Rabu, 6 Ogos 2025

Restoran terkenal 'kantoi' rendam mi guna air aircond

Restoran terkenal 'kantoi' rendam mi guna air aircond


Sebuah restoran di wilayah Jiangsu, China menerima kecaman ramai apabila dirakam menggunakan air lelehan penyaman udara untuk merendam cendawan dan mi, lapor portal berita Must Share News pada 5 Ogos 2025.


Restoran tersebut hanya beroperasi menerusi platform penghantaran makanan tanpa khidmat makan di premis.


Situasi itu terbongkar selepas satu klip video tular menunjukkan paip plastik menyalurkan air dari penyaman udara ke dalam baldi berisi bahan masakan.


Siasatan pihak berkuasa mendapati, restoran tersebut pada awalnya merendam bahan masakan menggunakan air paip, namun ditukar kepada air lelehan penyaman udara.


Masih belum jelas berapa lama amalan itu dibuat. 


Susulan penemuan itu, pihak berkuasa menyita semua bahan untuk ujian dan mengarahkan restoran tersebut ditutup serta dikeluarkan daripada aplikasi penghantaran.


Mi dan cendawan direndam di dalam baldi yang berisi air lelehan penyaman udara. - Foto Sing Tao Daily.

Sabtu, 2 Ogos 2025

Saintis Harvard Beri Amaran Kapal Angkasa Makhluk Asing Akan Hentam Bumi Disember Ini

Saintis Harvard Beri Amaran Kapal Angkasa Makhluk Asing Akan Hentam Bumi Disember Ini


Satu objek angkasa sebesar bandar Manhattan yang sedang bergerak laju ke arah sistem suria menarik perhatian saintis, selepas satu kajian mencadangkan ia mungkin kapal angkasa makhluk asing yang merancang untuk menyerang Bumi.


Objek yang dinamakan 3I/ATLAS ini adalah komet luar angkasa ketiga yang pernah ditemui, selepas ‘Oumuamua dan Borisov. Ia mula dikesan pada 1 Julai lalu oleh teleskop ATLAS di Chile, dan dipercayai bergerak sangat laju lebih 60 kilometer sesaat, menjadikannya salah satu objek paling laju pernah melintasi sistem suria.


Apa yang lebih mengejutkan, saintis percaya objek ini mungkin bukan sekadar komet, sebaliknya ia mungkin teknologi makhluk asing yang menyamar supaya tidak mudah dikesan oleh manusia.


Menurut draf kajian yang belum disemak oleh pakar lain, 3I/ATLAS dijangka akan menghampiri Matahari pada akhir November dan pada waktu itu ia tidak akan dapat dilihat dari Bumi kerana terlindung oleh cahaya Matahari.


Saintis percaya objek itu mungkin akan ambil kesempatan untuk bergerak secara senyap, perlahan dan masuk ke orbit sistem suria tanpa dikesan, seolah-olah sedang menyamar sebelum melancarkan serangan.


Apa yang lebih membimbangkan, komet ini akan melintasi dengan sangat dekat tiga planet utama, Zuhrah, Marikh dan Musytari. Menurut pengiraan saintis, kebarangkalian laluan seperti ini berlaku secara kebetulan sangat jarang, iaitu kurang daripada 0.005 peratus.


Kajian ini ditulis oleh tiga orang penyelidik, termasuk Profesor Avi Loeb, seorang pakar astrofizik dari Universiti Harvard yang pernah mencetuskan kontroversi kerana mendakwa objek ‘Oumuamua mungkin kapal perisik makhluk asing.


Bersama dua lagi penyelidik dari Initiative for Interstellar Studies di London, mereka menerangkan bahawa kajian ini cuma satu idea saintifik yang menarik untuk dikaji, bukannya sesuatu yang mereka benar-benar percaya.


"Kalau teori ini betul, ia boleh jadi sangat berbahaya untuk manusia dan mungkin kita perlu ambil langkah pertahanan, walaupun langkah itu belum tentu berjaya."


Dalam kenyataan lain, mereka berkata, "Kajian ini dibuat berdasarkan satu andaian luar biasa yang masih boleh diuji. Walaupun penulis tidak semestinya mempercayainya, mereka rasa ia tetap penting untuk dikaji dan dilaporkan."


Para penyelidik mengemukakan andaian bahawa objek misteri itu mungkin merupakan teknologi makhluk asing yang membantu dalam kemungkinan serangan ke atas Bumi. - Foto Daily Mail.
'Kubur berbatu nisan' di tepi jalan undang resah penduduk

'Kubur berbatu nisan' di tepi jalan undang resah penduduk


Pengguna lalu lintas di sebuah kota gempar selepas kewujudan sebuah 'kubur lengkap dengan batu nisan' di tepi jalan. Keadaan itu turut menjadi tular di media sosial setelah ia mengundang resah orang ramai.


Rupa-rupanya penduduk warga RT 27 Kelurahan Eka Jaya, Kecamatan Paal Merah, Kota Jambi di Indonesia mempunyai kaedah unik untuk menangani masalah pembuangan sisa sampah yang tiada kesudahan di kawasan tersebut.


Mereka akhirnya mendapat idea untuk membina replika kubur di tepi jalan untuk memberi peringatan kepada pihak tidak bertanggungjawab yang berulang kali membuang sampah secara sembarangan.


'Kubur dengan batu nisan' itu diletakkan betul-betul di lokasi yang menjadi tempat pembuangan sampah.


