Selasa, 4 Januari 2022

Pesawat Pengorbit Temukan Takungan Air Yang Besar Di Planet Marikh


Selepas pesawat pengorbit mengelilingi planet Marikh, agensi Angkasa Lepas Eropah melaporkan mereka kini telah berjaya menemukan 'sejumlah besar takungan air' di planet terbabit, lapor laman berita CNN.


Pesawat pengorbit yang dikenali sebagai The Exomars Trace Gas Orbiter dilancararkan sejak 2016, merupakan misi bersama antara beberapa agensi angkasa lepas ke Marikh, dengan tujuan mengesan air dibahagian planet bernama Valles Marineris.


Valles Marineris terletak di selatan khatulistiwa planet Marikh, dengan suhu kebiasaannya tidak cukup sejuk untuk air kekal menjadi ais.


Saintis mendapati air yang terletak di bawah permukaan lurah dalam bercerun tinggi yang curam itu adalah 10 kali lebih panjang, dan lima kali lebih dalam serta 20 kali lebih luas berbanding Grand Canyon di Amerika Syarikat.



Air itu berjaya dikesan oleh instrumen pengorbit FREND atau Pengesan Neutron Epitermal Resolusi Halus. Ia juga telah memetakan hidrogen di 0.9 meter permukaan tanah planet Marikh.


Pemerhatian itu dikumpulkan oleh pesawat pengorbit antara Mei 2018 hingga Februari tahun 2021. Sebelum ini, pesawat pengorbit di Marikh hanya mengesan sejumlah kecil air dibawah debu planet itu.


Sementara itu, NASA pada 27 September 2021 turut melaporkan penemuan aliran air di Planet Marikh berkata, penemuan itu sekaligus mengesahkan, bahawa Marikh bukan sebuah planet yang tandus.


"Marikh bukan sebuah planet yang kering seperti yang kita sangkakan sebelum ini. Dalam keadaan tertentu, air telah ditemui di Marikh," kata Pengarah Sains Planet Nasa, Jim Green, pada satu sidang media pada hari Isnin september lalu.


Saintis di seluruh dunia sebelum ini percaya, air pernah mengalir serta menyebabkan berlakunya pembentukan lembah dan ngarai di planet merah itu.


Bagaimanapun, menurut Green, perubahan iklim yang berlaku kira-kira tiga bilion tahun lalu, dipercayai menyebabkan berlaku perubahan itu ke atas muka bumi Marikh.


"Hari ini kita menyaksikan satu revolusi pemahaman mengenai planet itu. Rover Penjelajah Marikh mengesan banyak kelembapan di udara Marikh," ujarnya.


Menurutnya, rover yang menjelajah permukaan planet itu turut menemui tanah yang lebih lembap daripada yang dijangkakan.


Katanya, sejak empat tahun lalu, NASA memantau jalur-jalur gelap di lereng permukaan planet Marikh. Bagaimanapun, selepas kajian dan analisis mendalam dilakukan, mereka boleh merumuskan, bahawa jalur-jalur itu adalah air.


Saintis di seluruh dunia sebelum ini percaya, air pernah mengalir serta menyebabkan berlakunya pembentukan lembah dan ngarai di planet merah itu. - Foto NASA.

Rover yang menjelajah permukaan planet Marikh. - Foto NASA.


EmoticonEmoticon