekod Dunia Guinness, pihak berkuasa di wilayah Tak merancang untuk membangunkan tapak di sekitar penemuan itu sebagai tarikan pelancong berkelas dunia.


Batang pokok itu diiktiraf pada 8 Julai 2022 lalu di wilayah Tak yang bersempadan dengan Myanmar. Fosil batang pokok itu diukur sepanjang 70 meter, iaitu bersamaan bangunan setinggi 20 tingkat.


Kementerian Sumber Semula Jadi dan Alam Sekitar Thailand menganggarkan fosil tersebut berusia kira-kira 120,000 tahun.


Menterinya, Varawut Silpa-archa berkata, tapak penemuan itu boleh dijadikan lokasi pelancongan dan juga pembelajaran kepada semua lapisan masyarakat, terutamanya dalam memahami sejarah serta alam semula jadi.



Kawasan itu sudah pun diisytiharkan sebagai tapak fosil sejak 2016.


Penemuan itu merupakan warisan semula jadi pertama Thailand dan dijangka boleh meningkatkan ekonomi penduduk setempat sekiranya tapak tersebut dijadikan kawasan tumpuann pelancong.


Fosil pokok itu yang mempunyai diameter berukuran 4.8 meter di pangkalnya dan 1,8 meter di bahagian tengah ditemukan pada 2003 di Taman Negara Doi Soi Malai di daerah Bantak.


Pada mulanya, panjangnya diukur 72.22 meter sebelum bahagiann hujungnya reput dan dihanyutkan hujan, menjadikannya sepanjang 70 meter.


Pokok tertinggi dunia berukuran 116 meter yang terletak di Taman Negara Redwood di California, Amerika Syarikat. - Sumber Bangkok Post.


Jantung tertua pada fosil ikan purba berusia 380 juta tahun ditemui

Jantung tertua pada fosil ikan purba berusia 380 juta tahun ditemui


Sekumpulan saintis di Australia menemui jantung tertua di dunia berada di dalam fosil seekor ikan purba berusia 380 juta tahun, lapor akhbar Daily Mail pada 15 September 2022.


Fosil ikan itu ditemui oleh penyelidik dari Gogo Formation di wilayah Kimberley, barat Australia. Saintis-saintis berkata, kajian yang diketuai oleh Universiti Curtin di Perth itu mendedahkan bagaimana tubuh manusia telah berkembang.


Spesimen itu ditemui di dalam konkrit batu kapur, manakala pasukan penyelidik diketuai oleh Profesor Kate Trinajstic mengimbasnya menggunakan X-ray dan sinar neutron, demikian menurut kenyataan Universiti Curtin.


Tisu lembut di dalamnya kemudian dirakam dalam bentuk tiga dimensi (3D), yang turut ditemui perut, usus dan hati yang terpisah menjadi fosil, dengan kedudukan organ serupa dengan anatomi yu moden.


Saintis-saintis buat pertama kalinya menghasilkan model jantung 3D berbentuk seperti huruf s yang rumit daripada spesies ikan mempunyai rahang yang telah pupus dipanggil arthrodire.


Kajian itu diterbitkan dalam jurnal Science. Menurut Profesor Trinajstic, penemuan itu adalah menakjubkan.


"Sebagai ahli paleontologi yang telah mengkaji fosil selama lebih 20 tahun, saya benar-benar kagum apabila menemui jantung 3D dan terpelihara dengan baik daripada haiwan berusia 380 juta tahun," katanya.


Profesor John Long, dari Universiti Flinders, yang merupakan pengarang bersama kajian itu, berkata penemuan itu mempunyai impak penting untuk kajian mengenai evolusi.


"Penemuan baru organ lembut dalam ikan purba ini benar-benar menjadi impian ahli paleontologi, kerana tanpa ragu fosil ini adalah yang terbaik dipelihara dalam dunia untuk zaman ini.


"Ia menunjukkan nilai fosil Gogo untuk memahami langkah besar dalam evolusi jauh kita. Gogo kini merupakan salah satu tapak fosil paling penting di dunia.


"Sudah tiba masanya tapak itu dipertimbangkan secara serius untuk status warisan dunia," katanya. - Sumber Daily Mail.


Pasukan itu kagum apabila mendapati organ fosil itu masih utuh. - Foto Adelinah Razali, Curtin University.

Jantung tertua di dunia telah ditemui dalam fosil ikan purba yang terpelihara dengan baik berusia 380 juta tahun. - Foto Yasmine Phillips, Curtin University.

Para penyelidik menemui fosil dalam Formasi Gogo, di wilayah Kimberley di Australia Barat. - Foto Yasmine Phillips, Curtin University.

Rabu, 12 Januari 2022

Fosil 'naga laut' terbesar berusia 180 juta tahun ditemukan di UK

Fosil 'naga laut' terbesar berusia 180 juta tahun ditemukan di UK


Kumpulan saintis sifatkan penemuan satu fosil 'naga laut' di Midlands sebagai kejayaan terbaik dalam sejarah paleontologi Britain, lapor akhbar Daily Mail pada 10 Januari 2022.


