Memaparkan catatan dengan label Teknologi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Teknologi. Papar semua catatan

Sabtu, 8 Oktober 2022

Arab Saudi bina bangunan terpanjang di dunia sepanjang 170 kilometer bernilai RM2.24 trilion

Arab Saudi bina bangunan terpanjang di dunia sepanjang 170 kilometer bernilai RM2.24 trilion


Projek Neom Arab Saudi bernilai AS$500 bilion (RM2.24 trilion) mencatat rekod tersendiri apabila akan menjadi 'rumah' kepada pencakar langit sepanjang 120 kilometer dikenali sebagai Mirror Line.


Menurut dokumen yang dilihat The Wall Street Journal (WSJ), struktur terbesar di dunia itu membabitkan dua bangunan setinggi 490 meter serta berbentuk linear atau lurus.


Menariknya, struktur terbabit akan dihubungkan dengan laluan pejalan kaki dan kereta api berkelajuan tinggi di bawahnya.


Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman berkata, The Line di bawah projek Neom akan menjelmakan keadaan masyarakat bandar pada masa hadapan.



Katanya, reka bentuk The Line yang mengutamakan manusia, sekali gus memberikan pengalaman hidup bandar yang belum pernah berlaku sebelum ini serta memelihara alam semula jadi.


"Idea bandar berfungsi secara menegak, memberikan orang ramai pengalaman bergerak dengan lancar dalam tiga dimensi untuk mengaksesnya adalah konsep yang dirujuk sebagai Graviti Urbanisme Sifar," katanya seperti dilaporkan The National.


Menurutnya, keseluruhan jalur pantai sepanjang 170 kilometer di barat laut Arab Saudi akan bebas daripada kereta dan jalan raya dengan matlamat sifar pelepasan karbon. Mirror Line adalah salah satu siri projek yang membentuk Neom.


Mirror Line direka Morphosis Architects yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dan projek itu membabitkan pelbagai perunding kejuruteraan serta mengandungi sekurang-kurangnya sembilan reka bentuk.


Mereka mencadangkan membinanya secara berperingkat dengan mencipta struktur sepanjang 790 meter dengan ketinggian berbeza-beza sehingga 490 meter yang akan bersambung dalam satu barisan.



Putera Mahkota Mohammed Salman sebelum ini mengumumkan rancangan untuk mewujudkan komuniti linear yang dijangka menelan kos sehingga satu trilion dolar dan apabila siap ia mampu menempatkan kira-kira lima juta orang.


Empat pembangunan lain termasuk Teluk Neom, Wilayah Aqaba, Gunung Neom dan Bandar Perindustrian Neom turut akan dibina mengelilingi projek terbabit. Terdapat juga projek yang dirancang bernama Vault iaitu sebuah resort yang dibina di lereng gunung.


Diumumkan Putera Mohammed pada 2017, Neom ialah perniagaan utama Arab Saudi dan pembangunan pelancongan di pesisir Laut Merah dan projek utama dalam Wawasan 2030 yang menggariskan rancangan kerajaan untuk mempelbagaikan ekonomi.


Pembangunan itu akan merangkumi bandar dan bandar pintar, pelabuhan dan kawasan perusahaan, pusat penyelidikan, tempat sukan dan hiburan serta pusat pelancongan.


Ia akan mempunyai keluasan 26,500 kilometer persegi dan akan terdiri daripada beberapa zon, termasuk kawasan perindustrian dan logistik.


Berdasarkan perancangan awal, Ketua Pelancongan Neom berkata, kawasan itu diramal menjadi penempatan kepada jutaan orang menjelang 2030.


Lakaran artis projek The Line. - Foto Neom.

Lakaran artis projek The Line. - Foto Neom.

Lakaran artis projek The Line. - Foto Neom.

Lakaran artis projek The Line. - Foto Neom.

Lakaran artis projek The Line. - Foto Neom.

Khamis, 29 September 2022

Kapal angkasa NASA bergerak pada kelajuan hipersonik dilaporkan berjaya rempuh asteroid Dimorphos

Kapal angkasa NASA bergerak pada kelajuan hipersonik dilaporkan berjaya rempuh asteroid Dimorphos


Kapal angkasa milik Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) berjaya merempuh asteroid yang menghala ke Bumi pada waktu pagi 27 September 2022 lepas, sekali gus mengubah laluannya.


