Isnin, 3 Oktober 2022

Budak 7 tahun tangkap 'belut pisang' berwarna kuning dan hitam yang jarang dilihat

Budak 7 tahun tangkap 'belut pisang' berwarna kuning dan hitam yang jarang dilihat


Seekor 'belut pisang' yang ditangkap seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun kini dipamerkan di sebuah akuarium di wilayah Mie, Pulau Honshu, Jepun, lapor akhbar The Mainichi pada 28 September 2022.


Yoshihito Ueyama, menangkap haiwan itu pada 26 Ogos lalu di sebuah terusan dekat rumahnya. Kanak-kanak tersebut pergi ke terusan itu hampir setiap hari ketika musim panas tahun ini untuk memancing.


Pada 25 Ogos, secara kebetulan, Ueyama menemui seekor belut kekuningan yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini. Ia mengambil masa dua hari dan banyak kegagalan sebelum dia berjaya menangkapnya.


Belut itu tersangkut pada mata kail Ueyama dan merentap tali pancing dengan kuat sehingga putus. Ueyama bagaimanapun berjaya menangkap belut itu menggunakan dua tangannya dan memasukkan haiwan tersebut ke dalam jaring.


"Saya amat gembira kerana berjaya menangkap belut itu sebelum bergegas pulang ke rumah," kata Ueyama yang pada awalnya, merancang untuk membela haiwan tersebut.


Belut pisang sepanjang kira-kira 45 sentimeter itu dikenali melalui tompokan berwarna kuning dan hitam. Ia ditempatkan di akuarium Ise Sea Paradise sejak 29 Ogos lalu dan menjadi tarikan pengunjung yang beratur panjang untuk melihatnya.


Sementara itu, seorang peminat haiwan tersebut, Mizuki Abe berkata, ia merupakan spesies belut Jepun dan corak luar biasa berwarna hitam dan kuning itu adalah kesan daripada mutasi genetik.


Tambahnya, keadaan warna itu berlaku hanya satu dalam puluhan ribu hingga 100,000 ekor belut.


"Ia adalah warna kuning yang lebih terang daripada yang saya jangkakan. Sungguh ajaib ia membesar secara semula jadi tanpa diserang oleh musuh," katanya. - Sumber The Mainichi.


Foto Mainichi/Ryoma Hara.

Sabtu, 1 Oktober 2022

Ikan Laut Dalam yang dikenali pasti Anglerfish ditemui di pantai San Diego

Ikan Laut Dalam yang dikenali pasti Anglerfish ditemui di pantai San Diego


Seekor ikan yang jarang ditemui, iaitu ikan pemancing laut dalam atau anglerfish yang biasanya ditemui di kedalaman lautan lebih daripada 2,000 kaki telah ditemui di pantai di San Diego, California pada 13 November, menurut NBC San Diego.


Jay Beiler, yang menangkap imej-imej ini, memberitahu Storyful bahawa dia menemui ikan itu di Pantai Negeri Torrey Pines.


"Pada mulanya saya fikir ia adalah seperti obor-obor atau sesuatu. Kemudian saya pergi dan melihatnya dengan lebih berhati-hati, beberapa orang lain juga berkumpul di sekelilingnya.


"Saya melihat bahawa ia adalah ikan yang sangat luar biasa, ia adalah mimpi ngeri, mulutnya menakutkan! Saya boleh katakan panjangnya hampir satu kaki," kata Beiler memberitahu NBC 7 San Diego.


Menurut NBC 7, Scripps Institution of Oceanography melaporkan ikan itu adalah ikan Pacific footballfish atau bola sepak Pasifik, yang dikenal pasti dari spesies kumpulan jenis ikan anglerfish.


Menurut Ben Frable, pengurus koleksi vertebrata marin di Scripps, spesies itu hanya dilihat 'beberapa kali' di California.


Spesies ikan Pacific footballfish ini hidup di kedalaman antara 2,000 hingga 3,300 kaki, di mana cahaya matahari tidak menembusi. Ikan ini menggunakan gewang bercahaya berdaging dari kepala mereka untuk menarik mangsa. - Sumber Yahoo! News.


BACA: Pemancing terkejut jumpa bangkai ikan 'matahari' gergasi terdampar di pantai.


Foto NBC San Diego.

Foto NBC San Diego.

