Sabtu, 24 September 2022

Kajian baharu mendakwa asteroid bukan punca utama dinosaur pupus


Sekitar 66 juta tahun yang lalu, asteroid gergasi telah merempuh planet kita, melepaskan ribut api dahsyat yang membunuh dinosaur. Bagaimanapun Kajian baharu telah menimbulkan keraguan tentang teori itu.


Memetik laporan laman berita Wion News pada 21 September 2022, satu kajian baharu mendakwa bahawa spesies dinosaur sudah berada di ambang kepupusan ketika sebutir asteroid gergasi menghentam Bumi, dan menghapuskan semua haiwan zaman purba tersebut.


Apabila dinosaur pupus 66 juta tahun yang lalu, bilangan spesies haiwan itu telah merosot secara drastik, demikian menurut kajian tersebut yang dilakukan ke atas telur-telur dinosaur di China.


Kajian oleh Akademi Sains China itu juga telah diterbitkan dalam jurnal saintifik, PNAS.


Menggunakan telur dinosaur yang ditemui di Lembangan Shanyang, saintis-saintis mencipta kronologi masa dalam tempoh dua juta tahun menjelang akhir zaman Cretaceous, zaman terakhir di mana dinosaur masih hidup.


Lembangan di tengah China itu menyimpan kira-kira 1,000 fosil telur, tetapi setelah melakukan pemeriksaan lebih teliti, penyelidik mendapati bahawa hanya tiga spesies yang sebenarnya masih hidup pada masa itu.


Ini bermakna kepelbagaian spesies dinosaur sudah semakin berkurang semasa zaman Cretaceous.


"Keputusan kajian kami menunjukkan biodiversiti dinosaur adalah rendah dalam tempoh dua juta tahun terakhir Cretaceous. Data tersebut membuktikan penurunan dalam biodiversiti dinosaur berjuta-juta tahun sebelum sempadan zaman Cretaceous/Paleogene," kata penulis kajian.


Selain itu, saintis turut membuat spekulasi bahawa faktor termasuk perubahan iklim dan letusan gunung berapi mungkin telah menyebabkan populasi dinosaur berkurangan mendadak.


Kajian mendapati hanya ada tiga spesies dinosaur masih hidup semasa asteroid mendarat di Bumi. - Foto The New York Times.


EmoticonEmoticon