"Kami sudah penat menegur beberapa kali, namun tidak diendahkan. Maka terhasillah 'kubur peringatan' ini," kata wakil penduduk Tarsan seperti dilaporkan Kompas.com semalam.


Menurutnya, masalah pembuangan sampah semakin tidak terkawal sejak aktiviti pembangunan perumahan di kawasan tersebut.


"Timbunan sampah-sarap mencacatkan pemandangan dan menyebabkan bau busuk. Kami pernah kerahkan tiga trak untuk mengangkut sisa sampah tersebut, namun masalah itu tidak pernah selesai," ujarnya.


Seorang lagi penduduk, Sugiharto berharap masalah itu akan mendapat perhatian serius pemerintah memandangkan tempat pembuangan sementara (TPS) sangat terhad.


"Jika TPS disediakan lebih banyak, orang ramai tidak akan membuang sampah merata-rata. Hal ini bukan hanya tentang disiplin, tetapi juga mengenai akses dan fasiliti," jelasnya lagi.


Wakil penduduk menunjukkan kubur lengkap dengan batu nisan di tepi jalan yang turut jadi tular di media sosial. - Foto KOMPAS.com.
Pasangan doktor dicekup ketika sedang 'menyuntik' doktor perempuan dalam rumah sewa di Melaka

Pasangan doktor dicekup ketika sedang 'menyuntik' doktor perempuan dalam rumah sewa di Melaka


Doktor lelaki di sebuah hospital di Melaka dicekup Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) selepas disyaki berkhalwat dengan kekasihnya di sebuah rumah di Taman Semabok Perdana, Semabok, pada petang Selasa (29 Julai 2025).


Ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 3.25 petang, doktor berkenaan dan pasangan yang juga merupakan doktor perubatan sanggup bersembunyi dalam rumah teres setingkat itu.


Sumber berkata, bagaimanapun selepas 20 minit menunggu akhirnya pasangan yang enggan memberikan kerjasama ketika kehadiran imam masjid, polis dan penduduk taman akhirnya akur.


Menurutnya, pasangan doktor itu terpaksa membuka pintu rumah selepas sepasukan penguat kuasa tiba sebelum menahan mereka pada jam 3.43 petang.


"Malah doktor lelaki yang membuka pintu rumah terbabit didakwa turut mempersoalkan tindakan penguat kuasa untuk memeriksa kediamannya yang disewa bersama dua lagi rakan lelakinya yang tiada di rumah ketika serbuan dilakukan," katanya.


Perkara itu disahkan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, yang memaklumkan bahawa kedua-dua individu berusia 26 tahun merupakan doktor perubatan di Hospital Melaka.


Seorang doktor lelaki ditahan JAIM selepas disyaki berkhalwat dengan pasangannya yang juga seorang doktor wanita. - Foto Sinar Harian.

Ahad, 23 Oktober 2022

Jijik, selak alas kaki kereta ada ratusan ulat sampah

Jijik, selak alas kaki kereta ada ratusan ulat sampah


Seorang pencuci kenderaan terkejut apabila menemui ratusan ulat sampah di bawah alas kaki sebuah kereta yang dipercayai berpunca daripada telur busuk yang pecah.


Video mengenai kejadian itu dikongsikan @AzwanCarwash di laman TikTok.


Dia memberitahu, pemilik kenderaan itu hanya membersihkan bahagian atas tempat duduk sahaja tanpa membuka alas bahagian bawah.


"Pemilik kata dia hidu bau busuk daripada keretanya sejak tiga hari lalu hingga memaksanya menghantar ke kedai.


"Buka 'seat' saja, terus termpak dua ke tiga ekor ulat. Selak alas kaki nampak segerombolan ulat seperti sedang membiak.


"Kereta berbau busuk, hanyir dan menurut pemilik kereta, telur ayam pecah jadi punca," jelasnya.


Rata-rata netizen meluahkan rasa jijik dan geli dengan bilangan ulat yang agak banyak itu.


"Kalau makan dalam kereta sekalipun, selepas makan, basuhlah, 'vaccum'. Takkan jadi macam ni sekali, teruk sangat," kata seorang netizen.


Terdapat juga individu yang mengusik dan menjadikannya sebagai bahan jenaka.


"Tak mengapalah ulat. Ambik saja kereta ini. Nah kunci, selamat berjalan-jalan dengan keluarga," komen seorang lagi netizen.


Ratusan ulat sampah membiak dalam kereta berpunca daripada telur ayam busuk yang pecah.

Sabtu, 8 Oktober 2022

Keranda batu berusia 3,300 tahun milik bangsawan Mesir Purba ditemui dalam keadaan bersih

Keranda batu berusia 3,300 tahun milik bangsawan Mesir Purba ditemui dalam keadaan bersih


Sebuah keranda batu seorang individu dipercayai bangsawan berpangkat tinggi ditemui di tapak ruang pengebumian Mesir purba berhampiran Kaherah, lapor Mail Online pada 4 Oktober 2022.


Wakil penyelidik Profesor Ola El Aguizy yang menemukan keranda batu itu berkata, dia berharap akan mendapat petunjuk mengenai pemerintahan Mesir purba selepas era Maharaja Tutankhamun.


Difahamkan, keranda itu dipercayai berusia sehingga 3,300 tahun dan merupakan milik Ptah-em-wia yang dikatakan pernah berkhidmat sebagai ketua perbendaharaan di bawah Ramses The Great.