Kapal angkasa Bullseye menerusi program Ujian Pengalihan Asteroid Berganda (DART) meluncur melalui sistem suria pada kelajuan hipersonik untuk merempuh asteroid tersebut.


Strim secara langsung menerusi laman web NASA menunjukkan kapal angkasa itu meluncur ke arah asteroid Dimorphos yang dianggarkan sebesar stadium bola sepak, terletak kira-kira 11 juta kilometer dari Bumi.


Misi itu direka untuk menentukan sama kapal angkasa mampu mengubah trajektori asteroid melalui daya kinetik, menolaknya dari laluan yang boleh mencetuskan ancaman kepada Bumi.


Dalam pada itu, pemerhatian teleskop lebih lanjut akan dilakukan terhadap asteroid itu pada bulan depan. Hasil ujian itu turut dipantau dalam tempoh yang hampir sama dari pusat operasi di Makmal Fizik Gunaan Universiti Johns Hopkins (APL) di Laurel, Maryland.



Sama ada ia berjaya mencapai sasaran diharapkan masih belum diketahui sehingga pemerhatian teleskop lebih lanjut ke atas asteroid dilaksanakan bulan depan.


Bagaimanapun, pegawai NASA memuji hasil eksperimen yang dibuat dan jelas mereka kapal angkasa itu kelihatan berfungsi sebagaimana rekaannya.


DART yang dilancarkan oleh roket SpaceX pada November 2021 melakukan sebahagian besar pelayarannya di bawah bimbingan pengarah penerbangan NASA dengan kawalan diserahkan kepada sistem navigasi autonomi pada jam terakhir perjalanan.


Sorakan oleh jurutera di dalam bilik kawalan didengari apabila imej asteroid yang disasarkan semakin besar dan akhirnya memenuhi skrin TV sejurus sebelum isyarat kapal angkasa itu hilang, mengesahkan ia telah berjaya merempuh Dimorphos.


"Kami memulakan era baharu. Era di mana kami berpotensi mempunyai keupayaan untuk melindungi diri kami daripada sesuatu seperti kesan asteroid yang berbahaya," kata Lori Glaze iaitu Pengarah Bahagian Sains Planet NASA.


Asteroid Dimorphos adalah sepanjang 160 meter dan mengorbit sebuah asteroid besar bernama Didymos. Permukaan Dimorphos yang berbatu-batu akhirnya dapat dilihat dengan jelas dalam beberapa minit terakhir ketika DART bergerak dan menghentam ke arahnya pada kelajuan kira-kira 23,500 kilometer sejam.


Apa yang pasti ialah kedua-dua asteroid itu tidak menimbulkan ancaman kepada Bumi kerana ia melepasi planet tersebut dan berada pada jarak kira-kira lebih 10 juta kilometer.


NASA berharap melalui hentaman itu, asteroid berkenaan akan bergerak ke orbit yang lebih kecil dan mengurangkan 10 minit masa yang diperlukan untuk mengelilingi Didymos.


Beberapa minit selepas hentaman, sebuah satelit bersaiz pembakar roti dikenali sebagai LICIACube yang telah dipisahkan daripada DART beberapa minggu lalu, dijangka bergerak dekat tempat kapal angkasa tanpa juruterbang yang terhempas berkenaan bagi merakamkan imej perlanggaran itu.


Gambar yang dirakamkan LICIACube itu dijangka dihantar semula ke Bumi pada minggu depan. Untuk rekod, misi DART dilancarkan November lalu dari Pangkalan Angkatan Angkasa Vandenberg di California.


Imej menerusi strim secara langsung yang dirakamkan DART menunjukkan asteroid Dimorphos di ruang angkasa lepas. - Foto AP.

Selasa, 27 September 2022

Planet Marikh dicemari 7,118 kilogram sampah buatan manusia termasuk kapal angkasa yang tidak aktif

Planet Marikh dicemari 7,118 kilogram sampah buatan manusia termasuk kapal angkasa yang tidak aktif


Manusia meninggalkan kira-kira 7,118 kilogram sampah di planet Marikh sejak 50 tahun yang lalu sedangkan tiada mana-mana individu pernah menjejakkan kaki di planet merah itu, lapor laman berita Wion News pada 26 September 2022.


Felo penyelidik pasca kedoktoran bidang robotik di Universiti West Virginia, Cagri Kilic menganalisis jisim semua kenderaan robotik dan pengorbit yang dihantar ke Marikh, tanpa mengambil kira berat daripada kenderaan sedang beroperasi ketika ini.


