Selasa, 4 Januari 2022

Rangka spesies dinosaur paling 'rare' hidup sekitar 70 juta tahun lalu ditemui di Brazil




Rangka spesies dinosaur berkaki dua tidak bertaring yang hidup sekitar 70 juta tahun lalu ditemui di Brazil, kata penyelidik pada 18 November lalu dan menyebutnya sebagai penemuan 'sangat jarang' berlaku, lapor Newsweek pada 19 November 2021.


Dinosaur kecil itu, yang panjangnya kira-kira satu meter dan tingginya 80 sentimeter, adalah seekor theropod, iaitu kumpulan dinosaur yang hampir kesemuanya dipercayai adalah karnivor.


Namun, yang membinggungkan para penyelidik adalah penemuan spesies baru itu yang diberi nama Berthasaura leopoldinae mempunyai muncung seperti paruh tanpa gigi.


"Itu amat mengejutkan," kata pakar paleontologi yang membuat penemuan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Muzium Negara Brazil.


Mereka menerbitkan penemuan mereka dalam jurnal Nature, menyifatkan penemuan itu 'salah satu dinosaur paling lengkap ditemui dari zaman Cretaceous di Brazil'.


"Bahagian tanpa gigi menimbulkan keraguan mengenai jenis diet haiwan ini," kata penyelidik Geovane Alves Souza, salah seorang pengarang kajian.


"Namun ini tidak semestinya bermakna ia tidak makan daging. Banyak burung, seperti burung helang dan buzzard, makan daging dengan paruh. Kemungkinan besar, ia adalah omnivor yang hidup dalam sekitaran yang tidak begitu selamat di mana ia perlu makan apa sahaja yang boleh," tambahnya.


Rangka fosil itu ditemui di jalan raya luar bandar di negeri selatan Parana antara 2011 dengan 2014. Analisis mendedahkan ia adalah spesies baru yang hidup antara 70 juta dengan 80 juta tahun dahulu.


Spesies itu dinamakan sempena Bertha Lutz, seorang saintis dan penyokong gerakan kewanitaan Brazil yang dihormati yang meninggal dunia pada 1976, dan sempena Maria Leopoldina, permaisuri Brazil abad ke-19, yang adalah penaung sains.


Gambar dikeluarkan oleh Muzium Negara Rio de Janeiro pada 25 Januari 2021, menunjukkan ahli arkeologi memulihkan fosil spesies dinosaur yang sebelum ini tidak diketahui ditemui di selatan Brazil. - Foto AFP.

Sisa fosil spesies dinosaur baharu ditemui di Cruzeiro do Oeste, Brazil. - Foto CFP.