Foto NBC San Diego.
Rangka gajah berusia 12,000 tahun ditemui di Chile

Rangka gajah berusia 12,000 tahun ditemui di Chile


Saintis Chile menemui rangka spesies gajah berusia 12,000 tahun di Tasik Tagua Tagua, selatan negara itu, baru-baru ini, lapor Reuters pada 28 September 2022.


Ahli arkeologi, Carlos Tornero yang bertugas di lokasi penemuan itu berkata, berdasarkan sejarah, spesies Gomphotheres menjelajah selatan Chile, ribuan tahun lalu dan telah pupus sejak 11,700 tahun lalu.


Katanya, saiz haiwan itu yang memiliki berat sehingga empat tan dan boleh mencapai tiga meter menyebabkan mereka percaya gajah itu adalah sasaran pemburuan kumpulan penduduk di rantau ini.



"Hipotesis yang kami jalankan ini mengenai memburu dan aktiviti berburu.


"Kami fikir ini kerana Gomphothere adalah haiwan yang sangat besar dan berbahaya dan ia mungkin memerlukan beberapa orang (untuk memburunya)," katanya.


Para saintis berkata penemuan itu juga akan membolehkan mereka mengkaji kesan peninggalan manusia yang lebih luas di rantau ini, dan bagaimana perubahan iklim menjejaskan haiwan di kawasan itu pada masa itu.


"Kami boleh mendapatkan banyak maklumat dari sini, contohnya berkaitan dengan perubahan iklim, bagaimana ia menjejaskan haiwan.


"Ini juga termasuk pengaruh manusia terhadap alam sekitar yang sangat sesuai dengan apa yang berlaku sekarang dari segi alam sekitar," kata Elisa Calas, ahli arkeologi yang juga bekerja di tapak itu. - Sumber Reuters.


Ilustrasi artis tentang gambaran Anancus arvernensis, sejenis gomphothere, yang hidup di Eropah semasa zaman Pleistosen sekitar 2,580,000 hingga 11,700 tahun yang lalu. - Foto Nobumichi Tamura/STKRF/AP.

Rangka spesies gajah pupus berusia 12,000 tahun. - Foto Reuters.

Khamis, 29 September 2022

Kapal angkasa NASA bergerak pada kelajuan hipersonik dilaporkan berjaya rempuh asteroid Dimorphos

Kapal angkasa NASA bergerak pada kelajuan hipersonik dilaporkan berjaya rempuh asteroid Dimorphos


Kapal angkasa milik Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) berjaya merempuh asteroid yang menghala ke Bumi pada waktu pagi 27 September 2022 lepas, sekali gus mengubah laluannya.


Kapal angkasa Bullseye menerusi program Ujian Pengalihan Asteroid Berganda (DART) meluncur melalui sistem suria pada kelajuan hipersonik untuk merempuh asteroid tersebut.


Strim secara langsung menerusi laman web NASA menunjukkan kapal angkasa itu meluncur ke arah asteroid Dimorphos yang dianggarkan sebesar stadium bola sepak, terletak kira-kira 11 juta kilometer dari Bumi.


Misi itu direka untuk menentukan sama kapal angkasa mampu mengubah trajektori asteroid melalui daya kinetik, menolaknya dari laluan yang boleh mencetuskan ancaman kepada Bumi.


Dalam pada itu, pemerhatian teleskop lebih lanjut akan dilakukan terhadap asteroid itu pada bulan depan. Hasil ujian itu turut dipantau dalam tempoh yang hampir sama dari pusat operasi di Makmal Fizik Gunaan Universiti Johns Hopkins (APL) di Laurel, Maryland.



Sama ada ia berjaya mencapai sasaran diharapkan masih belum diketahui sehingga pemerhatian teleskop lebih lanjut ke atas asteroid dilaksanakan bulan depan.


Bagaimanapun, pegawai NASA memuji hasil eksperimen yang dibuat dan jelas mereka kapal angkasa itu kelihatan berfungsi sebagaimana rekaannya.


DART yang dilancarkan oleh roket SpaceX pada November 2021 melakukan sebahagian besar pelayarannya di bawah bimbingan pengarah penerbangan NASA dengan kawalan diserahkan kepada sistem navigasi autonomi pada jam terakhir perjalanan.


Sorakan oleh jurutera di dalam bilik kawalan didengari apabila imej asteroid yang disasarkan semakin besar dan akhirnya memenuhi skrin TV sejurus sebelum isyarat kapal angkasa itu hilang, mengesahkan ia telah berjaya merempuh Dimorphos.