Hasil analisis mendapati sebanyak 7,118 kg serpihan bersepah di planet Marikh. Serpihan itu antara lain terdiri daripada perkakasan dibuang, kapal angkasa tidak aktif dan yang terhempas di permukaan planet termasuk pengorbit Marikh 2 Kesatuan Soviet yang terhempas ketika melakukan pendaratan pada 1971.


Para saintis bimbang serpihan itu boleh mencemari sampel dikumpulkan oleh kenderaan robotik, Perseverance yang dalam misi mencari bukti kehidupan lampau di planet Marikh.


Kebanyakan serpihan itu tidak dapat dielakkan memandangkan banyak bahagian perlu dibuang untuk melindungi kenderaan angkasa ketika ia meluncur melalui atmosfera planet merah.


Ia termasuk kenderaan Perseverance dilancarkan Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang terpaksa mengharungi tujuh minit kesukaran ketika mendarat pada Februari 2021.


Kenderaan robotik itu didapati merakam beberapa imej serpihan ketika dalam misinya. Jun lalu, pasukan NASA mengesan cahaya dalam sekeping imej dihantar oleh kenderaan Perseverance yang kemudian diarahkan untuk meneliti semula.


Beberapa minggu kemudian, kenderaan Perseverance memasuki kawasan Hogwallow Flats dan memperoleh panorama Mastcam-Z 360 darjah yang beresolusi tinggi.


Imej yang menunjukkan cahaya terang itu merupakan pantulan daripada lapisan thermal blanket. Lapisan material itu terselit di sudut beberapa batu dan kelihatan memantulkan cahaya.


Selain itu, terdapat sembilan kapal angkasa yang tidak aktif, termasuk pendarat Mars 3 dan Mars 6, pendarat Viking 1 dan Viking 2, rover Sojourner, pendarat Schiaparelli Agensi Angkasa Eropah, pendarat Phoenix, rover Spirit dan rover Opportunity, kini terkandas di Marikh.


Kilic mendakwa bahawa kebanyakan robot masih dalam keadaan berfungsi dan agensi angkasa menganggapnya sebagai artifak sejarah dan bukannya besi buruk. - Sumber Wion News.


Gambar menunjukkan lapisan thermal blanket yang ditemukan di planet Marikh. - Foto NASA.

Ahad, 13 Mac 2022

Sebuah syarikat ingin menggerudi lubang paling dalam hingga kerak Bumi untuk menghasilkan tenaga tanpa had

Sebuah syarikat ingin menggerudi lubang paling dalam hingga kerak Bumi untuk menghasilkan tenaga tanpa had


Sebuah syarikat tenaga yang dikenali sebagai Quaise berhasrat memulakan usaha yang belum pernah dilakukan mana-mana pihak sebelum ini, iaitu menggerudi lubang paling dalam hingga kerak bumi, lapor laman berita MashableSE Asia pada 9 Mac 2022.


Projek penggerudian ini dirancang untuk mendapatkan sumber tenaga tanpa batas dari bebatuan geoterma yang tertimbus jauh di dalam kerak bumi.


Setakat ini, rekod lubang paling dalam yang pernah digerudi adalah kira-kira 12.3 kilometer di Rusia, namun ia masih tidak mampu mencapai tahap di mana haba dari dalam lapisan bumi boleh dimanfaatkan secara meluas.


Namun begitu, syarikat Quaise percaya bahawa lapisan bumi boleh digali lebih dalam dengan menggabungkan kaedah penggerudian terkini dengan kebolehan alat penjana kuasa megawatt yang dikenali sebagai gyrotron.


Gyrotron merupakan sebuah alat yang diinspirasikan dari pelakuran nuklear dan mampu menjana gelombang elektromagnet dalam spektrum gelombang milimeter.


Dalam bahasa mudah, gyrotron secara teorinya mampu membakar bebatuan yang sering menghalang proses penggerudian sebelumnya kerana sangat sukar dipecahkan.


Quaise menjangka, gyrotron mampu menggerudi sedalam 20 kilometer dalam masa beberapa bulan sahaja untuk sampai ke posisi bebatuan geoterma yang mencatatkan suhu setinggi 500 darjah Celcius.


