Sabtu, 1 Oktober 2022

Rangka gajah berusia 12,000 tahun ditemui di Chile


Saintis Chile menemui rangka spesies gajah berusia 12,000 tahun di Tasik Tagua Tagua, selatan negara itu, baru-baru ini, lapor Reuters pada 28 September 2022.


Ahli arkeologi, Carlos Tornero yang bertugas di lokasi penemuan itu berkata, berdasarkan sejarah, spesies Gomphotheres menjelajah selatan Chile, ribuan tahun lalu dan telah pupus sejak 11,700 tahun lalu.


Katanya, saiz haiwan itu yang memiliki berat sehingga empat tan dan boleh mencapai tiga meter menyebabkan mereka percaya gajah itu adalah sasaran pemburuan kumpulan penduduk di rantau ini.



"Hipotesis yang kami jalankan ini mengenai memburu dan aktiviti berburu.


"Kami fikir ini kerana Gomphothere adalah haiwan yang sangat besar dan berbahaya dan ia mungkin memerlukan beberapa orang (untuk memburunya)," katanya.


Para saintis berkata penemuan itu juga akan membolehkan mereka mengkaji kesan peninggalan manusia yang lebih luas di rantau ini, dan bagaimana perubahan iklim menjejaskan haiwan di kawasan itu pada masa itu.


"Kami boleh mendapatkan banyak maklumat dari sini, contohnya berkaitan dengan perubahan iklim, bagaimana ia menjejaskan haiwan.


"Ini juga termasuk pengaruh manusia terhadap alam sekitar yang sangat sesuai dengan apa yang berlaku sekarang dari segi alam sekitar," kata Elisa Calas, ahli arkeologi yang juga bekerja di tapak itu. - Sumber Reuters.


Ilustrasi artis tentang gambaran Anancus arvernensis, sejenis gomphothere, yang hidup di Eropah semasa zaman Pleistosen sekitar 2,580,000 hingga 11,700 tahun yang lalu. - Foto Nobumichi Tamura/STKRF/AP.

Rangka spesies gajah pupus berusia 12,000 tahun. - Foto Reuters.


EmoticonEmoticon