"Kami memulakan era baharu. Era di mana kami berpotensi mempunyai keupayaan untuk melindungi diri kami daripada sesuatu seperti kesan asteroid yang berbahaya," kata Lori Glaze iaitu Pengarah Bahagian Sains Planet NASA.


Asteroid Dimorphos adalah sepanjang 160 meter dan mengorbit sebuah asteroid besar bernama Didymos. Permukaan Dimorphos yang berbatu-batu akhirnya dapat dilihat dengan jelas dalam beberapa minit terakhir ketika DART bergerak dan menghentam ke arahnya pada kelajuan kira-kira 23,500 kilometer sejam.


Apa yang pasti ialah kedua-dua asteroid itu tidak menimbulkan ancaman kepada Bumi kerana ia melepasi planet tersebut dan berada pada jarak kira-kira lebih 10 juta kilometer.


NASA berharap melalui hentaman itu, asteroid berkenaan akan bergerak ke orbit yang lebih kecil dan mengurangkan 10 minit masa yang diperlukan untuk mengelilingi Didymos.


Beberapa minit selepas hentaman, sebuah satelit bersaiz pembakar roti dikenali sebagai LICIACube yang telah dipisahkan daripada DART beberapa minggu lalu, dijangka bergerak dekat tempat kapal angkasa tanpa juruterbang yang terhempas berkenaan bagi merakamkan imej perlanggaran itu.


Gambar yang dirakamkan LICIACube itu dijangka dihantar semula ke Bumi pada minggu depan. Untuk rekod, misi DART dilancarkan November lalu dari Pangkalan Angkatan Angkasa Vandenberg di California.


Imej menerusi strim secara langsung yang dirakamkan DART menunjukkan asteroid Dimorphos di ruang angkasa lepas. - Foto AP.

Selasa, 27 September 2022

Planet Marikh dicemari 7,118 kilogram sampah buatan manusia termasuk kapal angkasa yang tidak aktif

Planet Marikh dicemari 7,118 kilogram sampah buatan manusia termasuk kapal angkasa yang tidak aktif


Manusia meninggalkan kira-kira 7,118 kilogram sampah di planet Marikh sejak 50 tahun yang lalu sedangkan tiada mana-mana individu pernah menjejakkan kaki di planet merah itu, lapor laman berita Wion News pada 26 September 2022.


Felo penyelidik pasca kedoktoran bidang robotik di Universiti West Virginia, Cagri Kilic menganalisis jisim semua kenderaan robotik dan pengorbit yang dihantar ke Marikh, tanpa mengambil kira berat daripada kenderaan sedang beroperasi ketika ini.


Hasil analisis mendapati sebanyak 7,118 kg serpihan bersepah di planet Marikh. Serpihan itu antara lain terdiri daripada perkakasan dibuang, kapal angkasa tidak aktif dan yang terhempas di permukaan planet termasuk pengorbit Marikh 2 Kesatuan Soviet yang terhempas ketika melakukan pendaratan pada 1971.


Para saintis bimbang serpihan itu boleh mencemari sampel dikumpulkan oleh kenderaan robotik, Perseverance yang dalam misi mencari bukti kehidupan lampau di planet Marikh.


Kebanyakan serpihan itu tidak dapat dielakkan memandangkan banyak bahagian perlu dibuang untuk melindungi kenderaan angkasa ketika ia meluncur melalui atmosfera planet merah.


Ia termasuk kenderaan Perseverance dilancarkan Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang terpaksa mengharungi tujuh minit kesukaran ketika mendarat pada Februari 2021.


Kenderaan robotik itu didapati merakam beberapa imej serpihan ketika dalam misinya. Jun lalu, pasukan NASA mengesan cahaya dalam sekeping imej dihantar oleh kenderaan Perseverance yang kemudian diarahkan untuk meneliti semula.


Beberapa minggu kemudian, kenderaan Perseverance memasuki kawasan Hogwallow Flats dan memperoleh panorama Mastcam-Z 360 darjah yang beresolusi tinggi.


Imej yang menunjukkan cahaya terang itu merupakan pantulan daripada lapisan thermal blanket. Lapisan material itu terselit di sudut beberapa batu dan kelihatan memantulkan cahaya.


Selain itu, terdapat sembilan kapal angkasa yang tidak aktif, termasuk pendarat Mars 3 dan Mars 6, pendarat Viking 1 dan Viking 2, rover Sojourner, pendarat Schiaparelli Agensi Angkasa Eropah, pendarat Phoenix, rover Spirit dan rover Opportunity, kini terkandas di Marikh.