Ahli arkeologi Universiti Kaherah berkata hieroglyphs yang berada pada keranda batu berkenaan memperakui ianya adalah Ptah-em-wia ekoran gelaran tersebut turut terdapat pada dinding makam itu sendiri.



"Ia menunjukkan bahawa dia merupakan seorang bangsawan dan agak rapat dengan raja kerana gelarannya berkaitan dengan kuil berjuta tahun di Thebes.


"Gelaran itu membuktikan dia mempunyai peranan yang sangat penting dalam pentadbiran dan boleh disamakan dengan menteri kewangan pada masa kini," katanya.


Sebelum ini, penemuan keranda batu Mesir purba pernah didedahkan dalam siri keempat Lost Treasures of Egypt yang ditayangkan di National Geographic pada hari Ahad.


Penemuan keranda batu dalam keadaan yang 'baik' merupakan perkara yang jarang berlaku di kawasan perkuburan Saqqara.


Menurut Kementerian Pelancongan dan Antik Mesir, walaupun keranda batu itu ditemui dalam keadaan baik namun sebahagian penutupnya telah terputus dan ditinggalkan di sudut bilik.



Ini menunjukkan perompak kubur dipercayai pernah memecah dan merompak keranda batu tersebut ekoran kumpulan itu amat aktif pada zaman itu.


Walau bagaimanapun, keranda batu yang menempatkan Ptah-em-wia tidak dirompak dan ia merupakan kubur asal di mana ia ditemui.


Sementara itu jurucakap kumpulan arkeologi Mesir El Aquizy berkata keranda batu yang ditemui itu merupakan contoh yang baik ditunjukkan oleh kerajaan baru untuk golongan elit.


"Ciri-ciri muka dan janggut mendedahkan juga kemahiran seni yang bagus dari kerajaan baru dan menunjukkan kedudukan tinggi si mati," tambahnya.


Penemuan itu akan dikaji dan didedahkan keseluruhan kisah kehidupan Ptah-em-wia untuk tontonan National Geographic. - Sumber Mail Online.


Makam paras permukaan itu ditemui oleh Profesor El Aguizy musim lalu, tetapi dia tidak dapat turun ke ruang bawah tanah sehingga tahun ini. - Foto National Geographic.

Profesor Ola El Aguizy (gambar), yang menemui sarkofagus di Saqqara, berharap akan mendapat petunjuk mengenai pemerintahan Mesir purba selepas era Maharaja Tutankhamun. - Foto National Geographic.

Menurut penerbit rancangan itu, ini adalah 'pencarian musim ini' dan sangat penting dalam dunia arkeologi. - Foto National Geographic.
Arab Saudi bina bangunan terpanjang di dunia sepanjang 170 kilometer bernilai RM2.24 trilion

Arab Saudi bina bangunan terpanjang di dunia sepanjang 170 kilometer bernilai RM2.24 trilion


Projek Neom Arab Saudi bernilai AS$500 bilion (RM2.24 trilion) mencatat rekod tersendiri apabila akan menjadi 'rumah' kepada pencakar langit sepanjang 120 kilometer dikenali sebagai Mirror Line.


Menurut dokumen yang dilihat The Wall Street Journal (WSJ), struktur terbesar di dunia itu membabitkan dua bangunan setinggi 490 meter serta berbentuk linear atau lurus.


Menariknya, struktur terbabit akan dihubungkan dengan laluan pejalan kaki dan kereta api berkelajuan tinggi di bawahnya.


Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman berkata, The Line di bawah projek Neom akan menjelmakan keadaan masyarakat bandar pada masa hadapan.



Katanya, reka bentuk The Line yang mengutamakan manusia, sekali gus memberikan pengalaman hidup bandar yang belum pernah berlaku sebelum ini serta memelihara alam semula jadi.


"Idea bandar berfungsi secara menegak, memberikan orang ramai pengalaman bergerak dengan lancar dalam tiga dimensi untuk mengaksesnya adalah konsep yang dirujuk sebagai Graviti Urbanisme Sifar," katanya seperti dilaporkan The National.


Menurutnya, keseluruhan jalur pantai sepanjang 170 kilometer di barat laut Arab Saudi akan bebas daripada kereta dan jalan raya dengan matlamat sifar pelepasan karbon. Mirror Line adalah salah satu siri projek yang membentuk Neom.


Mirror Line direka Morphosis Architects yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dan projek itu membabitkan pelbagai perunding kejuruteraan serta mengandungi sekurang-kurangnya sembilan reka bentuk.


Mereka mencadangkan membinanya secara berperingkat dengan mencipta struktur sepanjang 790 meter dengan ketinggian berbeza-beza sehingga 490 meter yang akan bersambung dalam satu barisan.



Putera Mahkota Mohammed Salman sebelum ini mengumumkan rancangan untuk mewujudkan komuniti linear yang dijangka menelan kos sehingga satu trilion dolar dan apabila siap ia mampu menempatkan kira-kira lima juta orang.


Empat pembangunan lain termasuk Teluk Neom, Wilayah Aqaba, Gunung Neom dan Bandar Perindustrian Neom turut akan dibina mengelilingi projek terbabit. Terdapat juga projek yang dirancang bernama Vault iaitu sebuah resort yang dibina di lereng gunung.