Dengan jumlah haba setinggi ini, tenaga yang dihasilkan mampu mengubah cecair yang dipam ke dalam bentuk seakan-akan wap superkritikal. Wap superkritikal mempunyai kelikatan gas yang rendah dan ketumpatan cecair yang tinggi.


Bentuk wap seperti ini dikatakan sesuai untuk menjana tenaga elektrik apabila disalurkan ke bahagian turbin dan penjana.


Sementara itu, Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menganggarkan penggunaan kuasa geoterma akan berkembang pada kadar 13 peratus setahun untuk mencapai peratusan sifar menjelang tahun 2050.


Quaise dikatakan telah berjaya mengumpul dana sebanyak US$63 juta (RM 264 juta) untuk memulakan projek tersebut dan dijangka memulakan projek menggali lubang paling dalam hingga kerak bumi dalam tempoh dua tahun lagi.


Syarikat tenaga berkenaan memperkirakan sistem geoterma tanpa batas tersebut befungsi sepenuhnya pada tahun 2026. Quaise juga berharap sistem baharu ini bakal mengambil alih dan mengubah stesen jana kuasa bahan api arang batu kepada unit berkuasa wap dalam tempoh enam tahun lagi.


Tenaga geoterma diperoleh daripada menukar air menjadi wap menggunakan haba dari dalam di bawah tanah. - Foto Greenesa.

Ahad, 23 Januari 2022

Menara tergantung di langit dan sentiasa bergerak mengeliling Bumi bakal di bina

Menara tergantung di langit dan sentiasa bergerak mengeliling Bumi bakal di bina


Dalam dunia sains dan teknologi, kita sering dihidangkan dengan idea-idea luar kotak yang ada kalanya sukar untuk digambarkan. Sebagai contoh, idea membangunkan penempatan manusia di Marikh juga seakan-akan tidak masuk akal.


Ketika ini, Burj Khalifa setinggi 828 meter yang terletak di Dubai merupakan bangunan pencakar langit tertinggi di dunia dan menjadi simbolik kepada negara tersebut. Biasanya, menara atau bangunan tinggi akan dibina bermula dari tapaknya dan ke atas.


Menerusi lapor Daily Mail pada 28 Mac 2017, sebuah firma reka bentuk New York, telah mencadangkan sebuah menara yang akan tergantung dari asteroid pada ketinggian 31,068 batu dari Bumi. Firma yang mengeluarkan konsep rekaan ini sememangnya pakar dalam reka bentuk konsep yang pelik.


Difahamkan, rekaan bangunan tersebut yang dikenali sebagai menara Analemma ini akan tergantung pada asteroid, yang diikat dengan kabel yang sangat kuat serta bergerak di orbit 'geosinkron eksentrik' dalam laluan berbentuk nombor 8.


Ia akan sentiasa bergerak dan penduduk serta pelawat yang berada dalam bangunan ini akan melakukan perjalanan harian antara hemisfera utara dan selatan. Berkemungkinan titik permulaan bagi menara ini bermula di bandar New York atau Dubai.


Untuk pengetahuan anda, NASA sudah menjadualkan misi penangkapan asteroid, selepas Agensi Ruang Angkasa Eropah berjaya mendarat di permukaan komet bergerak pada tahun 2015, maka hal ini dirasakan tidak mustahil untuk dilakukan mereka.


Ostap Rudakevych, pereka bentuk konsep Menara Analemma, mendakwa bahawa menara itu boleh diperbuat daripada bahan tahan lama dan ringan seperti serat karbon dan aluminium. Kemajuan dalam kejuruteraan, kabel diperlukan untuk mencapai kekuatan kabel yang diperlukan untuk menyokong struktur menara ini.


Untuk penggunaan tenaga elektrik pula, tenaga elektrik akan datang dari panel solar yang mempunyai pendedahan kepada cahaya matahari secara berterusan. Sementara itu, air untuk kegunaan dalam menara akan ditangkap dari awan dan air hujan dan disimpan dalam sistem gelung separa tertutup.


Penggunaan drone penumpang yang besar membolehkan manusia bergerak bolak-balik antara menara dan permukaan Bumi, bersama dengan elevator elektro-magnetik canggih yang memudahkan pergerakan pergi dan balik dari menara ini.


Pada masa ini, terdapat cadangan agar menara ini dibina di Dubai yang mempunyai sejarah panjang membina bangunan pencakar langit yang tinggi dan bergaya, dengan kos yang lebih rendah berbanding kos pembinaan pencakar langit yang berpusat di AS.