Kilic mendakwa bahawa kebanyakan robot masih dalam keadaan berfungsi dan agensi angkasa menganggapnya sebagai artifak sejarah dan bukannya besi buruk. - Sumber Wion News.


Gambar menunjukkan lapisan thermal blanket yang ditemukan di planet Marikh. - Foto NASA.
Fosil tengkorak manusia berusia 1.4 juta tahun ditemukan di utara Sepanyol

Fosil tengkorak manusia berusia 1.4 juta tahun ditemukan di utara Sepanyol


Tengkorak berusia 1.4 juta tahun, fosil manusia tertua pernah ditemukan di benua Eropah dan dipercayai mampu mengubah pengetahuan mengenai prasejarah manusia, menurut saintis yang terbabit dalam penemuan itu.


"Kami masih belum mengetahui spesies manusia pertama berdasarkan penemuan itu," kata ahli arkeologi Aurora Martin, yang juga penyelaras am Muzium Evolusi Manusia di Burgos, utara Sepanyol, memberitahu Agensi Anadolu.


Tulang-tulang itu, ditemukan di dalam gua di tapak penggalian Sierra de Atapuerca berhampiran Burgos pada akhir Jun, dianggap satu kejayaan yang akan membantu menulis kembali sejarah evolusi manusia.


"Sehingga 1994, diketahui bahawa tiada spesies manusia purba di Eropah sehingga 500,000 tahun dahulu.


"Sekarang terdapat bukti kewujudan manusia pada 1.4 juta tahun dahulu. Dalam erti kata lain, kita menolak evolusi manusia di Eropah pada satu juta tahun lalu.


"Penemuan baharu itu yang mana ia tengkorak satu spesies, digali pada musim panas 2022, dan dipercayai berusia 1.4 juta tahun.


"Hal ini membuka lembaran baharu untuk pelbagai persoalan. Kami akan cuba mencari jawapan kepada persoalan ini, tetapi semuanya akan dilakukan selepas penyelidikan. Kami tidak boleh memberikan jawapan sekarang," katanya.


Tapak arkeologi Atapuerca dijumpai ketika pembinaan landasan kereta api pada akhir abad ke-19, dan cari gali pertama bermula pada 1976.


Fosil manusia tertua pernah ditemukan di benua Eropah sebelum ini ialah pada 2007, yang berusia 1.2 juta tahun.


Menurut laporan, fosil manusia dan haiwan zaman batu purba yang ditemukan di Atapuerca, Tapak Warisan Dunia itu kini dipamerkan di Muzium Evolusi Manusia di Burgos.


"Kami perlu meneruskan penyelidikan kami selama kira-kira sekurang-kurangnya setahun. Ini mengambil banyak masa," kata José María Bermúdez de Castro, salah seorang penyelaras pasukan, kepada wartawan.


"Apa yang boleh kami katakan ialah kami telah menemui fosil yang sangat penting dan menarik yang dimiliki oleh salah satu populasi pertama yang tiba di Eropah," jelasnya. - Sumber Reuters.


Tengkorak berusia 1.4 juta tahun yang ditemukan di tapak penggalian Sierra de Atapuerca berhampiran Burgos. - Foto Agensi.

Ahad, 25 September 2022

Saintis temukan fosil dinosaur pertama yang terbunuh ketika asteroid besar melanda Bumi 66 juta tahun lalu

Saintis temukan fosil dinosaur pertama yang terbunuh ketika asteroid besar melanda Bumi 66 juta tahun lalu

Robert DePalma.

Ahli paleontologi berjaya menemukan sebahagian fosil dinosaur pertama yang dipercayai terbunuh ketika asteroid besar melanda bumi 66 juta tahun lalu, di Tanis, Dakota Utara, Amerika Syarikat, lapor laman berita BBC News.


Pakar menemukan kaki Thescelosaurus yang adalah dinosaur herbivor kecil bersama serpihan batu angkasa selebar 11,265 meter yang membunuhnya.


Kaki haiwan itu yang lengkap dengan kulit berkemungkinan 'tercabut' selepas dilanda asteroid Chicxulub sehingga menyebabkan banjir kilat.


Fosil kaki haiwan itu digali bersama beberapa siri penemuan luar biasa di tapak fosil terbabit.


