Ahad, 23 Januari 2022

Menara tergantung di langit dan sentiasa bergerak mengeliling Bumi bakal di bina


Dalam dunia sains dan teknologi, kita sering dihidangkan dengan idea-idea luar kotak yang ada kalanya sukar untuk digambarkan. Sebagai contoh, idea membangunkan penempatan manusia di Marikh juga seakan-akan tidak masuk akal.


Ketika ini, Burj Khalifa setinggi 828 meter yang terletak di Dubai merupakan bangunan pencakar langit tertinggi di dunia dan menjadi simbolik kepada negara tersebut. Biasanya, menara atau bangunan tinggi akan dibina bermula dari tapaknya dan ke atas.


Menerusi lapor Daily Mail pada 28 Mac 2017, sebuah firma reka bentuk New York, telah mencadangkan sebuah menara yang akan tergantung dari asteroid pada ketinggian 31,068 batu dari Bumi. Firma yang mengeluarkan konsep rekaan ini sememangnya pakar dalam reka bentuk konsep yang pelik.


Difahamkan, rekaan bangunan tersebut yang dikenali sebagai menara Analemma ini akan tergantung pada asteroid, yang diikat dengan kabel yang sangat kuat serta bergerak di orbit 'geosinkron eksentrik' dalam laluan berbentuk nombor 8.


Ia akan sentiasa bergerak dan penduduk serta pelawat yang berada dalam bangunan ini akan melakukan perjalanan harian antara hemisfera utara dan selatan. Berkemungkinan titik permulaan bagi menara ini bermula di bandar New York atau Dubai.


Untuk pengetahuan anda, NASA sudah menjadualkan misi penangkapan asteroid, selepas Agensi Ruang Angkasa Eropah berjaya mendarat di permukaan komet bergerak pada tahun 2015, maka hal ini dirasakan tidak mustahil untuk dilakukan mereka.


Ostap Rudakevych, pereka bentuk konsep Menara Analemma, mendakwa bahawa menara itu boleh diperbuat daripada bahan tahan lama dan ringan seperti serat karbon dan aluminium. Kemajuan dalam kejuruteraan, kabel diperlukan untuk mencapai kekuatan kabel yang diperlukan untuk menyokong struktur menara ini.


Untuk penggunaan tenaga elektrik pula, tenaga elektrik akan datang dari panel solar yang mempunyai pendedahan kepada cahaya matahari secara berterusan. Sementara itu, air untuk kegunaan dalam menara akan ditangkap dari awan dan air hujan dan disimpan dalam sistem gelung separa tertutup.


Penggunaan drone penumpang yang besar membolehkan manusia bergerak bolak-balik antara menara dan permukaan Bumi, bersama dengan elevator elektro-magnetik canggih yang memudahkan pergerakan pergi dan balik dari menara ini.


Pada masa ini, terdapat cadangan agar menara ini dibina di Dubai yang mempunyai sejarah panjang membina bangunan pencakar langit yang tinggi dan bergaya, dengan kos yang lebih rendah berbanding kos pembinaan pencakar langit yang berpusat di AS.



EmoticonEmoticon