Manusia Diramal Bakal Menghuni Ruang Angkasa, Bumi Hanya 'Planet Percutian'

Manusia Diramal Bakal Menghuni Ruang Angkasa, Bumi Hanya 'Planet Percutian'


Percaya atau tidak, banyak ramalan saintis Barat yang mengatakan bahawa pada suatu hari nanti manusia tidak lagi menetap di Bumi. Planet ketiga dalam sistem suria ini dikatakan tidak selamat untuk didiami. Justeru, ruang angkasa dipilih sebagai tempat tinggal baharu.


Memang kita berpendapat bahawa ramalan itu tidak masuk akal, tetapi tahukah anda, ramai pelabur sanggup membelanjakan dana yang besar untuk membina silinder gergasi di angkasa sebagai penempatan baharu.


Bukan hanya lengkap dengan bekalan oksigen dan memiliki alam semula jadi persis bumi, dengan 'sungai, hutan dan hidupan liar', teknologi tersebut dikatakan mampu mencipta semula graviti.


Memetik lapor Daily Mail pada 12 November 2021, pendedahan tersebut dibuat oleh pengasas firma Amazon dan Blue Origin, Jeff Bezos yang turut meramalkan manusia akan tinggal di angkasa lepas dan menjadikan Bumi sebagai 'planet percutian'.



Bezos berkata, ciptaan silinder terapung itu dilengkapi sungai, hutan dan hidupan liar, malah tiada lagi ancaman gempa bumi atau cuaca buruk.


"Dalam tempoh beberapa ratus tahun dari sekarang, tidak mustahil angkasa akan menjadi rumah manusia dan hidup dalam koloni tertentu.


"Jika mahu mengubah Marikh sebagai penempatan baharu, ia cukup sukar. Ditambah planet itu hanya mampu menampung hingga 20 bilion penduduk sahaja," katanya.


Teori ekstrem atau ramalan masa depan yang kononnya Bumi satu hari nanti tidak akan menjadi planet yang selamat, mungkin banyak dipengaruhi dengan lambakan filem antarabangsa yang menjadikan kehidupan di angkasa lepas adalah perkara biasa.


Pun begitu, ramai yang menganggap andaian tersebut mungkin benar kerana kemajuan teknologi masa kini memungkinkan segala-galanya. Sedangkan sistem kecerdasan buatan (AI) mampu mengatasi kemampuan manusia, inikan pula rencana besar penciptaan 'planet' baharu.


Apatah lagi, penemuan planet persis Bumi oleh National Aeronautics and Space Administration (NASA) baru-baru ini juga membuatkan ramai tertanya sejauhmana kebenaran tersebut.


Penemuan planet baharu pada jarak 4.2 tahun cahaya dari Bumi itu dikatakan memiliki sumber air mencukupi, jumlah pencahayaan dan keadaan geografi sempurna.


Para penyelidik Barat juga mengesahkan planet tersebut memiliki iklim yang sesuai untuk dihuni manusia, namun timbul pula persoalan kebarangkalian wujudnya makhluk asing di sana.


Persoalan demi persoalan timbul membuatkan ramai berfikir panjang. Adakah manusia mampu menolak takdir? Dan meninggalkan Bumi yang semakin tenat dengan pencemaran yang tidak terkawal dan penerokaan hutan berluasa.


Konsep gambar ilustrasi tentang koloni angkasa lepas O'Neill Bezos, dengan pertanian dan pengangkutan berkelajuan tinggi. - Foto Blue Origin.

Selasa, 4 Januari 2022

UAE, AS dan China berlumba 'tawan' planet Marikh

UAE, AS dan China berlumba 'tawan' planet Marikh

 

KENDERAAN robotik Perseverance milik Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) selamat mendarat di Marikh pada 18 Februari 2021 lalu, menjadikan tiga buah negara memulakan kajian saintifik di planet tersebut secara serentak pada bulan Februari.


Sebelum ini, sebuah kapal angkasa Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang turut berfungsi sebagai satelit dengan misi mengkaji atmosfera dan cuaca telah tiba serta mengelilingi planet tersebut pada 9 Februari lalu.


Penghantaran kapal angkasa UAE itu yang diberi nama Hope seberat 1.3 tan itu dan dikatakan melibatkan kos sehingga AS$200 juta (RM807.8 juta) dijangka mengelilingi orbit planet berkenaan selama setahun di Marikh atau bersamaan 687 hari di bumi.