"Ini adalah penemuan pertama dinosaur yang menjadi mangsa hujan asteroid sehingga menyebabkan kawah seluas 149, 669 meter di kawasan yang kini dikenali sebagai Teluk Mexico.


"Kami juga menemukan serpihan kecil dari batu angkasa yang menamatkan era dinosaur sehingga membawa kepada kebangkitan mamalia," kata pakar.



Penemuan itu dilakukan oleh Ahli Paleontologi Universiti Manchester, Robert DePalma di tapak penggalian terkenal yang ditemukan sejak 2008.


"Ini adalah perkara paling luar biasa dan adalah senario kes terbaik. Kawasan ini mempunyai haiwan yang tertimbus semasa dihentam asteroid, selain dikenali sebagai 'tanah perkuburan dinosaur'," katanya.


Pakar juga boleh memberikan bukti fizikal pertama mengenai dinosaur terbunuh akibat asteroid semasa penghujung Zaman Cretaceous.


Pakar menjelaskan bilangan fosil dinosaur yang ditemukan di dalam batu sangat sedikit walaupun beberapa ribu tahun sebelum hujan asteroid berlaku.


Oleh itu, usaha untuk menemukan fosil dari hari peristiwa itu berlaku sebenarnya adalah sangat luar biasa. - Sumber BBC News.


BACA: Kajian baharu mendakwa asteroid bukan punca utama dinosaur pupus.


Ahli paleontologi menemui fosil kaki Thescelosaurus (dinosaur herbivor kecil) bersama serpihan batu angkasa selebar 11,265 meter yang membunuhnya. - Foto Twitter.

Sir David meneliti fosil dinosaur triceratops. - Foto BBC/JOHN SAYER.

Sabtu, 24 September 2022

Kajian baharu mendakwa asteroid bukan punca utama dinosaur pupus

Kajian baharu mendakwa asteroid bukan punca utama dinosaur pupus


Sekitar 66 juta tahun yang lalu, asteroid gergasi telah merempuh planet kita, melepaskan ribut api dahsyat yang membunuh dinosaur. Bagaimanapun Kajian baharu telah menimbulkan keraguan tentang teori itu.


Memetik laporan laman berita Wion News pada 21 September 2022, satu kajian baharu mendakwa bahawa spesies dinosaur sudah berada di ambang kepupusan ketika sebutir asteroid gergasi menghentam Bumi, dan menghapuskan semua haiwan zaman purba tersebut.


Apabila dinosaur pupus 66 juta tahun yang lalu, bilangan spesies haiwan itu telah merosot secara drastik, demikian menurut kajian tersebut yang dilakukan ke atas telur-telur dinosaur di China.


Kajian oleh Akademi Sains China itu juga telah diterbitkan dalam jurnal saintifik, PNAS.


Menggunakan telur dinosaur yang ditemui di Lembangan Shanyang, saintis-saintis mencipta kronologi masa dalam tempoh dua juta tahun menjelang akhir zaman Cretaceous, zaman terakhir di mana dinosaur masih hidup.


Lembangan di tengah China itu menyimpan kira-kira 1,000 fosil telur, tetapi setelah melakukan pemeriksaan lebih teliti, penyelidik mendapati bahawa hanya tiga spesies yang sebenarnya masih hidup pada masa itu.


Ini bermakna kepelbagaian spesies dinosaur sudah semakin berkurang semasa zaman Cretaceous.


"Keputusan kajian kami menunjukkan biodiversiti dinosaur adalah rendah dalam tempoh dua juta tahun terakhir Cretaceous. Data tersebut membuktikan penurunan dalam biodiversiti dinosaur berjuta-juta tahun sebelum sempadan zaman Cretaceous/Paleogene," kata penulis kajian.


Selain itu, saintis turut membuat spekulasi bahawa faktor termasuk perubahan iklim dan letusan gunung berapi mungkin telah menyebabkan populasi dinosaur berkurangan mendadak.


Kajian mendapati hanya ada tiga spesies dinosaur masih hidup semasa asteroid mendarat di Bumi. - Foto The New York Times.

Selasa, 20 September 2022

Saintis temukan tiga eksoplanet baharu berhampiran Bumi yang terletak dalam zon boleh dihuni

Saintis temukan tiga eksoplanet baharu berhampiran Bumi yang terletak dalam zon boleh dihuni


Kumpulan astronomi dari Pemantau Angkasa Lepas Eropah (ESO) mendakwa menemukan tiga eksoplanet baharu yang kedudukannya berhampiran dengan Bumi.


