Memaparkan catatan dengan label Global. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Global. Papar semua catatan

Rabu, 6 Ogos 2025

Restoran terkenal 'kantoi' rendam mi guna air aircond

Restoran terkenal 'kantoi' rendam mi guna air aircond


Sebuah restoran di wilayah Jiangsu, China menerima kecaman ramai apabila dirakam menggunakan air lelehan penyaman udara untuk merendam cendawan dan mi, lapor portal berita Must Share News pada 5 Ogos 2025.


Restoran tersebut hanya beroperasi menerusi platform penghantaran makanan tanpa khidmat makan di premis.


Situasi itu terbongkar selepas satu klip video tular menunjukkan paip plastik menyalurkan air dari penyaman udara ke dalam baldi berisi bahan masakan.


Siasatan pihak berkuasa mendapati, restoran tersebut pada awalnya merendam bahan masakan menggunakan air paip, namun ditukar kepada air lelehan penyaman udara.


Masih belum jelas berapa lama amalan itu dibuat. 


Susulan penemuan itu, pihak berkuasa menyita semua bahan untuk ujian dan mengarahkan restoran tersebut ditutup serta dikeluarkan daripada aplikasi penghantaran.


Mi dan cendawan direndam di dalam baldi yang berisi air lelehan penyaman udara. - Foto Sing Tao Daily.

Sabtu, 2 Ogos 2025

'Kubur berbatu nisan' di tepi jalan undang resah penduduk

'Kubur berbatu nisan' di tepi jalan undang resah penduduk


Pengguna lalu lintas di sebuah kota gempar selepas kewujudan sebuah 'kubur lengkap dengan batu nisan' di tepi jalan. Keadaan itu turut menjadi tular di media sosial setelah ia mengundang resah orang ramai.


Rupa-rupanya penduduk warga RT 27 Kelurahan Eka Jaya, Kecamatan Paal Merah, Kota Jambi di Indonesia mempunyai kaedah unik untuk menangani masalah pembuangan sisa sampah yang tiada kesudahan di kawasan tersebut.


Mereka akhirnya mendapat idea untuk membina replika kubur di tepi jalan untuk memberi peringatan kepada pihak tidak bertanggungjawab yang berulang kali membuang sampah secara sembarangan.


'Kubur dengan batu nisan' itu diletakkan betul-betul di lokasi yang menjadi tempat pembuangan sampah.


"Kami sudah penat menegur beberapa kali, namun tidak diendahkan. Maka terhasillah 'kubur peringatan' ini," kata wakil penduduk Tarsan seperti dilaporkan Kompas.com semalam.


Menurutnya, masalah pembuangan sampah semakin tidak terkawal sejak aktiviti pembangunan perumahan di kawasan tersebut.


"Timbunan sampah-sarap mencacatkan pemandangan dan menyebabkan bau busuk. Kami pernah kerahkan tiga trak untuk mengangkut sisa sampah tersebut, namun masalah itu tidak pernah selesai," ujarnya.


Seorang lagi penduduk, Sugiharto berharap masalah itu akan mendapat perhatian serius pemerintah memandangkan tempat pembuangan sementara (TPS) sangat terhad.


"Jika TPS disediakan lebih banyak, orang ramai tidak akan membuang sampah merata-rata. Hal ini bukan hanya tentang disiplin, tetapi juga mengenai akses dan fasiliti," jelasnya lagi.


Wakil penduduk menunjukkan kubur lengkap dengan batu nisan di tepi jalan yang turut jadi tular di media sosial. - Foto KOMPAS.com.