Menurut agensi angkasa lepas di Dubai baru-baru ini, ia menghantar gambar sebuah gunung berapi paling tinggi di planet tersebut dan dalam sistem suria yang setinggi 21,1945.6 meter iaitu Olympus Mons.



Imej itu dirakamkan pada ketinggian 24,700 kilometer dari permukaan planet tersebut pada 10 Februari lalu setelah kapal angkasa tersebut dilancarkan menerusi roket H-2A dari Pusat Angkasa Tanegashima di Jepun pada 19 Julai 2020.


Sementara itu, sebuah kapal angkasa China, Tianwen-1 mula mengelilingi Marikh pada 17 Februari lalu dan akan mengorbit planet tersebut selama tiga bulan sebelum melakukan pendaratan bersama sebuah kenderaan robotik pada bulan Mei dan Jun depan.


Seberat 5 tan, ia yang mengembara hampir separuh bilion kilometer dari bumi dilancarkan dari Pusat Angkasa Wenchang, Hainan di China pada 23 Julai 2020. Kos bagi menghantar misi ke Marikh itu tidak didedahkan oleh Beijing.


Misi Tianwei-1 yang bermaksud 'Persoalan ke Syurga' itu seperti dilaporkan portal berita Tech 2 adalah untuk mengkaji permukaan daratan dan atmosfera planet tersebut selama 90 hari. Misi itu juga akan merakamkan dan menghantar gambar, mengesan tanda-tanda kehidupan purba dan menghasilkan peta di planet tersebut.


Menurut portal berita Indian Express, ketika ini NASA mempunyai sebuah kapal angkasa penjelajahan yang kecil iaitu Mars Insight dan sebuah kenderaan penerokaan Curiosity di permukaan planet tersebut selain tiga kapal angkasa mengelilingi Marikh.


India juga dilaporkan memiliki sebuah kapal angkasa pengorbitan, Mangalyaan-1 manakala Kesatuan Eropah (EU) mempunyai dua kapal angkasa pengorbitan selain China dan UAE masing-masing mempunyai sebuah kapal angkasa kecil mengelilingi Marikh.


Menurut portal berita Global Times, NASA telah berjaya mendarat di planet tersebut sebanyak lapan kali dan kejayaan pendaratan kenderaan robotik Perseverance menjadikan agensi angkasa lepas AS itu berjaya mendarat sebanyak sembilan kali di Marikh.


Misi NASA ke planet merah itu melibatkan kos sebanyak AS$2.2 bilion (RM8.89 bilion) selepas mengharungi penggembaraan sejauh kira-kira 470.73 juta kilometer dari bumi setelah dilancarkan dari roket Atlas V kira-kira tujuh bulan lalu di Stesen Tentera Udara Cape Canaveral, Florida, AS pada 30 Julai 2020.


Kenderaan robotik sebesar sebuah kenderaan utiliti lasak (SUV) yang mempunyai enam roda dan seberat 1,025 kilogram itu turut berjaya menghantar gambar-gambar hitam putih serta berwarna planet tersebut kepada makmal NASA di bumi.


Ia yang dilengkapi dengan sebuah helikopter kecil untuk tujuan eksperimen turut menghantar gambar berwarna permukaan Marikh yang kering dan berbatu-batu dengan paparan bayang-bayang kenderaan robotik tersebut.


Sebelum ini, satu lagi imej berwarna yang dihantar oleh kenderaan robotik yang mempunyai nama julukan Perky dikongsi di Twitter yang menunjukkan batu-batu berwarna kuning.


Pada 14 Julai 1965, sebuah kapal angkasa NASA pernah menghantar kira-kira 21 gambar planet merah itu ke bumi.


Sebuah kapal angkasa Kesatuan Soviet yang kini dikenali negara Rusia terhempas ketika cuba mendarat dan sebuah lagi terputus hubungan 20 saat selepas mendarat di Marikh pada tahun 1971.


Kenderaan robotik Perseverance yang dilengkapi kamera dan mempunyai misi mencari tinggalan hidupan purba di Marikh akan mengambil sampel batuan dan tanah untuk dihantar ke bumi pada tahun 2030 bagi tujuan dianalisis oleh para saintis di makmal AS.


Gambar berwarna yang dihantar kenderaan Perseverance milik Amerika Syarikat dari Marikh pada Februari lalu.