Diumumkan Putera Mohammed pada 2017, Neom ialah perniagaan utama Arab Saudi dan pembangunan pelancongan di pesisir Laut Merah dan projek utama dalam Wawasan 2030 yang menggariskan rancangan kerajaan untuk mempelbagaikan ekonomi.


Pembangunan itu akan merangkumi bandar dan bandar pintar, pelabuhan dan kawasan perusahaan, pusat penyelidikan, tempat sukan dan hiburan serta pusat pelancongan.


Ia akan mempunyai keluasan 26,500 kilometer persegi dan akan terdiri daripada beberapa zon, termasuk kawasan perindustrian dan logistik.


Berdasarkan perancangan awal, Ketua Pelancongan Neom berkata, kawasan itu diramal menjadi penempatan kepada jutaan orang menjelang 2030.


Lakaran artis projek The Line. - Foto Neom.

Lakaran artis projek The Line. - Foto Neom.

Lakaran artis projek The Line. - Foto Neom.

Lakaran artis projek The Line. - Foto Neom.

Lakaran artis projek The Line. - Foto Neom.
Lelaki ini cipta meja berjalan dengan 12 batang kaki untuk pengguna malas

Lelaki ini cipta meja berjalan dengan 12 batang kaki untuk pengguna malas


Seorang pengaturcara komputer di Belanda mencipta sebuah meja berjalan yang mempunyai 12 batang kaki, lapor akhbar Metro UK pada 28 September 2022.


Giliam de Carpentier, menghasilkan meja 12 kaki yang boleh menghampiri pengguna sekiranya mereka terlalu malas untuk berjalan ke arahnya.


"Ternyata, meja ciptaan saya sebenarnya boleh berjalan seperti yang saya harapkan," kata Carpentier menerusi Twitter ketika memuat naik video memaparkan meja tersebut minggu lalu.


Meja itu mempunyai dua motor yang diubah suai oleh Carpentier menggunakan pengawal komputer Arduino kecil untuk memacu bekalan elektrik bagi memastikan kakinya bergerak dengan lancar dan pada kadar yang dikehendaki.


Ia mempunyai 12 kaki yang direka oleh Carpentier berpandukan rekaan Strandbeest, sebuah arca biomekanikal kinetik yang direka oleh artis Belanda, Theo Jansen.


Setiap kaki meja itu mempunyai satu sendi tambahan untuk menjadikan ia stabil dan cekap.


"Seperti rekaan Theo Jansen, saya mendapati mekanisme kaki meja saya menggunakan algoritma pengoptimum simulasi tersuai. Jadi ia seakan serupa.


"Rekaan saya bagaimanapun mempunyai kedudukan sendi tambahan dan jejari kaki yang tepat selain nisbah-nisbah lain yang berbeza.


"Sangat mengagumkan. Walau bagaimanapun, saya mungkin mengalami mimpi ngeri malam ini memikirkan meja ini mengejar saya pada kelajuan tinggi," katanya. - Sumber Metro News.


Meja itu mempunyai 12 kaki yang yang stabil dan cekap. - Foto Twitter.

Isnin, 3 Oktober 2022

Budak 7 tahun tangkap 'belut pisang' berwarna kuning dan hitam yang jarang dilihat

Budak 7 tahun tangkap 'belut pisang' berwarna kuning dan hitam yang jarang dilihat


Seekor 'belut pisang' yang ditangkap seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun kini dipamerkan di sebuah akuarium di wilayah Mie, Pulau Honshu, Jepun, lapor akhbar The Mainichi pada 28 September 2022.


Yoshihito Ueyama, menangkap haiwan itu pada 26 Ogos lalu di sebuah terusan dekat rumahnya. Kanak-kanak tersebut pergi ke terusan itu hampir setiap hari ketika musim panas tahun ini untuk memancing.


Pada 25 Ogos, secara kebetulan, Ueyama menemui seekor belut kekuningan yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini. Ia mengambil masa dua hari dan banyak kegagalan sebelum dia berjaya menangkapnya.


Belut itu tersangkut pada mata kail Ueyama dan merentap tali pancing dengan kuat sehingga putus. Ueyama bagaimanapun berjaya menangkap belut itu menggunakan dua tangannya dan memasukkan haiwan tersebut ke dalam jaring.


"Saya amat gembira kerana berjaya menangkap belut itu sebelum bergegas pulang ke rumah," kata Ueyama yang pada awalnya, merancang untuk membela haiwan tersebut.


Belut pisang sepanjang kira-kira 45 sentimeter itu dikenali melalui tompokan berwarna kuning dan hitam. Ia ditempatkan di akuarium Ise Sea Paradise sejak 29 Ogos lalu dan menjadi tarikan pengunjung yang beratur panjang untuk melihatnya.


Sementara itu, seorang peminat haiwan tersebut, Mizuki Abe berkata, ia merupakan spesies belut Jepun dan corak luar biasa berwarna hitam dan kuning itu adalah kesan daripada mutasi genetik.


Tambahnya, keadaan warna itu berlaku hanya satu dalam puluhan ribu hingga 100,000 ekor belut.


"Ia adalah warna kuning yang lebih terang daripada yang saya jangkakan. Sungguh ajaib ia membesar secara semula jadi tanpa diserang oleh musuh," katanya. - Sumber The Mainichi.


Foto Mainichi/Ryoma Hara.