Fosil ichthyosaur yang dianggarkan berusia 180 juta tahun itu ditemukan dengan rangka sepanjang 10 meter dan tengkorak seberat satu tan. Rangka itu merupakan fosil lengkap paling besar pernah ditemukan di United Kingdom.


Fosil itu mula-mula ditemukan oleh Joe Davis, 48, dari Lercestershire ketika melakukan kerja-kerja mengeringkan sebuah lagun di kawasan perairan Rutland pada Februari 2021.


"Apabila ahli paleontologi dan pasukan kami menemui rangka penuh dan mengangkatnya keluar menggunakan traktor dengan pemuat, kepala rangka itu adalah sebesar saya, iaitu setinggi enam kaki. Ia adalah haiwan yang hebat," jelasnya.


Ichthyosaur digelar sebagai naga laut kerana memiliki gigi dan mata yang besar dan fosil pertama haiwan purba itu ditemukan oleh ahli paleontologi, Mary Anning pada awal abad ke-19.



Pakar paleontologi, Dr. Deam Lomax seorang pakar mengenai ichthyosaur dari Universiti Manchester yang menghabiskan 14 hari menggali fosil itu menyifatkan penemuan terbaharu itu paling menakjubkan.


"Walaupun banyak fosil ditemui di Britain, adalah luar biasa untuk terfikir bahawa Rutland ichthyosaur adalah rangka terbesar yang pernah ditemui di UK", jelasnya.


Ichthyosaur merupakan haiwan reptilia, dipercayai wujud kira-kira 250 juta tahun lalu dan pupus sejak 90 juta tahun lepas. Ia berbeza-beza dari segi saiz, iaitu dari satu hingga lebih 25 meter panjang dan menyerupai ikan lumba-lumba dalam bentuk badan fizikalnya.


Rangka itu telah digali oleh sepasukan pakar paleontologi dari seluruh UK pada Ogos dan September. Dua ichthyosaur yang tidak lengkap dan lebih kecil ditemui semasa pembinaan awal Rutland Water pada tahun 1970-an.


Spesimen ini ditemui di takungan terbesar di England ketika ahli pemuliharaan mengalirkan air untuk memulihara habitat untuk pembiakan burung. - Foto Daily Mail.

Ichthyosaur menyerupai ikan lumba-lumba dalam bentuk badan fizikalnya. - Foto Daily Mail.

Penemuan terbaharu Fosil ichthyosaur ini adalah rangka lengkap pertama yang pernah ditemui. - Foto Daily Mail.

Ahad, 9 Januari 2022

Embrio dinosaur berusia 66 juta tahun ditemukan dalam fosil telur

Embrio dinosaur berusia 66 juta tahun ditemukan dalam fosil telur


Para saintis di China mendedahkan satu penemuan embrio dinosaur yang diawet dengan sempurna dalam sebiji fosil telur. Embrio dinosaur itu ditemukan di selatan China dan ia dianggarkan berusia 66 hingga 72 juta tahun, lapor Daily Mail pada 21 Disember 2021.


Embrio itu dikenal pasti dari spesies theropod yang tidak bergigi atau dinosaur oviraptorosaur yang diberi nama 'Baby Yingliang'. Ia telah digali dari bawah batuan Formasi Hekou di Taman Perindustrian Shahe di Ganzahou, Wilayah Jiangxi.


Seperti yang dilaporkan, spesimen Bayi Yingliang adalah embrio dinosaur paling lengkap yang diketahui, dan mempunyai postur yang lebih dekat seperti yang dilihat pada embrio burung berbanding yang biasa ditemui pada dinosaur.


Baby Yingliang hampir menetas. Kepala berada di bawah badan. Punggungnya melengkung ke arah hujung telur yang tumpul, dan kakinya diletakkan di kedua-dua sisi. Dalam burung moden, postur ini diandaikan semasa 'terguling' - tingkah laku embrio yang dikawal oleh sistem saraf pusat yang penting untuk penetasan.



Penemuan tingkah laku seperti ini dalam Baby Yingliang menunjukkan ia bukan unik untuk burung, tetapi mungkin kali pertama ia berkembang dalam kalangan dinosaur theropod bukan burung.


Penganalisis Dr. Fion Waisum Ma menyifatkan embrio tersebut sebagai paling sempurna yang pernah ditemukan dalam sejarah. Katanya, penemuan itu secara tidak langsung memberi pemahaman lebih lanjut mengenai hubungan antara dinosaur dan spesies burung moden ketika ini.


Baby Yingliang itu mempunyai panjang 27 sentimeter dari kepala hingga ekor dan terletak dalam telur sepanjang 17 sentimeter. Telur itu pertama kali ditemukan pada 2000 kemudian disimpan selama 10 tahun di Muzium Sejarah Alam Batu Yingliang.


Embrio itu hanya disedari selepas saintis melakukan penelitian teliti. Oviraptorosaur merupakan dinosaur berbulu yang hidup di bahagian yang kini dinamakan sebagai Asia dan Amerika Utara dalam zaman Batu Kapur Akhir.


Embrio dinosaur yang dipelihara dengan baik dalam fosil telur (gambar) yang ditemui di selatan China.