Menurut lapor akhbar Independent UK, ketiga-tiga eksoplanet itu dikatakan mempunyai sumber air menyerupai planet Zuhrah, Utarid dan Marikh.


Eksoplanet berkenaan dikesan dengan menggunakan Very Large Telescope (VLT) milik ESO, selain diketahui mempunyai jarak 35 tahun cahaya dari Bumi.


Ketiga-tiga eksoplanet itu mengorbit bintang berdekatan yang hampir sama dengan bintang atau Matahari dalam sistem suria kita.



Maria Osorio dari Pusat Atrobiologi di sini berkata, planet yang terletak dalam zon boleh dihuni mungkin memiliki atmosfera yang dapat melindungi dan menyokong kehidupan.


"Berdasarkan pemerhatian, ketiga-tiga eksoplanet baharu tersebut mempunyai air di dasar dan atmosferanya.


"Planet paling dekat dengan mataharinya dikenali sebagai L- 98-59a yang mempunyai separuh daripada jisim Zuhrah, manakala dua lagi planet yang ditemukan adalah L 98-59a dan L 98-59c," katanya.


Planet ketiga iaitu L 98-59c didakwa mengandungi 30 peratus air.


Ahli astronomi pertama kali melihat tiga planet tersebut pada 2019, menggunakan Transiting Exoplanet Survey Satellite (TESS) Nasa dengan mengesan apabila cahaya dari bintang berdekatan mereka tenggelam apabila planet-planet melintas di hadapannya.


"Kami telah mengejar planet terestrial sejak kelahiran astronomi dan kini kami akhirnya semakin hampir dengan pengesanan planet terestrial di zon boleh dihuni bintangnya, yang mana kami boleh mengkaji atmosfera.


"Kami mempunyai petunjuk tentang kehadiran planet terestrial dalam zon boleh didiami sistem ini,” kata Olivier Demangeon, dari Universiti Porto di Portugal. - Sumber Independent UK.


Ilustrasi artis menunjukkan planet L 98-59b. - Foto ESO.
200 UFO muncul di langit Sepanyol mungkin kapal angkasa makhluk asing

200 UFO muncul di langit Sepanyol mungkin kapal angkasa makhluk asing


Sebuah klip video yang memaparkan sejumlah objek terbang tidak dikenali (UFO) di langit selatan Madrid, Sepanyol, menimbulkan perdebatan netizen dengan ada yang mempercayainya sebagai kapal angkasa makhluk asing, selain terdapat juga yang menganggapnya sebagai dron.


Menurut laporan akhbar Daily Star, seorang pengguna laman perkongsian Reddit memuat naik klip video tersebut dan mendakwa bahawa dia melihat kira-kira 200 UFO di langit sekitar 10.50 malam di Xanadu, Mostoles berhampiran ibu kota Sepanyol.


Berdasarkan video tersebut, objek-objek itu dilihat berbaris dalam formasi hampir sebaris sebelum ia mula bergerak ke atas dan bawah. Beberapa orang awam turut berada di luar kereta masing-masing untuk melihat fenomena tersebut.


"Ini adalah kejadian yang luar biasa. Objek-objek itu berada di situ memerhatikan kami.


"Ia agak mengelirukan namun tiada sebarang penjelasan lanjut mengenainya," kata pengguna tersebut.


Tambahnya, dia percaya bahawa objek tersebut berasal dari angkasa lepas, namun ramai netizen menganggap bahawa ia sekadar pertunjukan dron.


"Anda boleh mendengar kipas dron itu berbunyi dengan jelas," kata seorang pengguna.


"Anda pasti bergurau. Itu hanyalah dron, dan sila kekal fokus," tulis seorang lagi.


Pengguna berkenaan bagaimanapun membidas komen-komen tersebut dengan menyatakan bahawa bilangannya yang banyak menjadi faktor dia percaya bahawa objek tersebut berasal dari angkasa lepas.


"Tedapat kira-kira 200 buah objek tersebut dan agak sukar untuk mengawal 200 dron dalam satu-satu masa dengan jarak sekitar 1 kilometer dari tanah," katanya. - Sumber Daily Star.


Beberapa orang awam turut berada di luar kereta masing-masing untuk melihat fenomena kira-kira 200 UFO yang muncul di langit. - Foto Reddit/Nesra432.