Sabtu, 1 Oktober 2022

Ikan Laut Dalam yang dikenali pasti Anglerfish ditemui di pantai San Diego

Ikan Laut Dalam yang dikenali pasti Anglerfish ditemui di pantai San Diego


Seekor ikan yang jarang ditemui, iaitu ikan pemancing laut dalam atau anglerfish yang biasanya ditemui di kedalaman lautan lebih daripada 2,000 kaki telah ditemui di pantai di San Diego, California pada 13 November, menurut NBC San Diego.


Jay Beiler, yang menangkap imej-imej ini, memberitahu Storyful bahawa dia menemui ikan itu di Pantai Negeri Torrey Pines.


"Pada mulanya saya fikir ia adalah seperti obor-obor atau sesuatu. Kemudian saya pergi dan melihatnya dengan lebih berhati-hati, beberapa orang lain juga berkumpul di sekelilingnya.


"Saya melihat bahawa ia adalah ikan yang sangat luar biasa, ia adalah mimpi ngeri, mulutnya menakutkan! Saya boleh katakan panjangnya hampir satu kaki," kata Beiler memberitahu NBC 7 San Diego.


Menurut NBC 7, Scripps Institution of Oceanography melaporkan ikan itu adalah ikan Pacific footballfish atau bola sepak Pasifik, yang dikenal pasti dari spesies kumpulan jenis ikan anglerfish.


Menurut Ben Frable, pengurus koleksi vertebrata marin di Scripps, spesies itu hanya dilihat 'beberapa kali' di California.


Spesies ikan Pacific footballfish ini hidup di kedalaman antara 2,000 hingga 3,300 kaki, di mana cahaya matahari tidak menembusi. Ikan ini menggunakan gewang bercahaya berdaging dari kepala mereka untuk menarik mangsa. - Sumber Yahoo! News.


BACA: Pemancing terkejut jumpa bangkai ikan 'matahari' gergasi terdampar di pantai.


Foto NBC San Diego.

Foto NBC San Diego.

Foto NBC San Diego.
Rangka gajah berusia 12,000 tahun ditemui di Chile

Rangka gajah berusia 12,000 tahun ditemui di Chile


Saintis Chile menemui rangka spesies gajah berusia 12,000 tahun di Tasik Tagua Tagua, selatan negara itu, baru-baru ini, lapor Reuters pada 28 September 2022.


Ahli arkeologi, Carlos Tornero yang bertugas di lokasi penemuan itu berkata, berdasarkan sejarah, spesies Gomphotheres menjelajah selatan Chile, ribuan tahun lalu dan telah pupus sejak 11,700 tahun lalu.


Katanya, saiz haiwan itu yang memiliki berat sehingga empat tan dan boleh mencapai tiga meter menyebabkan mereka percaya gajah itu adalah sasaran pemburuan kumpulan penduduk di rantau ini.



"Hipotesis yang kami jalankan ini mengenai memburu dan aktiviti berburu.


"Kami fikir ini kerana Gomphothere adalah haiwan yang sangat besar dan berbahaya dan ia mungkin memerlukan beberapa orang (untuk memburunya)," katanya.


Para saintis berkata penemuan itu juga akan membolehkan mereka mengkaji kesan peninggalan manusia yang lebih luas di rantau ini, dan bagaimana perubahan iklim menjejaskan haiwan di kawasan itu pada masa itu.


"Kami boleh mendapatkan banyak maklumat dari sini, contohnya berkaitan dengan perubahan iklim, bagaimana ia menjejaskan haiwan.


"Ini juga termasuk pengaruh manusia terhadap alam sekitar yang sangat sesuai dengan apa yang berlaku sekarang dari segi alam sekitar," kata Elisa Calas, ahli arkeologi yang juga bekerja di tapak itu. - Sumber Reuters.


Ilustrasi artis tentang gambaran Anancus arvernensis, sejenis gomphothere, yang hidup di Eropah semasa zaman Pleistosen sekitar 2,580,000 hingga 11,700 tahun yang lalu. - Foto Nobumichi Tamura/STKRF/AP.

Rangka spesies gajah pupus berusia 12,000 tahun. - Foto Reuters.

Khamis, 29 September 2022

Kapal angkasa NASA bergerak pada kelajuan hipersonik dilaporkan berjaya rempuh asteroid Dimorphos

Kapal angkasa NASA bergerak pada kelajuan hipersonik dilaporkan berjaya rempuh asteroid Dimorphos


Kapal angkasa milik Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) berjaya merempuh asteroid yang menghala ke Bumi pada waktu pagi 27 September 2022 lepas, sekali gus mengubah laluannya.


Kapal angkasa Bullseye menerusi program Ujian Pengalihan Asteroid Berganda (DART) meluncur melalui sistem suria pada kelajuan hipersonik untuk merempuh asteroid tersebut.


Strim secara langsung menerusi laman web NASA menunjukkan kapal angkasa itu meluncur ke arah asteroid Dimorphos yang dianggarkan sebesar stadium bola sepak, terletak kira-kira 11 juta kilometer dari Bumi.


Misi itu direka untuk menentukan sama kapal angkasa mampu mengubah trajektori asteroid melalui daya kinetik, menolaknya dari laluan yang boleh mencetuskan ancaman kepada Bumi.


Dalam pada itu, pemerhatian teleskop lebih lanjut akan dilakukan terhadap asteroid itu pada bulan depan. Hasil ujian itu turut dipantau dalam tempoh yang hampir sama dari pusat operasi di Makmal Fizik Gunaan Universiti Johns Hopkins (APL) di Laurel, Maryland.



