Khamis, 29 September 2022

Kapal angkasa NASA bergerak pada kelajuan hipersonik dilaporkan berjaya rempuh asteroid Dimorphos


Kapal angkasa milik Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) berjaya merempuh asteroid yang menghala ke Bumi pada waktu pagi 27 September 2022 lepas, sekali gus mengubah laluannya.


Kapal angkasa Bullseye menerusi program Ujian Pengalihan Asteroid Berganda (DART) meluncur melalui sistem suria pada kelajuan hipersonik untuk merempuh asteroid tersebut.


Strim secara langsung menerusi laman web NASA menunjukkan kapal angkasa itu meluncur ke arah asteroid Dimorphos yang dianggarkan sebesar stadium bola sepak, terletak kira-kira 11 juta kilometer dari Bumi.


Misi itu direka untuk menentukan sama kapal angkasa mampu mengubah trajektori asteroid melalui daya kinetik, menolaknya dari laluan yang boleh mencetuskan ancaman kepada Bumi.


Dalam pada itu, pemerhatian teleskop lebih lanjut akan dilakukan terhadap asteroid itu pada bulan depan. Hasil ujian itu turut dipantau dalam tempoh yang hampir sama dari pusat operasi di Makmal Fizik Gunaan Universiti Johns Hopkins (APL) di Laurel, Maryland.



Sama ada ia berjaya mencapai sasaran diharapkan masih belum diketahui sehingga pemerhatian teleskop lebih lanjut ke atas asteroid dilaksanakan bulan depan.


Bagaimanapun, pegawai NASA memuji hasil eksperimen yang dibuat dan jelas mereka kapal angkasa itu kelihatan berfungsi sebagaimana rekaannya.


DART yang dilancarkan oleh roket SpaceX pada November 2021 melakukan sebahagian besar pelayarannya di bawah bimbingan pengarah penerbangan NASA dengan kawalan diserahkan kepada sistem navigasi autonomi pada jam terakhir perjalanan.


Sorakan oleh jurutera di dalam bilik kawalan didengari apabila imej asteroid yang disasarkan semakin besar dan akhirnya memenuhi skrin TV sejurus sebelum isyarat kapal angkasa itu hilang, mengesahkan ia telah berjaya merempuh Dimorphos.


"Kami memulakan era baharu. Era di mana kami berpotensi mempunyai keupayaan untuk melindungi diri kami daripada sesuatu seperti kesan asteroid yang berbahaya," kata Lori Glaze iaitu Pengarah Bahagian Sains Planet NASA.


Asteroid Dimorphos adalah sepanjang 160 meter dan mengorbit sebuah asteroid besar bernama Didymos. Permukaan Dimorphos yang berbatu-batu akhirnya dapat dilihat dengan jelas dalam beberapa minit terakhir ketika DART bergerak dan menghentam ke arahnya pada kelajuan kira-kira 23,500 kilometer sejam.


Apa yang pasti ialah kedua-dua asteroid itu tidak menimbulkan ancaman kepada Bumi kerana ia melepasi planet tersebut dan berada pada jarak kira-kira lebih 10 juta kilometer.


NASA berharap melalui hentaman itu, asteroid berkenaan akan bergerak ke orbit yang lebih kecil dan mengurangkan 10 minit masa yang diperlukan untuk mengelilingi Didymos.


Beberapa minit selepas hentaman, sebuah satelit bersaiz pembakar roti dikenali sebagai LICIACube yang telah dipisahkan daripada DART beberapa minggu lalu, dijangka bergerak dekat tempat kapal angkasa tanpa juruterbang yang terhempas berkenaan bagi merakamkan imej perlanggaran itu.


Gambar yang dirakamkan LICIACube itu dijangka dihantar semula ke Bumi pada minggu depan. Untuk rekod, misi DART dilancarkan November lalu dari Pangkalan Angkatan Angkasa Vandenberg di California.


Imej menerusi strim secara langsung yang dirakamkan DART menunjukkan asteroid Dimorphos di ruang angkasa lepas. - Foto AP.


EmoticonEmoticon