Selasa, 4 Januari 2022

Mumia 'pelik' berusia lebih 800 tahun ditemui, tangan dan kakinya diikat dengan tali


Mumia yang ditemui di Peru dianggarkan berusia antara 800 hingga 1,200 tahun kini dipamerkan di sebuah universiti di Lima minggu ini, lapor akhbar Metro UK pada 8 Disember 2021.


Mumia tersebut ditemui oleh sekumpulan ahli arkeologi di sebuah makam purba bawah tanah pada November lepas, berada dalam kedudukan mengerekot, di mana tangan dan kakinya diikat menggunakan tali serta kedua-dua tangannya turut menutupi wajahnya.

 

Ia ditemui di dalam struktur bawah tanah bersama-sama dengan persembahan termasuk seramik, sisa sayuran dan peralatan batu. Dalam masa sama, pasukan penyelidik kini sedang menganalisis kesemua penemuan itu.



Pihak Universiti Utama Kebangsaan San Marcos kini menempatkan mumia tersebut bersama-sama dengan sekurang-kurangnya dua mayat bayi serta objek-objek yang ditemui di dalam makam purba itu.


"Hari ini (8 Disember), di Universiti Utama Kebangsaan San Marcos, kami mempamerkan penemuan objek arkeologi dari kajian yang dijalankan di Cajamarquilla.


"Objek arkeologi paling utama adalah mumia yang diikat tersebut, yang mana berita mengenainya telah tersebar ke seluruh dunia dan ia masih dianalisis," kata ketua ahli arkeologi bagi projek tersebut, Pieter Van Dalen Luna.


Peru yang menempatkan lokasi bersejarah Machu Picchu, mempunyai beratus-ratus tapak arkeologi yang wujud sebelum dan selepas Empayar Inca. Tamadun tersebut mendominasi bahagian selatan Amerika Selatan kira-kira 500 tahun lalu.


Mumia ini ditemui oleh sekumpulan ahli arkeologi di sebuah makam purba bawah tanah pada November lepas. - Foto AP.


EmoticonEmoticon