Sama ada ia berjaya mencapai sasaran diharapkan masih belum diketahui sehingga pemerhatian teleskop lebih lanjut ke atas asteroid dilaksanakan bulan depan.


Bagaimanapun, pegawai NASA memuji hasil eksperimen yang dibuat dan jelas mereka kapal angkasa itu kelihatan berfungsi sebagaimana rekaannya.


DART yang dilancarkan oleh roket SpaceX pada November 2021 melakukan sebahagian besar pelayarannya di bawah bimbingan pengarah penerbangan NASA dengan kawalan diserahkan kepada sistem navigasi autonomi pada jam terakhir perjalanan.


Sorakan oleh jurutera di dalam bilik kawalan didengari apabila imej asteroid yang disasarkan semakin besar dan akhirnya memenuhi skrin TV sejurus sebelum isyarat kapal angkasa itu hilang, mengesahkan ia telah berjaya merempuh Dimorphos.


"Kami memulakan era baharu. Era di mana kami berpotensi mempunyai keupayaan untuk melindungi diri kami daripada sesuatu seperti kesan asteroid yang berbahaya," kata Lori Glaze iaitu Pengarah Bahagian Sains Planet NASA.


Asteroid Dimorphos adalah sepanjang 160 meter dan mengorbit sebuah asteroid besar bernama Didymos. Permukaan Dimorphos yang berbatu-batu akhirnya dapat dilihat dengan jelas dalam beberapa minit terakhir ketika DART bergerak dan menghentam ke arahnya pada kelajuan kira-kira 23,500 kilometer sejam.


Apa yang pasti ialah kedua-dua asteroid itu tidak menimbulkan ancaman kepada Bumi kerana ia melepasi planet tersebut dan berada pada jarak kira-kira lebih 10 juta kilometer.


NASA berharap melalui hentaman itu, asteroid berkenaan akan bergerak ke orbit yang lebih kecil dan mengurangkan 10 minit masa yang diperlukan untuk mengelilingi Didymos.


Beberapa minit selepas hentaman, sebuah satelit bersaiz pembakar roti dikenali sebagai LICIACube yang telah dipisahkan daripada DART beberapa minggu lalu, dijangka bergerak dekat tempat kapal angkasa tanpa juruterbang yang terhempas berkenaan bagi merakamkan imej perlanggaran itu.


Gambar yang dirakamkan LICIACube itu dijangka dihantar semula ke Bumi pada minggu depan. Untuk rekod, misi DART dilancarkan November lalu dari Pangkalan Angkatan Angkasa Vandenberg di California.


Imej menerusi strim secara langsung yang dirakamkan DART menunjukkan asteroid Dimorphos di ruang angkasa lepas. - Foto AP.

Selasa, 27 September 2022

Planet Marikh dicemari 7,118 kilogram sampah buatan manusia termasuk kapal angkasa yang tidak aktif

Planet Marikh dicemari 7,118 kilogram sampah buatan manusia termasuk kapal angkasa yang tidak aktif


Manusia meninggalkan kira-kira 7,118 kilogram sampah di planet Marikh sejak 50 tahun yang lalu sedangkan tiada mana-mana individu pernah menjejakkan kaki di planet merah itu, lapor laman berita Wion News pada 26 September 2022.


Felo penyelidik pasca kedoktoran bidang robotik di Universiti West Virginia, Cagri Kilic menganalisis jisim semua kenderaan robotik dan pengorbit yang dihantar ke Marikh, tanpa mengambil kira berat daripada kenderaan sedang beroperasi ketika ini.


Hasil analisis mendapati sebanyak 7,118 kg serpihan bersepah di planet Marikh. Serpihan itu antara lain terdiri daripada perkakasan dibuang, kapal angkasa tidak aktif dan yang terhempas di permukaan planet termasuk pengorbit Marikh 2 Kesatuan Soviet yang terhempas ketika melakukan pendaratan pada 1971.


Para saintis bimbang serpihan itu boleh mencemari sampel dikumpulkan oleh kenderaan robotik, Perseverance yang dalam misi mencari bukti kehidupan lampau di planet Marikh.


Kebanyakan serpihan itu tidak dapat dielakkan memandangkan banyak bahagian perlu dibuang untuk melindungi kenderaan angkasa ketika ia meluncur melalui atmosfera planet merah.


Ia termasuk kenderaan Perseverance dilancarkan Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang terpaksa mengharungi tujuh minit kesukaran ketika mendarat pada Februari 2021.


Kenderaan robotik itu didapati merakam beberapa imej serpihan ketika dalam misinya. Jun lalu, pasukan NASA mengesan cahaya dalam sekeping imej dihantar oleh kenderaan Perseverance yang kemudian diarahkan untuk meneliti semula.


Beberapa minggu kemudian, kenderaan Perseverance memasuki kawasan Hogwallow Flats dan memperoleh panorama Mastcam-Z 360 darjah yang beresolusi tinggi.


Imej yang menunjukkan cahaya terang itu merupakan pantulan daripada lapisan thermal blanket. Lapisan material itu terselit di sudut beberapa batu dan kelihatan memantulkan cahaya.


Selain itu, terdapat sembilan kapal angkasa yang tidak aktif, termasuk pendarat Mars 3 dan Mars 6, pendarat Viking 1 dan Viking 2, rover Sojourner, pendarat Schiaparelli Agensi Angkasa Eropah, pendarat Phoenix, rover Spirit dan rover Opportunity, kini terkandas di Marikh.


Kilic mendakwa bahawa kebanyakan robot masih dalam keadaan berfungsi dan agensi angkasa menganggapnya sebagai artifak sejarah dan bukannya besi buruk. - Sumber Wion News.


Gambar menunjukkan lapisan thermal blanket yang ditemukan di planet Marikh. - Foto NASA.
Fosil tengkorak manusia berusia 1.4 juta tahun ditemukan di utara Sepanyol

Fosil tengkorak manusia berusia 1.4 juta tahun ditemukan di utara Sepanyol


Tengkorak berusia 1.4 juta tahun, fosil manusia tertua pernah ditemukan di benua Eropah dan dipercayai mampu mengubah pengetahuan mengenai prasejarah manusia, menurut saintis yang terbabit dalam penemuan itu.


"Kami masih belum mengetahui spesies manusia pertama berdasarkan penemuan itu," kata ahli arkeologi Aurora Martin, yang juga penyelaras am Muzium Evolusi Manusia di Burgos, utara Sepanyol, memberitahu Agensi Anadolu.


Tulang-tulang itu, ditemukan di dalam gua di tapak penggalian Sierra de Atapuerca berhampiran Burgos pada akhir Jun, dianggap satu kejayaan yang akan membantu menulis kembali sejarah evolusi manusia.


"Sehingga 1994, diketahui bahawa tiada spesies manusia purba di Eropah sehingga 500,000 tahun dahulu.


"Sekarang terdapat bukti kewujudan manusia pada 1.4 juta tahun dahulu. Dalam erti kata lain, kita menolak evolusi manusia di Eropah pada satu juta tahun lalu.


"Penemuan baharu itu yang mana ia tengkorak satu spesies, digali pada musim panas 2022, dan dipercayai berusia 1.4 juta tahun.


"Hal ini membuka lembaran baharu untuk pelbagai persoalan. Kami akan cuba mencari jawapan kepada persoalan ini, tetapi semuanya akan dilakukan selepas penyelidikan. Kami tidak boleh memberikan jawapan sekarang," katanya.


Tapak arkeologi Atapuerca dijumpai ketika pembinaan landasan kereta api pada akhir abad ke-19, dan cari gali pertama bermula pada 1976.


Fosil manusia tertua pernah ditemukan di benua Eropah sebelum ini ialah pada 2007, yang berusia 1.2 juta tahun.


Menurut laporan, fosil manusia dan haiwan zaman batu purba yang ditemukan di Atapuerca, Tapak Warisan Dunia itu kini dipamerkan di Muzium Evolusi Manusia di Burgos.


"Kami perlu meneruskan penyelidikan kami selama kira-kira sekurang-kurangnya setahun. Ini mengambil banyak masa," kata José María Bermúdez de Castro, salah seorang penyelaras pasukan, kepada wartawan.


"Apa yang boleh kami katakan ialah kami telah menemui fosil yang sangat penting dan menarik yang dimiliki oleh salah satu populasi pertama yang tiba di Eropah," jelasnya. - Sumber Reuters.


Tengkorak berusia 1.4 juta tahun yang ditemukan di tapak penggalian Sierra de Atapuerca berhampiran Burgos. - Foto Agensi.

Ahad, 25 September 2022

Saintis temukan fosil dinosaur pertama yang terbunuh ketika asteroid besar melanda Bumi 66 juta tahun lalu

Saintis temukan fosil dinosaur pertama yang terbunuh ketika asteroid besar melanda Bumi 66 juta tahun lalu

Robert DePalma.

Ahli paleontologi berjaya menemukan sebahagian fosil dinosaur pertama yang dipercayai terbunuh ketika asteroid besar melanda bumi 66 juta tahun lalu, di Tanis, Dakota Utara, Amerika Syarikat, lapor laman berita BBC News.


Pakar menemukan kaki Thescelosaurus yang adalah dinosaur herbivor kecil bersama serpihan batu angkasa selebar 11,265 meter yang membunuhnya.


Kaki haiwan itu yang lengkap dengan kulit berkemungkinan 'tercabut' selepas dilanda asteroid Chicxulub sehingga menyebabkan banjir kilat.


Fosil kaki haiwan itu digali bersama beberapa siri penemuan luar biasa di tapak fosil terbabit.


"Ini adalah penemuan pertama dinosaur yang menjadi mangsa hujan asteroid sehingga menyebabkan kawah seluas 149, 669 meter di kawasan yang kini dikenali sebagai Teluk Mexico.


"Kami juga menemukan serpihan kecil dari batu angkasa yang menamatkan era dinosaur sehingga membawa kepada kebangkitan mamalia," kata pakar.



Penemuan itu dilakukan oleh Ahli Paleontologi Universiti Manchester, Robert DePalma di tapak penggalian terkenal yang ditemukan sejak 2008.


"Ini adalah perkara paling luar biasa dan adalah senario kes terbaik. Kawasan ini mempunyai haiwan yang tertimbus semasa dihentam asteroid, selain dikenali sebagai 'tanah perkuburan dinosaur'," katanya.


Pakar juga boleh memberikan bukti fizikal pertama mengenai dinosaur terbunuh akibat asteroid semasa penghujung Zaman Cretaceous.


Pakar menjelaskan bilangan fosil dinosaur yang ditemukan di dalam batu sangat sedikit walaupun beberapa ribu tahun sebelum hujan asteroid berlaku.


Oleh itu, usaha untuk menemukan fosil dari hari peristiwa itu berlaku sebenarnya adalah sangat luar biasa. - Sumber BBC News.


BACA: Kajian baharu mendakwa asteroid bukan punca utama dinosaur pupus.


Ahli paleontologi menemui fosil kaki Thescelosaurus (dinosaur herbivor kecil) bersama serpihan batu angkasa selebar 11,265 meter yang membunuhnya. - Foto Twitter.

Sir David meneliti fosil dinosaur triceratops. - Foto BBC/JOHN SAYER.

Sabtu, 24 September 2022

Kajian baharu mendakwa asteroid bukan punca utama dinosaur pupus

Kajian baharu mendakwa asteroid bukan punca utama dinosaur pupus


Sekitar 66 juta tahun yang lalu, asteroid gergasi telah merempuh planet kita, melepaskan ribut api dahsyat yang membunuh dinosaur. Bagaimanapun Kajian baharu telah menimbulkan keraguan tentang teori itu.


Memetik laporan laman berita Wion News pada 21 September 2022, satu kajian baharu mendakwa bahawa spesies dinosaur sudah berada di ambang kepupusan ketika sebutir asteroid gergasi menghentam Bumi, dan menghapuskan semua haiwan zaman purba tersebut.


Apabila dinosaur pupus 66 juta tahun yang lalu, bilangan spesies haiwan itu telah merosot secara drastik, demikian menurut kajian tersebut yang dilakukan ke atas telur-telur dinosaur di China.


Kajian oleh Akademi Sains China itu juga telah diterbitkan dalam jurnal saintifik, PNAS.


Menggunakan telur dinosaur yang ditemui di Lembangan Shanyang, saintis-saintis mencipta kronologi masa dalam tempoh dua juta tahun menjelang akhir zaman Cretaceous, zaman terakhir di mana dinosaur masih hidup.


Lembangan di tengah China itu menyimpan kira-kira 1,000 fosil telur, tetapi setelah melakukan pemeriksaan lebih teliti, penyelidik mendapati bahawa hanya tiga spesies yang sebenarnya masih hidup pada masa itu.


Ini bermakna kepelbagaian spesies dinosaur sudah semakin berkurang semasa zaman Cretaceous.


"Keputusan kajian kami menunjukkan biodiversiti dinosaur adalah rendah dalam tempoh dua juta tahun terakhir Cretaceous. Data tersebut membuktikan penurunan dalam biodiversiti dinosaur berjuta-juta tahun sebelum sempadan zaman Cretaceous/Paleogene," kata penulis kajian.


Selain itu, saintis turut membuat spekulasi bahawa faktor termasuk perubahan iklim dan letusan gunung berapi mungkin telah menyebabkan populasi dinosaur berkurangan mendadak.


Kajian mendapati hanya ada tiga spesies dinosaur masih hidup semasa asteroid mendarat di Bumi. - Foto The New York Times.

Selasa, 20 September 2022

Saintis temukan tiga eksoplanet baharu berhampiran Bumi yang terletak dalam zon boleh dihuni

Saintis temukan tiga eksoplanet baharu berhampiran Bumi yang terletak dalam zon boleh dihuni


Kumpulan astronomi dari Pemantau Angkasa Lepas Eropah (ESO) mendakwa menemukan tiga eksoplanet baharu yang kedudukannya berhampiran dengan Bumi.


Menurut lapor akhbar Independent UK, ketiga-tiga eksoplanet itu dikatakan mempunyai sumber air menyerupai planet Zuhrah, Utarid dan Marikh.


Eksoplanet berkenaan dikesan dengan menggunakan Very Large Telescope (VLT) milik ESO, selain diketahui mempunyai jarak 35 tahun cahaya dari Bumi.


Ketiga-tiga eksoplanet itu mengorbit bintang berdekatan yang hampir sama dengan bintang atau Matahari dalam sistem suria kita.



Maria Osorio dari Pusat Atrobiologi di sini berkata, planet yang terletak dalam zon boleh dihuni mungkin memiliki atmosfera yang dapat melindungi dan menyokong kehidupan.


"Berdasarkan pemerhatian, ketiga-tiga eksoplanet baharu tersebut mempunyai air di dasar dan atmosferanya.


"Planet paling dekat dengan mataharinya dikenali sebagai L- 98-59a yang mempunyai separuh daripada jisim Zuhrah, manakala dua lagi planet yang ditemukan adalah L 98-59a dan L 98-59c," katanya.


Planet ketiga iaitu L 98-59c didakwa mengandungi 30 peratus air.


Ahli astronomi pertama kali melihat tiga planet tersebut pada 2019, menggunakan Transiting Exoplanet Survey Satellite (TESS) Nasa dengan mengesan apabila cahaya dari bintang berdekatan mereka tenggelam apabila planet-planet melintas di hadapannya.


"Kami telah mengejar planet terestrial sejak kelahiran astronomi dan kini kami akhirnya semakin hampir dengan pengesanan planet terestrial di zon boleh dihuni bintangnya, yang mana kami boleh mengkaji atmosfera.


"Kami mempunyai petunjuk tentang kehadiran planet terestrial dalam zon boleh didiami sistem ini,” kata Olivier Demangeon, dari Universiti Porto di Portugal. - Sumber Independent UK.


Ilustrasi artis menunjukkan planet L 98-59b. - Foto ESO.